Selasa, 29 Mei 2012

Part 11: Duhai Hati... Janganlah bersedih


Jangan bersedih duhai hati...
Duhai hati… Alangkah susahnya mendidik hati. Hati itu memang mudah untuk dibolak-balikkan. Terkadang diri menjadi alpa dan hanyut dalam arus dunia. Hati tiada siapa yang tahu apa mahunya. Adakah ia sedang takbur? Adakah ia sedang riya’? Adakah ia sedang ‘ujub? Sungguh mulia jika hati itu bersih kerana ia adalah pandangan daripada Tuhan. Hidup tidak akan bermakna jika hati itu mati. Jika hati sudah mati hidup akan menjadi kucar-kacir. Hati tercipta agar ia dapat mengawal kehendak lahiriah dan batiniah yang diredhai Allah. Bukannya mengikut kehendak nafsu semata-mata.
            Tapi itulah hakikatnya, hati itu sukar untuk dididik. Apabila hati dibiar tanpa penjagaan, ia akan menjadi keras dan terbentuk benteng yang teguh di mana sukar untuk ditembusi hidayah daripada Allah. Tatkala ujian datang menduga, hati akan berasa gundah dan keluh kesah. Kebahagiaan itu satu nikmat. Sakit itu adalah nikmat dan perit itu juga satu nikmat daripada yang Maha Berkuasa. Duhai hati… Sesungguhnya Allah berhak ke atas kamu lalu mengapa kamu persoalkan Dia? Diri ini tidak berhak mempersoalkan segala-galanya. Siapalah diri ini? Kita adalah hambaNya.
Di keheningan malam kupanjatkan doa..
Aku menangisi diriku sendiri di keheningan malam yang senyap dan sunyi. Di kala keluargaku nyenyak beradu. Aku gagal untuk melelapkan mata. Saban hari dukaku semakin parah. Hatiku kian gundah. Apa yang perlu aku lakukan untuk mencari ketenangan diri ini? Apa yang harus aku buat untuk meringan segala-gala yang terbeban dibahuku ini? Kenapa hati ini merintih? Sedarkah Allah sedang menguji hatimu? Kepayahan itu sesungguhnya satu bentuk tarbiyahNya kepada hati. Pernahkah hati itu bersyukur pada Tuhannya kerana mendapat perhatian yang sebegitu? “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 216).
Allah merencana setiap perjalanan hidupku. Mengapa aku harus merungut dengan jalan yang aku tempuhi? Duri-duri dan halangan itu adalah rahmat. Aku harus redha dan pasrah. Aku tidak harus berputus asa. "...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf ayat 87).
Aku tahu bahawa ujian yang Allah datang itu adalah untuk menguji tahap keimanan hambaNya. Aku tidak boleh mempersoalkan takdir Tuhan. Sesungguhnya ada hikmah yang amat besar disebalik sesuatu ujian itu. Cuma terletak pada hati ini untuk menerima qada dan qadar Tuhan atau sebaliknya. Sesungguhnya ganjarannya amat besar jika kita mengetahuinya.
“Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang soleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa dihisab." (Surah Al Mu'min ; ayat 39-40).
Duhai hati...
Terlalu besar dugaanMu ini, Ya Allah. Terdayakah aku untuk menghadapinya? Air mata menitis deras. Lalu Kau mengatakan, “Janganlah kamu bersikap lemah, & jangan pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman. (Surah Al-Imran ayat 139 ).
Tuhan itu Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Dia tahu sejauh mana kekuatan hambaNya. Maka “ALLAH tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (Surah Al-Baqarah ayat 286). Dan lagi, Sesungguhnya apabila ALLAH menyukai akan seseorang hambaNya itu, nescaya ditimpakan ke atasnya ujian.( Maksud Hadis ).
Sesungguhnya padaMu jua tempat aku mengadu dan memohon perlindungan dan “Cukuplah ALLAH bagiku, tidak ada Tuhan selain daripadaNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal (Surah At-Taubah ayat 129).
Aku pasrah dengan dugaan ini. Aku tidak akan mengungkit kembali perkara yang berlalu. Aku akan terus jalani hidupku selagi hayat dikandung badan. Kita tidak boleh meletakkan rasa cinta yang keterlaluan terhadap manusia kerana ia adalah milik Tuhan. Dia berhak untuk mengambilnya semula pada bila-bila masa. Dan apabila cinta itu pergi hati ini tidak akan terasa sakit yang amat sangat kerana cinta terhadap Allah melebihi daripada segala-galanya. Maka dengan itu, berpada-padalah wahai hati. Agar kamu tidak terlalu kecewa kelak.
Pagi itu aku dikejutkan dengan kehadiran sahabatku, Amy.  Tatkala itu, aku sedang sibuk menyiapkan tenunan yang ditempah oleh Datin Zainab. Tenunan yang penuh dengan keikhlasan. Malangnya bukan untukku. Duhai hati… bukankah kau telah berjanji. Aku tersenyum sendiri.
“Halus sungguh coraknya. Sungguh cantik hasil tenunannya. Aku tak tahu pula kau pandai menenun,” Amy mencelah sambil memerhatikan tanganku ligat mengadunkan benang tenunan pada mesin tenun.
“Aku dibesarkan di sini. Ibu telah mengajarku sejak kecil lagi. Lagipun aku  berminat untuk mempelajarinya,” ulasku lebih lanjut lagi. Amy sungguh kagum dengan kebolehanku.
“Dah lama kita tak jumpa. Kau apa khabar? Kau tak terkejut ke kenapa tiba-tiba aku datang ke sini?” Tanya Amy sambil menyimpul senyuman. Aku menjeling padanya.
aku perlukan ketenangan hati..
“Alhamdulillah. Aku baik-baik saja. Memanglah aku terkejut. Tiba-tiba saja muncul. Aku tak kisah. Lagipun dah lama kita tak jumpakan? Apa khabar Encik Irfan? Dah lama tak dengar khabar dia?” jawabku selamba. Amy mendekatiku.
“Haa… ni yang aku nak khabar. Bercakap tentang Encik Irfan, dia yang suruh aku datang ke mari cari kau,” Amy mengangkat keningnya. Aku merenungnya. Tidak faham apa yang dimaksudkan.
“Encik Irfan mahu kau bekerja semula. Dia kata jangan balik selagi kau tak setuju. Boleh tak dia ugut begitu kat aku?” Amy memuncung. Aku tersengih mendengar.
“Aku serius ni. Kau boleh sengih-sengih pula,” leter Amy lagi. Aku diam sahaja. Lalu menjawab, ”Nantilah aku fikirkan dulu. Aku mahu tenang-tenangkan fikiran dahulu.”
“Kau fikirlah masak-masak. Jangan sampai aku terpaksa tinggal kat sini sampai berhari-hari. Nanti bosan pula kau tengok muka aku ni,” balas Amy sambil memandang ke luar tingkap. Lama dia pandang ke luar.
Handsomenya mamat ni. Jalan kaki ke sini. Mesti kerja kat sini. Tak pun nak tempah kain tenun,” bebel Amy seorang diri. Aku terdengar sidikit bebelannya. Lalu menghampirinya.
“Kau tengok siapa tu?” tanyaku sambil menjenguk ke luar tingkap. Amy tersenyum sambil menunjukkan jarinya ke arah pemuda yang sedang menuju ke sini. Aku mengintai sejenak.
Alamak.... kacaknya.
“Itu abang akulah. Apalah kau ni?” rungutku sambil menyambung semula kerja. Amy ternganga. Malu sendiri.
“Assalamualaikum?” Danial memberi salam setibanya di pintu.
“Waalaikumussalam.” Aku menjawab tanpa memandang ke arahnya. Amy malu-malu kucing. Danial menjengah ke ruang tenun melihat aku sedang tekun menenun. Dia terkejut apabila Amy menyapanya.
“Hai… saya Amy, kawan Nurul. Tak sangka pula kau ada abang sekacak ini, Nurul?” gedik Amy sambil menghulurkan tangan. Aku tersenyum sinis melihat gelagat Amy sambil menepuk tangannya. Danial termangu seketika.
“Hish… kau jaga sikit perangai tu. Abang aku ni ustaz. Nanti dia bagi ceramah kat kau sampai menangis baru kau tahu!!” aku cuba menegur Amy yang tidak semena-mena miang. Amy menarik semula tangannya ke belakang. Umpama cacing yang kepanasan. Danial mengukir senyuman.
“Abang tak perasan ada tetamu rupanya. Ibu suruh balik makan tengahari. Jemput kawannya sekali. Siapa namanya tadi? Amy ya… Abang menyusul kemudian. Ada kerja sikit,” Danial bersuara sambil berlalu ke belakang rumah tenun. Amy menepuk bahuku.
Malunya....
“Kenapa kau tak cakap yang abang kau tu ustaz? Malunya aku,” Amy menerkup mukanya ke bahuku. Aku tersengih lagi.
“Padan dengan muka kau. Mari kita makan dulu,” balasku sambil memberhentikan tenunan.
  
MADAHTIDAKBERHELAH: Ujian itu datang dalam pelbagai bentuk. Kesakitan, kesusahan, kesenangan,kekayaan,anak2 dsb. Persoalannya bilakah hati itu terdetik untuk menjadi yg lebih baik? Waullahu a'lam (hanya Allah yg Mengetahui)...
 
bersambung lain kali....  
 dengan lagu TAKKAN BERPALING DARIMU

Kala malam bersihkan wajahnya dari bintang-bintang
Dan mulai turun setetes air langit dari tubuhnya
Tanpa sadar nikmatnya alam karena kuasa Mu
Yang tak kan habis sampai di akhir waktu perjalanan ini

Terima kasih ku padamu Tuhanku
Tak mungkin dapat terlukis oleh kata-kata
Hanya Dirimu yang tahu besar rasa cintaku pada Mu
Oh Tuhan anugerah Mu tak pernah berhenti
Selalu datang kepadaku Tuhan semesta alam
Dan satu janjiku tak kan berpaling dari Mu

Ya...Allah...

Anugerah Mu....

Kau sisihkan semua aroma bintang dihadapanku
Dan buat terang seluruh jalan hidupku
Melangkah......

Terima kasih ku padamu Tuhanku
Tak mungkin dapat terlukis oleh kata-kata
Hanya Dirimu yang tahu besar rasa cintaku pada Mu...oh...
Anugerah Mu tak pernah berhenti
Selalu datang kepadaku Tuhan semesta alam
Dan satu janjiku tak kan berpaling dari Mu

Khamis, 24 Mei 2012

Part 10: Dongeng


Hangat membara...
Suhu di Kota London berada di paras beku. Sejuknya hingga ke tulang sum-sum. Mereka yang bermastautin di sini sudah biasa dengan keadaan sejuk begini. Tengku Sofiya termenung lama mengusap manja kucing parsinya. Hatinya terusik. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi majlis persandingan akan berlangsung. Tapi dia tidak merasai apa-apa. Dia mendambakan belaian mahupun kasih sayang. Dia dahagakan cinta. Cinta Amirul Shafiq. Kasihnya bertukar daripada kasih seorang adik kepada kasih seorang kekasih.
Dia pulang ke Kota London. Kota yang mewarnai gaya kehidupan, kemewahan dan keseronokan pada penghuninya. Kehidupan sosial menjadi latar belakang yang mewarnai kehidupan mereka di sini. Kehidupannya yang serba mewah terkadang membawa kepada kelalaian kepada mereka sekeluarga.
Begitu juga gaya hidup Tengku Sofiya. Dia seorang yang suka ber ‘clubbing’ bersama teman-temannya hingga ke pagi. Lelaki dan wanita bergaul tanpa batasan. Tapi semenjak dia ditunangkan dengan Amirul Shafiq kehidupan sehariannya berubah. Dia begitu teruja untuk dimiliki. Hatinya terpaut pada Amirul Shafiq apabila ibunya Tengku Zahara memperkenalkannya pada keluarga Datuk Mansur.
I want more...
Dia cantik dan bijak. Hidung mancung bak seludang. Rambut ikal mayang. Kulit putih gebu. Potongan juga menarik. Tinggi lampai seperti model. Kalau dilihat dari luaran, mereka adalah pasangan yang cukup sepadan. Kalau lelaki di Kota London ini, sekali petik sahaja ramai yang datang. Tapi peliknya kenapa hati lelaki ini terlalu sukar untuk ditawan? Apa istimewanya gadis itu sehingga Amirul Shafiq tidak dapat melupakannya? Cemburunya meluap-luap. Geram.
Hatinya bertambah sakit apabila dia menyaksikan Nurul Balqish membalut luka di kaki Amirul Shafiq tanpa disedari. Cara renungan Amirul Shafiq berbeza daripada dirinya. Penuh dengan rasa cinta yang mendalam. Kenapa dia tidak merasai kemesraan yang sebegitu ketika mereka keluar berdua-duaan? Terasa hambar dan kaku.
Dia rasa tercabar apabila ada wanita lain di hati Amirul Shafiq. Dia benar-benar berang. Amirul Shafiq tidak pernah mengendahkannya malah dia cuba melarikan diri daripada berbicara isu perkahwinan mereka.
We need to talk,” ujar Tengku Sofiya dengan lirikan matanya yang tajam. Amirul Shafiq berdengus. Dia tidak mengendahkan langsung permintaan Tengku Sofiya. Dia berpura-pura mencari fail yang bersepah di atas mejanya.
“Amir, did you hear me?? I’m talking to you!!” bentak Tengku Sofiya sambil membuntangkan matanya. Amirul Shafiq membalas renungannya.
I’m so sorry, Sofiya. I’m quite busy at this moment. Can we talk later? Please…” rayu Amirul Shafiq. Dia berharap Tengku Sofiya tidak akan menimbulkan masalah di pejabatnya. Tengku Sofiya menjeling. Masam mencuka. Tidak pernah dia melihat perempuan segarang itu.
Suasana yang romantik...
Err.. can we have dinner tonight? I will pick up you at 8 o’clock. I promise,” dia cuba menenangkan keadaan sambil mengangkat tangan ke dadanya.
Tengku Sofiya menghampirinya. Terlalu dekat. Dia menarik kot Amirul Shafiq. Mereka berdiri rapat dan berdepan antara satu sama lain. Amirul Shafiq berdiri kaku. Nafas mereka bertembung. Tengku Sofiya mengucup jarinya dan kemudian dialihkan ke bibir Amirul Shafiq. Matanya melirik melihat Amirul Shafiq.
Promise?” Tanya Tengku Sofiya manja. Amirul Shafiq mengangguk.
I promise you…” balas Amirul Shafiq.
Okey. I’ll see you tonight,” ujarnya sambil melepaskan kot bajunya. Dia keluar dan menghilang. Amirul Shafiq berasa lega. Mujur kata-kata itu dapat melembutkan hati Tengku Sofiya. Dia perlu bersedia untuk memberi penjelasan pada malam ini. Masalah tidak akan selesai dengan melarikan diri. 

&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

i'm so sorry...
Sejambak bunga mawar merah dan candle light dinner. Tertera di kad ucapan I’m so sorry. Tengku Sofiya menguntum senyuman. Makan malam mereka diiringi dengan iringan gemersik biola beralun dengan nada yang sungguh romantik. Terasa dilayan bagaikan seorang puteri. Dia terpesona. Setelah selesai makan malam Tengku Sofiya mengajaknya bersembang-sembang di taman. Amirul Shafiq menurut sahaja kemahuannya.
It is about our wedding, Amir. What’s going on between us. I feel empty. I feel nothing. Do you love me, Amir? Do you really love me like Nurul Balqish?” Tanya Tengku Sofiya. Dia memang tidak pandai bercakap melayu. Maklumlah hidup di luar Negara sejak kecil lagi. Amirul Shafiq tersentak apabila nama itu terucap lembut dibibir Tengku Sofiya solah-olah menuntut kepastian daripadanya. Amirul Shafiq teragak-agak untuk memulakan kata-kata.
I’m sorry, Sofiya. I didn’t mean to hurt you. I just don’t know what to do. Our parents want to end the relationship like this. So, what am I suppose to do?” jelas Amirul Shafiq sambil memerhatikan Tengku Sofiya.
Dia sungguh jelita. Tidak dapat dinafikan kecantikannya. Kacukan Melayu-Bugis-Belanda. Ayahnya berketurunan melayu manakala ibunya keturunan Bugis-Belanda. Setiap pemuda pasti tertawan apabila melihatnya. Tapi hatinya hanya menganggap Tengku Sofiya sebagai seorang adik. Tidak lebih daripada itu.
“You know that I’m such in love with you. I want you to love me like the way you love her. I want more. But I don’t have it. I’m lost,” Tengku Sofiya meluahkan rahsia yang terpendam dijiwanya. Dia mengharapkan lebih daripada itu. Amirul Shafiq membatukan diri. Tiada jawaban.
Why you want to marry me if you don’t love me? What for? It should be not ending like this, Amir. You know that?” getaran suara Tengku Sofiya semakin perlahan. Semakin sayu. Dia merenung ke dalam mata Amirul Shafiq. Wajah lelaki yang didambakan sebagai seorang suami. Tapi hanya pada jasadnya sahaja yang dia mampu miliki.
Sofiya, I’m really sorry. I love you but I love you as a friend. Not more than that,” terang Amirul Shafiq. Tengku Sofiya menjeling.
adakah kisah dongeng semata-mata..
No point if we still going to this marriage. You such a liar. I hate you. I hate the way you love me, Amir,” jerit Tengku Sofiya sambil memukul-mukul dadanya. Amirul Shafiq membiarkan dirinya dipukul. Dia tahu dia tidak dapat menebus kesilapannya. Tengku Sofiya menangis dalam pelukannya. Hatinya tenteram buat seketika. Apakah kesudahannya begini atau hanya dongeng semata-mata....
Bersambung la pulak... perdengarkan lagu Geisha..
 
Geisha - Kenangan Hidupku

jika ku hadir untuk disakiti
biarlah ku pergi jauh dan sendiri
tanpa ada kamu siapapun di sini ku menangis

kebodohanku telah anggap dirimu
kan baik hatiku butakan hatiku
kau pergi begitu saja tak ku tahu, ku taklah layu

mungkin karnaku terlalu mencintaimu
ku terluka

reff:
kemana ku berlari
kemana aku kan pergi
ku cintai namun benci
caramu mencintaiku

kebodohanku telah anggap dirimu
kan baik hatiku butakan hatiku
kau pergi begitu saja tak ku tahu, ku terluka

biarlah ku simpan
menjadi kenangan hidupku


Selasa, 22 Mei 2012

Part 9: Something Happen in Your Heart (Kuch Kuch…)


Berkocak lagi....
“Berjanji dengan makcik bahawa Shafiq akan teruskan dengan kehidupan baru dan dunia baru Shafiq. Jadilah anak yang baik dan sentiasa hormat kedua orang tua kerana mereka yang membesarkan Shafiq sehingga sekarang. Restu kedua ibubapa penting dalam setiap perhubungan. Kalau tidak kamu akan menyesal di kemudian hari,” dia terdiam seketika terkenangkan kisah dirinya sendiri.
“Lupakan Nurul Balqish. Tolong lupakan anak makcik. Dia telah melalui pelbagai cabaran hidup. Alhamdulillah, dia cekal dan tabah menghadapinya. Tapi makcik mohon jangan kamu tambah lagi kedukaannya. Dia rela melepaskan kamu. Kamu seharusnya begitu juga. Kamu tidak perlu menyesal apa-apa. Semua ini telah ditentukan oleh Allah,” Makcik Murni cuba memujuknya.
I lost hope...
Air mata lelakinya menitis jua ke tanah. Selama ini dia menahan sebak di dalam dada. Tapi hari ini dia gagal. Dia gagal untuk membendung kesedihannya. Bukan ini yang kumahu, jerit batinnya. Dia mengetap bibirnya. Cepat-cepat dia mengusap pipinya.
“Makcik, boleh saya jumpa Nurul untuk kali ini saja?” dia cuba meminta izin Makcik Murni. Orang tua itu kelihatan gusar untuk memberi keizinan. Tapi dia tahu perasaan mereka. Dia pun pernah muda seperti mereka. Dia pernah merasa detik perpisahan yang amat menyakitkan. Hatinya beralah. Makcik Murni mengangguk perlahan.
“Pergilah. Dia mungkin berada di pondok di tepi sungai sana. Tapi jangan lama-lama,” pesannya pada Amirul Shafiq yang telah dianggapnya sebagai anak sendiri. Tapi apakan daya. Tuhan menentukan segala-galanya. Amirul Shafiq tersenyum kerana diberi peluang untuk bertemu dengan pengarang jantung hatinya. Dia melangkah kaki dengan laju ke tepian sungai tidak jauh dari rumah tenun itu.
Allah bersama orang yang sabar...
Sekujur tubuh sedang duduk bersantai menikmati udara sepoi-sepoi bahasa yang bertiup perlahan. Terasa pipinya ditampar manja oleh bayu muara sungai. Matahari akan melabuhkan tirainya beberapa jam lagi. Hatinya terasa tenang. Amirul Shafiq terkinja-kinja melepasi akar-akar bakau dengan berkaki ayam. Kekadang kakinya tersadung. Tiba-tiba dia terjerit. Hujung kakinya tertusuk tunggul kayu yang tajam.
Nurul Balqish terperanjat. Dia mengerut dahi memikirkan siapakah gerangan lelaki yang sedang membongkok-bongkok sambil memegang kakinya yang luka. Mukanya tersorok disebalik rambutnya yang ikal. Dia berlari mendapatkannya.
“Saudara tak apa-apa ke?” dia bertanya.
Amirul Shafiq menyelak rambutnya sambil mendongak. Nurul Balqish terpaku di situ. Terkejut. Selangkah demi selangkah dia berundur. Amirul Shafiq sedar tindak-tanduknya. Darah semakin banyak keluar dari kakinya. Dia mengerang kesakitan. Nurul Balqish menoleh kembali. Dia mengalah. Dengan berat hati dia memapah Amirul Shafiq sehingga ke pondok.
Dia membersihkan luka di kaki Amirul Shafiq. Senyap. Mulut terkunci. Hanya deruan angin membelah kesunyian. Amirul Shafiq teringat ketika betisnya cedera dipatuk ular semasa mereka menjalani kem motivasi di hutan lipur semasa di pengajian dulu. Nurul Balqish menjadi ketua perubatan ketika itu. Dia memang pakar dalam bidang perubatan kerana dia adalah salah seorang AJK tertinggi PBSM di pusat pengajian. Nurul Balqish menyedut keluar bias-bisa dibetisnya. Mujur bisanya belum melarat dan dia terselamat setelah mendapat rawatan susulan di hospital. Sejak itu cinta mereka berputik dan bercambah mekar.
Luka di hati siapa yg tahu...
Lama dia merenung Nurul Balqish. Kakinya dibalut rapi setelah selesai diberi ubat. Kenapa hatinya terlalu sukar untuk melepaskan dia pergi? Walau berjuta kali gadis itu cuba menyakiti hatinya tapi dia tetap mencari. Dia jatuh cinta lagi untuk kali kedua. Sayup-sayup kedengaran Datin Zainab memanggilnya. Telefon bimbitnya berdering berkali-kali dan dibiarkan sahaja tidak berangkat. Terasa berat kakinya untuk melangkah pergi. Dia menarik nafas panjang.
“Luka tu kecil saja. Dalam sehari dua sembuhlah,” bicara Nurul Balqish memecah kesunyian. Wajahnya kelihatan tenang.
“Terima kasih. Luka dikaki boleh kita nampak tapi luka dihati siapa yang tahukan? Fiq minta maaf kerana tersalah anggap. Kalau tak semua ini tak akan berlaku,” luahnya tiba-tiba.
“Tak perlu salahkan sesiapa. Fiq tak salah apa-apa pun. Tak perlu minta maaf. Kita yang selalu sakitkan hati awak. Tampar awak. Bohong awak. Qish yang patut minta maaf,” celah Nurul Balqish. Mereka berpandangan.
“Fiq nak tanya dan tolong jawab dengan jujur. Qish tak jadi kahwin dengan Dr Halim ke?” Tanya Amirul Shafiq. Nurul Balqish menggeleng-gelengkan kepala. Mereka ketawa. Amirul Shafiq memicit hidungnya sampai kelihatan merah. Nurul Balqish menepis.
Selamat Berbahagia...
“Selamat Pengantin Baru Encik Amirul Shafiq. Semoga kekal hingga ke anak cucu,” ujar Nurul Balqish sambil berjabat tangan. Amirul Shafiq terdiam. Seolah-olah tidak suka. Tangan Nurul Balqish tidak bersambut. Dia memeluk tubuh.
“Mana tahu Fiq nak kahwin?” dia cuba mencungkil rahsia.
“Alah… tak payah nak soroklah. Surat khabar terpampang besar. Semua orang dah tahu,” balasnya sambil tersenyum.
“Habis Qish sukakah?” Amirul Shafiq bertanya sambil menjeling.
“Sukalah. Takkan tak suka,” jelasnya lagi.
“Kalau awak suka. Fiq pun suka juga,” bentaknya. Hatinya tiba-tiba sakit dengan sendaan Nurul Balqish.
“Apa-apa pun kita tetap kawan untuk selama-lamanya,” guraunya selamba. 
Amirul Shafiq mengeluh lagi. Telefon berdering lagi. Masa semakin mencemburui mereka. Terasa dunia ini tidak berputar buat seketika. Ada sesuatu yang berlaku dalam hati masing-masing. Hanya mereka sahaja yang tahu. Perjalanan perlu diteruskan walau ada yang terluka. Pelangi nan indah akan hilang apabila mentari cerah kembali.

Bila nak habis daaa... sambung lagi...
 

Matahariku – Agnes Monica

Tertutup sudah pintu, pintu hatiku
Yang pernah dibuka waktu hanya untukmu
Kini kau pergi dari hidupku
Ku harus relakanmu walau aku tak mau
Berjuta warna pelangi di dalam hati
Sejenak luluh bergeming menjauh pergi
Tak ada lagi cahaya suci
Semua nada beranjak, aku terdiam sepi
Reff:
Dengarlah matahariku, suara tangisanku
Ku bersedih kar’na panah cinta menusuk jantungku
Ucapkan matahariku, puisi tentang hidupku
Tentang ku yang tak mampu menaklukkan waktu
Oh…
Berjuta warna pelangi di dalam hati
Sejenak luluh bergeming menjauh pergi
Tak ada lagi cahaya suci
Semua nada beranjak, aku terdiam sepi
Oh…
Dengarlah matahariku, suara tangisanku
Ku bersedih kar’na panah cinta menusuk jantungku

Jumaat, 18 Mei 2012

PART 8: Perlukah Aku Menyerah?

Aku pasrah....

Berserabut kepala otak. Semuanya serba tidak kena pada matanya. Sarah, setiausahanya selalu menjadi mangsa kemarahannya. Naik kecut perut gadis itu apabila dia meradang. Habis semua kertas berterabur atas lantai. Semuanya gara-gara Nurul Balqish.  Nama itu tidak pernah lekang daripada ingatannya. Gadis itu tidak pernah padam daripada lubuk hatinya. Dia terlalu sayang. Keterlaluan. Amirul Shafiq tidak faham apa yang bermain dalam lubuk fikiran gadis itu. Apakah benar gadis itu akan berkahwin? Atau dia sengaja mengada-adakan cerita. Hatinya benar-benar panas membara. Tapi kenapa sukar untuk dipercaya segala kata-katanya.
Harapannya untuk menemui Dr Halim sebelum dia balik ke KK musnah apabila dia melihat Nurul Balqish bersama-sama dengan Dr Halim berjalan menuju ke kafetaria hospital. Begitu mesra sekali. Dahinya berkerut. Hatinya tertanya-tanya. Dia mahukan kepastian. Tiba-tiba sebuah kereta meluncur perlahan di perkarangan pancuran air tidak jauh dari kafetaria itu. Kelihatan si pemandu membuka pintu dan keluar seorang budak yang comel daripada kereta. Kanak-kanak itu berlari-larian mendapatkan Nurul Balqish dan Dr Halim tidak jauh dari situ. Nurul Balqish memeluk manja kanak-kanak itu. Dia mencium pipinya bertalu-talu. Dr Halim cuma memerhatikan mereka sambil tersenyum.
Retak menanti belah...
Amirul Shafiq memandang mereka tanpa berkedip. Dia mengetap giginya. Tangannya tergenggam kemas menandakan betapa dia berasa geram dan marah. Jiwanya memberontak. Ingin saja dia berlari ke situ sambil menarik tangan Nurul Balqish dan membawa dia lari. Dia tidak tergamak melihat gadis itu bersama orang lain. Cemburu. Memang dia cemburu. Dia cemburu kerana senyuman dan kemesraan itu bukan untuknya. Tapi untuk kanak-kanak yang dilihatnya pada malam itu. Kenapa aku mesti cemburu dengan kanak-kanak itu? Apa istimewanya kanak-kanak itu? Apa hubungannya dengan Nurul Balqish dan Dr Halim? Pelbagai persoalan muncul di dalam kepalanya. Dia tidak boleh bertindak terburu-buru. Naluri kemanusiaannya masih waras. Tidak lama selepas itu, pemandu dan juga kanak-kanak itu beredar dari situ. Amirul Shafiq melangkah laju mendapatkan mereka berdua.
Nurul Balqish benar-benar terperanjat dengan kehadirannya di situ. Dia tahu selagi Amirul Shafiq tidak tahu siapa lelaki yang dimaksudkannya selagi itu dia tidak akan berganjak daripada keputusannya. Dia faham benar sikap Amirul Shafiq. Bara yang digenggam biar sampai jadi abu. Nekad.
“Err… buat apa kat sini? Ada temujanji dengan doktor ke?” Nurul Balqish pura-pura bertanya. Dr Halim terpinga-pinga. Amirul Shafiq tersenyum tawar sambil memandang Nurul Balqish. Kemudian beralih memerhatikan Dr Halim. Semacam saja renungannya. Darahnya menggelegak. Apa istimewanya lelaki ini berbanding dirinya?
“Kenalkan ini Dr Halim. Bakal suami Balqish yang Qish katakan malam tu,” dia memberitahu Amirul Shafiq.
Pilih antara dua...
Dr Halim mengerut dahi mendengar kata-kata Nurul Balqish. Amirul Shafiq menatap tajam mata Nurul Balqish. Terpancar api kemarahan yang meluap-luap yang dizahirkan melalui renungan matanya itu. Kemana perginya hati gadis ini sehingga dia tergamak melukakan hatinya? Kemana hilangnya cinta yang mereka semai selama bertahun-tahun lamanya? Inikah pengorbanan yang dimaksudkan oleh Umar? Pengorbanan untuk melihat dia berkahwin dengan orang lain sedangkan selama ini untuk apa mereka bercinta. Apa maksudnya semua ini? Sandiwara apakah ini? Dengan kasar dia menarik tangan Nurul Balqish. Dr Halim cuba menegah tapi dihalang oleh Amirul Shafiq.
“Ini urusan saya dengan Balqish. Doktor jangan masuk campur,” nadanya keras. Nurul Balqish mengerang kesakitan akibat cengkaman tangannya yang kuat.
“Tapi dia pesakit saya. Awak tidak boleh sesuka hati buat kacau di sini. Ini kawasan hospital. Saya akan panggil sekuriti kalau awak tidak mahu lepaskan tangannya,” ugut Dr Halim padanya sambil memandang serius Amirul Shafiq. Perlahan-lahan dia melepaskannya. Dia memandang sayu wajah Nurul Balqish. Nurul Balqish menundukkan wajah. Dia tidak berani menatap wajah Amirul Shafiq.
Sampai hati....
“Sampai hati awak, Balqish,” ucapnya sambil menahan sebak. Dia mengundur diri dan berpatah menuju ke keretanya. Langkah ini adalah yang terakhir dan dia tidak akan kembali. Hatinya sungguh kecewa. Teramat kecewa. Apa lagi yang boleh dikatakan jika doktor itu sudah menjadi pilihan hatinya. Dia akan berhenti mengharap. Impiannya akan ternoktah di sini.
Terlalu asyik merenung jauh dipinggir jendela memandang ke awan biru. Mengelamun entah sampai ke mana. Hatinya telah retak seribu. Jika dicantum semula pun tidak akan sama seperti dahulu. Pintu biliknya diketuk berulang kali. Tiba-tiba hatinya meledak marah. Sudah dikatakan dia tidak mahu diganggu.
“Saya kata saya tidak mahu diganggu. Kenapa awak tak faham-faham lagi? Awak cakap bahasa apa yang awak faham,” jeritnya tanpa berpaling.
Pintu terkuak perlahan. Dia menoleh dan terkedu seketika. Datin Zainab berdiri di hujung meja sambil menatap wajah Amirul Shafiq. Sikap dan tingkahlakunya sekelip mata berubah sejak dia balik dari KL sebulan yang lalu. Panas baran dan suka menengking sedangkan dahulu dia seorang yang peramah dan bersopan-santun. Di rumah pula asyik menyendiri. Adakalanya keluar rumah sehingga tengah malam baru nampak bayang. Dia menghampiri anaknya.
“Kenapa? Terkejut tengok ummi datang ke pejabat. Kamu ni kenapa, Amir? Sejak balik dari KL ummi tengok kamu banyak berubah. Jadi pendiam, pemarah dan macam-macam perangai pelik. Ada apa-apa yang patut ummi tahu?” sergah Datin Zainab sambil memeluk tubuh. Wajahnya serius sahaja. Amirul Shafiq masih terkedu di tepi tingkap. Buntu untuk memberi jawaban. Dia sedikit kalut dan cuba mengalihkan tajuk perbualan mereka.
“Err… Biasalah ummi, kerja melambak. Stress sikit. Ada apa-apa yang boleh Amir bantu,” terangnya sambil tersengih-sengih. Datin Zainab menjeling.
“Kerja tu kerjalah juga. Tapi ada yang lebih penting daripada itu yang kamu lupa,” balas datin Zainab lagi. Amirul Shafiq pura-pura terkejut. Dia memicit keningnya.
“Apa dia ummi? Amir tak ingatlah,” dia terpinga-pinga. Datin Zainab membesarkan matanya.
“Minggu depan kita akan menghantar rombongan merisik dan bertunang. Semua persediaan ummi dah buat. Tinggal baju kamu saja yang belum ditempah. Sibuk memanjang dengan kerja. Sudah.. sekarang ikut ummi pergi tempah pakaian kamu di butik kawan ummi. No more excuses,” dia menarik tangan anaknya. Amirul Shafiq terpaksa akur kehendak ibunya.
Dia pasrah dengan keputusan keluarganya. Datuk Mansur sudah lama mengidamkan persahabatan dengan Tengku Iskandar berakhir dengan persaudaraan. Dengan kata lain, mereka ingin menyatukan dua keluarga ini menjadi satu. Mungkin ini adalah yang terbaik untuk dirinya. Dia sudah penat untuk memikirkan masalahnya dengan Nurul Balqish. Hatinya sungguh kecewa. Hanya dia sahaja yang ingin menyelamatkan kisah cinta mereka. Sedangkan Nurul Balqish sudah ada penggantinya terlebih dulu. Apa lagi yang mampu dia lakukan selain pasrah dengan kehendak takdir.
Keluarga pihak perempuan hanya menetapkan lima bulan sahaja masa pertunangan dan kemudian mereka akan dinikahkan. Terlalu cepat mereka menetapkan tarikh. Dia termangu memikirkan nasib dirinya. Kisah cinta yang tidak kesampaian.
tq for everything...
Datin Zainab sibuk menilik kain tenunan yang sungguh cantik dan halus coraknya. Kain tradisi melayu yang semakin jarang digunakan oleh masyarakatnya. Kain tenunan itu harus ditempah lebih awal. Mereka harus pergi ke tempat kain itu ditenun untuk menempah corak yang diinginkan.
Amirul Shafiq menurut saja kehendak ibunya. Dia terpaksa membawa ibunya ke tempat kain tenunan itu. Walaupun berat hatinya untuk pergi ke sana tapi dia terpaksa kerana ketiadaan pemandu. Datin Zainab membawa Tengku Sofiya sekali ke sana. Mereka berbual-bual mesra. Amirul Shafiq lebih banyak berdiam diri.
Akhirnya mereka sampai ke tempat yang dituju. Sungguh tenang suasananya kerana rumah tenun itu terletak bersebelahan dengan sungai besar. Tempatnya sungguh cantik. Dihiasi dengan pokok-pokok bunga dan bonsai. Landskap yang menarik. Mereka disambut mesra oleh pekerja di situ.
Amirul Shafiq membiarkan ibu dan Tengku Sofiya di dalam rumah tenunan itu. Manakala dia duduk bersantai di laman. Selalunya wajah bakal pengantin berseri-seri menjelang hari perkahwinan mereka. Tapi kosong baginya. Hanya jasadnya sahaja yang riang. Senyuman dibibirnya tidak pernah lekang. Apabila bersendirian dia akan mengelamun. Lama dia mengelamun. Tiba-tiba muncul seseorang yang lama tidak ditemuinya. Bagaimana orang tua ini berada di sini? Bisik hatinya.
“Makcik Murni??!!” dia terkejut. Sungguh dia tidak menyangka akan menemuinya di sini. Makcik Murni tersenyum lebar. Dia bersalaman sambil mengucup tangan Makcik Murni. Wajah tua itu menatap Amirul Shafiq sedalam-dalamnya. Hati tuanya merasakan sesuatu yang kosong dalam sinar matanya. Tiada cahaya di wajahnya.
“Shafiq yer… ini Shafiqkan… Ya, Allah. Tak sangka makcik dapat bertemu kamu di sini. Alhamdulillah…,” ujar Makcik Murni dengan gembira. Amirul Shafiq membalas senyumannya. Kecil sungguh dunia ini.
“Makcik apa khabar? Makcik sihat ke?” Tanya Amirul Shafiq bersungguh-sungguh. Makcik Murni menganggukkan kepala.
“Shafiq buat apa di sini?”Tanya Makcik Murni. Amirul Shafiq terdiam. Teragak-agak untuk menceritakan kehadirannya di situ.
“Shafiq temankan ummi beli kain tenun,” jelasnya pendek. Dia malas untuk bercerita tentang perkahwinan.
“Ohh… untuk majlis perkahwinan Shafiq?” Makcik Murni menyoal lagi. Dia mengangguk perlahan.
“Makcik ada dengar dari pekerja di sini. Katanya ada tempahan untuk majlis perkahwinan yang mesti disiapkan dalam masa sebulan. Jenuhlah makcik nak menenun nanti. Ada dua orang saja yang mahir menenun. Makcik dan anak makcik, Nurul. Yang lain tu boleh juga diharap tapi lambat sikit,” keluh makcik Murni sambil memandangnya. Dia diam. Adakah dia berada di sini? Lidahnya tersekat untuk bertanya lebih lanjut.
“Err… bila makcik nak sambut menantu baru?” soalnya sambil berjenaka. Makcik Murni menyorot matanya sambil ketawa sinis. Dia menepuk tangan Amirul Shafiq.
“Hish… bila pula anak makcik kahwin. Semuanya tak lepas lagi. Pandai-pandai saja kamu ni. Tunggu anak lelaki makcik yang sulung lepas dulu. Barulah adik-adiknya boleh lepas. Betul tak?” Makcik Murni ketawa. Terkedu lagi.
Cinta yang lepas jgn dikenang...
Tiba-tiba hatinya menjadi tidak keruan. Kenapa dia tidak perasan yang selama ini Nurul Balqish hanya berbohong? Siapa Dr Halim? Kenapa Nurul Balqish cuba mengaburi matanya? Bagaimana hatinya boleh terpedaya dengan tipu helahnya? Arghh...  Dia benar-benar menyesal kerana bertindak melulu tanpa usul periksa. Sepatutnya dia bertanya sendiri pada Dr Halim. Semuanya sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Dia memejamkan matanya. Wajahnya tunduk ke bumi. Matanya merah seperti saga. Makcik Murni menepuk bahunya.
"Makcik doakan kebahagian kamu. Jangan dikenang lagi barang yang lepas. Kalau dikenang merana badan," nasihatnya pada Amirul Shafiq.

bersambung lagi daaaa....

Terasing
Kegelisahan didalam kedinginan
Meniti sepi keseorangan
Sebuah kematian yang tiada bernisan
Sendu mengiringi perpisahan

Ruang nan luas diri bergerak bebas
Namun keupayaanku terbatas
Segala mimpi menjadi asing
Perit membakar diri

Sebuah cinta dan harapan
Menjadi mimpi berterbangan
Tersekat nafasku kabur pandangan mataku
Amat tersiksa diriku
Kerana kehilanganmu

Oh mengapakah terus mengharap menanti
Walau cukup kusedari
Kau tak kan kembali

Pemergianmu mengisi kekosongan
Biarpun dikau masih kuperlukan
Kita dikatakan pasangan bahagia
Kini terasing luka

Rabu, 16 Mei 2012

Part 7: Kenangan Yang Indah

Dia adalah yang terbaik untukku... pasti.

Bunyi azan subuh sayup-sayup berkumandang di udara. Fajar menyinsing diiringi dengan kokokan ayam bersahut-sahutan. Mata tuanya terkapai-kapai mencapai bingkai kaca mata di bucu tilam. Dia meraba-raba bantal disebelahnya. Telah lama terbiar. Tiba-tiba teringat suaminya yang telah lama pergi. Dia mengucup bantal itu. Tanda rindunya yang tidak berbelah bagi. Dia bingkas bangun lalu mencapai tuala mandi. Kakinya melangkah perlahan-lahan menuju ke bilik air. Kedengaran bunyi wisel cerek berlagu nyaring dan tidak lama kemudian senyap. Ada orang lain yang telah bangun lebih awal darinya.
“Ibu nak mandi air panas?” sapa anaknya sambil mengangkat cerek. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Sudah biasa katanya. Anaknya hanya menurut kata. Diletakkan semula cerek panas di atas dapur.
Ibu tua itu mendekatinya sambil menyangkutkan tuala mandi di bahunya. Dia menatap wajah anak kesayangannya yang tiba-tiba terpacul malam tadi di halaman rumah dengan sebuah teksi.. Muram dan sayu. Tidak seceria selalu apabila balik ke kampung. Lirikan matanya beralih. Cuba menyembunyikan sembab di sekeliling kelopak matanya. Mungkin sebab menangis. Biarlah dulu. Kalau sudah reda sedihnya pasti dia akan buka mulut. Sebagai ibu yang lebih dulu makan garam, hatinya tahu ada sesuatu yang disembunyikan daripada pengetahuannya. Kakinya melangkah ke bilik air meneruskan hajatnya yang tergendala.
Tepung dibancuh dan dicampur dengan ikan bilis serta bawang yang dihiris. Kuali ditenggekkan di atas dapur dan dituangkan minyak masak. Api dapur dinyalakan. Dia leka dengan tugasnya memasak cekodok ikan bilis. Amat menyenangkan hingga terasa masalah itu lenyap seketika. Bau aromanya menyebabkan perutnya berkeroncong minta diisi. Setelah selesai dia menghidangkannya di atas meja. Air teh tarik kegemaran abangnya juga telah siap tersedia. Dia mengambil cawan dan piring dan disusun kemas. Bunyi dehem menyebabkan dia sedikit terkejut. Nasib baik piring tidak terlepas dari tangannya. Danial ketawa kecil. Geli hati melihat telatah adik kesayangannya. Dia menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya.
“Hujan tak ada, ribut pun tak ada. Tiba-tiba balik kampung. Ada masalah kat pejabat ke?” Tanya Danial sambil menghirup teh tarik yang dihidangkan. Bibirnya tersenyum hambar.
“Tak ada apa-apalah. Rindu pada ibu. Itu sebabnya kita balik,” bunyinya riang tapi hatinya Tuhan saja yang tahu. Danial merenung wajah sembab adiknya.
Mata tidak pandai berbohong..
“Kenapa mata tu sembab? Nurul sakitkah?” teringat akan sakit adiknya yang pernah tidak semena-mena membengkak pada muka dan kakinya. Hatinya tiba-tiba risau.
“Err… tak adalah, bang. Nurul kurang tidur agaknya. Tu sebabnya nampak sembab,” dia cuba berdalih. Tidak lama kemudian ibunya turun ke dapur bersarapan bersama-sama.
“Sembab sebab tak cukup tidur atau sembab sebab menangis?” sampuk ibunya sambil menjeling. Dia kelihatan resah apabila ibunya cuba mencungkil cerita. Danial terkejut mendengar gurauan itu. Dia memandang adiknya.
“Mana ada kita menangis? Ibu ni ada-ada saja,” dia memuncung sambil makan cekodok yang digorengnya tadi. Ibu tersengih-sengih sambil memandang anak bongsunya. Danial buat-buat tidak faham.
“Dah besar panjang. Pandai-pandailah nak selesaikan masalah. Err.. ibu, hari ini Danial pulang lewat sikit. Ada jemputan ceramah di bandar selepas kerja. Malam mungkin baru Danial pulang,” Danial memberitahu ibunya.
“Yalah. Hati-hati dalam perjalanan,” balas ibunya. Danial menoleh pada adiknya pula.
“Nurul tolong tengok-tengokkan ibu. Elok juga kamu balik kampung. Boleh temankan ibu kalau abang tak ada di rumah. Kak Jannah ada seminar guru selama seminggu. Minggu depan baru dia balik. Abang berangkat dulu,” ujar Danial sambil menghulurkan tangan. Dia mencium tangan ibunya dan kemudian bersalaman dengan adiknya.
Fajar menyinsing...
Pintu dapur dibuka perlahan. Suasana pagi yang nyaman diseliputi kabus dan kicauan burung-burung berterbangan mencari makanan. Pokok-pokok masih menghijau. Indah sungguh suasana kampung yang masih belum dicemari dengan pembangunan. Danial mengucapkan salam pada mereka sebelum beredar dengan kereta Pesona kelabunya. Mereka duduk semula untuk bersarapan pagi. Makanan dijamah perlahan. Makan sekadar untuk melapik perutnya yang kosong. Tiada selera. Dia termenung jauh. Tenungannya seolah-olah tembus sehingga ke dasar meja di hadapannya.  Ibunya asyik memerhati sahaja sejak tadi. Dia menggeleng-gelengkan kepala.
“Kamu ni kenapa, Nurul? Ibu tengok kau asyik termenung dari tadi. Tengah fikirkan siapa?” Tanya ibunya sambil terangkat keningnya ingin tahu. Dia tersentak sambil menoleh pada ibunya. Lama ditenung wajah tua itu. Pada siapa tempat dia ingin mengadu kalau tidak pada ibu. Bergenang sedikit air matanya. Dia mengalihkan pandangan sambil mengesat matanya.
“Tak apalah kalau kamu tak mahu ceritakan pada ibu sekarang. Ibu tak memaksa. Ibu nak pergi ke rumah tenun kejap lagi. Kamu nak ikut?” ibunya bertanya.
“Tak apalah ibu. Nurul rasa nak berehat. Penatlah,” jawabnya. Ibunya mengangguk faham.
“Ibu, sebenarnya Nurul berhenti kerja,” tiba-tiba mulutnya meluahkan kata-kata. Entah kenapa hatinya terasa tidak tertahan menanggung derita. Ibunya menoleh. Diam tidak berkata apa-apa.
I found him...
“Nurul terjumpa Shafiq,” air matanya mula bergenang. Dia menyandarkan kepala pada bahu ibunya. “Rupa-rupanya syarikat Nurul menjalankan usahasama dengan syarikat ayah Shafiq. Nurul tak sangka selama ini dia masih mencari Nurul. Kenapa Tuhan masih pertemukan Nurul dengan dia? Kenapa dia tak cari orang lain dan lupakan Nurul? Nurul tak sanggup, ibu. Nurul tak sanggup hadapi semua ini,” dia menangis tersedu-sedu. Sesekali menarik nafas panjang. Ibu memeluk erat seperti bayi kecil yang memerlukan perhatian. Dia faham kenapa anaknya benar-benar sedih. Sedih terpisah dengan orang yang disayangi. Pilu kerana berkorban untuk orang yang dikasihi. Jiwanya memberontak kerana bahagia itu bukan miliknya.  Kesedihan ibu yang berumur hampir separuh abad itu telah berlalu 30 tahun yang lalu. Cuma keadaannya berbeza. Tapi keperitannya tetap sama. Kebahagiaan memerlukan pengorbanan.
“Sabarlah, sayang. Semua ini ujian dari Allah. Jangan pertikaikan takdir Tuhan. Berdosa besar, nak. Istighfar banyak-banyak. Minta petunjuk dan hidayah daripadaNya. Banyak pahalanya kalau Nurul bersabar,” dia mengucup dahi anaknya berulang kali. Hati keibuannya tersentuh. Dia kembali mengimbau kenangan lalu. Kenangan indah bersama arwah suaminya. Sehidup semati. Seia dan sekata. Walaupun gelora melanda diawal pelayaran, namun berakhir dengan kebahagiaan dan kesyukuran yang tidak terhingga.
Bermula suatu pertemuan...
Keadaan hujan ribut ketika itu. Tiba-tiba pintu dapur diketuk bertalu-talu. Siapa pula yang mengetuk pintu pagi-pagi buta. Pintu diketuk lagi. Dia memberanikan diri membuka pintu. Kelihatan kelibat seorang pemuda yang berlumuran darah di kepala sedang berpaut pada pintu daun dan jatuh rebah di pinggir lantai.
“Astaghfirullahal azim. Mak… Ayah… ,” jeritnya terperanjat sambil berlari ke ruang tamu. Wajahnya cemas.
Akibat luka pada kepalanya, dia telah hilang ingatan. Dia tidak ingat apa-apa pun tentang kisah silamnya. Lantas ayahnya menjadikan dia sebagai anak angkat. Saban malam dia mendengar sayup-sayup bunyi orang mengaji al-Quran. Sungguh merdu alunan suaranya. Hatinya tenang apabila mendengarnya. Dia mencuri dengar daripada celah-celah dinding kayu ketika semua orang nyenyak beradu. Disebabkan kebolehannya itu, ayah meminta dia mengajar Al Quran dan juga agama kepada keluarganya.  Keluarganya terpaut pada keluhuran peribadinya yang sungguh mulia.
Di sinilah bermulanya cinta yang terlarang. Sayang selasih hamba lurutkan. Kerana kasih hamba turutkan. Begitulah dirinya. Apatah lagi dia tidak bertepuk sebelah tangan. Mereka sama-sama menyimpan perasaan. Hatinya tidak pernah meletakkan dirinya sebagai anak orang berada. Dia tidak memandang harta benda atau kekayaan sebagai kayu pengukur. Tapi cukuplah sekadar seorang yang beriman dan beramal soleh yang mampu membimbingnya ke jalan yang benar. Hidupnya pasti bahagia hingga ke akhir hayat.
Ampuni anakmu ini...
Cinta yang berputik telah dihidu oleh ayahnya. Lantas dia dibawa jauh dari situ dengan harapan dia dapat melupakan wajah itu. Terasa sakitnya jiwa dan raga. Batinnya menderita. Semakin hari wajahnya semakin suram. Pucat tidak bermaya. Saban hari dia menangisi perpisahan itu. Mujurlah ada yang bersimpati pada dirinya. Dia dibawa menemui kekasih hatinya dan dinikahkan. Dia amat berterima kasih pada abang kandungnya kerana memahami penderitaan yang dialaminya. Dalam tangisan dia terpaksa pergi jauh dari keluarga. Walaupun hatinya gembira kerana dapat bersama orang yang disayanginya tapi dia terpaksa korbankan keluarganya. Ayahnya tidak merestui perhubungan mereka apatah lagi kalau dia tahu mereka sudah bernikah, tentulah bencana yang datang melanda.
Cinta adalah pengorbanan...
Hari berganti hari. Tahun berganti tahun. Akhirnya dengan kuasa Tuhan yang Maha Esa ingatannya pulih semula. Dia dibawa ke kampung suaminya dan bermastautin di situ. Ternyata pilihannya tepat sekali. Suaminya adalah anak seorang tokoh guru agama terkenal di kampungnya. Mereka hidup harmoni dengan dikurniakan tiga cahaya mata. Danial anaknya yang sulung mewarisi ketokohan datuknya. Nurul Jannah anak keduanya seorang guru dan anak bongsunya Nurul Balqish. Umur suaminya tidak panjang. Tuhan menjemputnya terlebih dahulu sebelum dia. Ternyata semangat juang untuk terus hidup masih utuh berbekalkan kata-kata suaminya, setiap yang hidup pasti akan mati. Cinta pada Ilahi jua yang kekal abadi. Dia menanti di sana nanti. Hidupnya cukup bahagia tapi jauh disudut hatinya dia tidak terniat untuk menjadi anak derhaka. Ampuni dosa-dosaku ayah… ibu… rintihnya pilu.
Ya, Allah. Kau datangkanlah bahagia untuk anakku setelah sekian lama dia menderita. Kau kurniakanlah dia kekuatan untuk mengharungi segala dugaanMu dengan sabar dan tabah. Sesungguhnya Engkau tidak akan menduga hambaMu di luar batas dan kemampuan mereka. Ya Allah, Engkau Yang Maha Mengetahui apa pun yang tersirat dan tersurat. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Dengarkanlah permintaan hambaMu yang hina ini. Aku sebagai ibunya tidak sanggup melihat dia menderita. Tiada daya dan upayaku melainkan dengan kekuatanMu, Ya Allah. Bantulah hambaMu dalam mengharungi hidup yang penuh berliku ini.

......bersambung dengan lagu Sampai Syurga - FT
 
Ku membenarkan jiwaku
Untuk mencintaimu
Ku persembahkan hidupku
Untuk bersama kamu

Dan diriku untuk kamu
Belum pernah kumerasai begitu

Semua itu telah berlalu
Harapanku palsu
Dan mungkin hari yang satu
Terus ku tertunggu

Di hatiku masih kamu
Belum pernah ku ingin terus memburu

ohhh..
Aku lemah tanpa kamu
Ku inginmu dampingi ku
Aku fahami aku bukan terbaik
Untuk dirimu

Sampai syurga ku menunggu
Sampai syurga ku cintamu
Hanya satu
Hanya kamu

Ku membiarkan hatiku
Untuk merinduimu
Ku menghamparkan sakitku
Untuk tatapan kamu

Bersamamu harapanku
Hilang dalam terang yang membutakanku

Dan segala yang ku ada
Ku berikan semua
Untuk dirimu saja

Ku mahu dirimu
Bahagia untuk selamanya
Biar sampai syurga
Aku menunggu cinta darimu
Agar ku sempurna

Namun aku tetap aku
Yang terbaik untuk diriku
hanya satu

Aku lemah tanpa kamu
Ku inginmu dampingi ku
Aku fahami aku bukan terbaik
Untuk dirimu

Sampai syurga ku menunggu
Sampai syurga ku cintamu
Hanya kamu