Jumaat, 17 Ogos 2012

Part 14: Bicaralah dengan hati...


Dengarkan hatimu...
Perjalanan masih lagi jauh. Lebih kurang dua jam perjalanan baru sampai ke destinasi yang dituju. Sungguh dia memahami hasrat hati orang tua itu untuk menemui ibunya setelah hampir tiga puluh tahun berpisah. Hanya arwah ayah yang banyak bercerita tentang keluarga sebelah ibu.  Manakala ibunya tidak pernah bercerita tentang kisah silamnya. Ibunya memang kuat menyimpan rahsia. Katanya, perkahwinan mereka tidak mendapat restu daripada ibu bapa sebelah ibu. Ibu dinikahkan oleh abang kandungnya sendiri kerana tidak sanggup melihat adik kesayangannya menderita. Arwah ayah merantau membawa ibu jauh dari tempat kelahirannya. Setelah ingatan arwah ayah pulih, dia membawa ibu ke kampungnya. 
Masih segar diingatannya ketika dia bersama-sama bersahur didalam keluarga yang asing padanya tapi kemesraan mereka seolah-olah keluarga itu mempunyai pertalian darah dengannya. Mereka berbual-bual sementara menunggu masuknya waktu solat subuh. Teragak-agak Datuk Mansur mengajukan soalan padanya.
“Izinkan pakcik bertanya kalau ustaz tidak berkeberatan menjawabnya,” ujar Datuk Mansur pada Ustaz Muhammad Danial.
Ustaz muda itu hanya tersenyum sambil menjawab,”Tak mengapa. Tanyalah pakcik. Kalau boleh saya jawab, akan saya jawab. Kalau tidak boleh, saya cuba bertanya pada guru yang lebih arif.” Lama juga dia menunggu pertanyaan Datuk Mansur.
“Wajah ustaz ini seiras dengan wajah seseorang yang saya kenali. Tapi umurnya mungkin sebaya pakcik,” serius bunyinya.
Ustaz Muhammad Danial melebarkan senyuman sambil berkata,”Ohh… ramai yang kata begitu. Saya ikut muka ayah saya. Nama dia Haji Salahuddin bin Abdul Rahman. Tapi dia telah lama meninggal dunia.”
Datuk Mansur tersentak. Wajahnya berubah serta-merta. “Inna Lillahi wa inna ilaihi raji'un.”
Air dicincang takkan putus...
Hatinya hiba mendengar berita itu. Tidak syak lagi. Segala persoalan yang bermain difikiran sejak malam tadi terjawab. Pencarian selama bertahun-tahun menemui jalan buntu. Sesungguhnya kita merancang tapi Tuhan yang menentukan. Mereka hampir berputus asa.
Tanpa diduga apa yang dicari itu telah berada didepan mata. Subhanallah, kuasa Tuhan mengatasi segala-galanya. Doanya dibulan yang mulia ini dimakbulkan Allah jua akhirnya. Wasiat arwah bapanya akan terlaksana. Dia memeluk ustaz muda dengan linangan air mata. Sekali lagi ustaz itu kebingungan. Sudahlah malam tadi dikejutkan dengan tangisan nenek yang tidak pernah dikenalinya. Pagi ini pula, Datuk Mansur pula berjuraian air mata sambil memeluknya. Dia tidak faham dan tertanya-tanya.
“Saya tidak faham kenapa pakcik dan nenek menangis apabila memandang saya Adakah pakcik mengenali ayah saya?,” Ustaz Muhammad Danial terpinga-pinga. Datuk Mansur mengangguk-anggukkan kepala. Dia mengusap air mata dipipinya.
“Ya, benar. Dia banyak berjasa pada keluarga pakcik. Dia pernah mengajar keluarga bapa pakcik suatu ketika dahulu iaitu ayah pakcik. Adakah nama ibu kamu Siti Munirah?” Tanya Datuk Mansur lagi. Ustaz Muhammad Danial memandangnya dengan perasaan terkejut.
“Ya, benar. Pakcik kenal ibu saya juga?” Tanya Ustaz Muhammad Danial sambil berkerut dahi.
“Ya, pakcik kenal benar kerana dia adalah adik kandung pakcik. Adakah dia masih hidup?” jelas Datuk Mansur sambil memandang wajahnya. Ustaz Muhammad Danial menganggukkan kepala.
“Syukur, alhamdulillah. Bertahun-tahun pakcik cuba menjejaki ibu kamu tapi semuanya hampa belaka. Allah itu Maha Besar. Alhamdulillah, akhirnya pencarian kami membuahkan hasil.” Dia memelukkan dan mencium dahi ustaz Muhammad Danial sekali lagi. Terpancar sinar kebahagiaan diwajahnya. Lantas dia memaklumkan pada ibunya dikamar peraduan berita gembira itu. Perlahan-lahan dibisikkan ke telinga emaknya. Nenek membuka matanya tersenyum.
Syukur Ya Allah...
Dalam keheningan subuh, ustaz Muhammad Danial mengimami solat Subuh. Setelah selesai solat Subuh dia memanjatkan doa ke hadrat Ilahi menyatakan kesyukuran yang tidak terhingga. Sayu dan mendayu-dayu doanya. Mereka bersalam-salaman sambil menitiskan air mata kegembiraan. Pertanyaan ibunya menyentak lamunan Danial.
“Kamu nak bawa ibu ke mana ni, Danial? Esok dah nak sambut raya. Ibu belum buat persediaan apa-apa di rumah. Kubur arwah ayah kamu ibu belum ziarah lagi,” rungut ibunya setelah lama dia menanti jawaban daripadanya.
“Ibu duduk diam-diam. Kalau dah sampai nanti, Danial akan beritahu,” jelas Danial sambil tersengih-sengih. Satu cubitan hinggap di lengannya.
“Abang ni main-main jer. Beritahu sajalah kita nak pergi ke mana,” bentak adiknya.
“Tunggulah. Tak surpriselah kalau beritahu awal-awal,” balasnya. Ibunya mendiamkan diri sambil memandang ke luar. Fikirannya kosong. Saban tahun Aidilfitri disambut dengan segumpal rindu yang semakin hari kian menebal. Rindu pada arwah suaminya. Rindu pada ibu dan ayah. Adakah mereka masih hidup? Dia ingin sekali menyembah melutut untuk memohon kemaafan. Ya, kemaafan. Itu sahaja hajatnya yang tinggal.
Cantik tersergam indah...
Setelah berjam-jam di dalam kereta, akhirnya enjin kereta dimatikan. Ibunya terlena sekejap tadi terkejut sambil membuka matanya memerhatikan sekeliling. Rumah besar yang tersergam indah. Cantik ukirannya.
“Ibu, kita dah sampai,” ujar Danial lembut. Dia membuka pintu kereta sambil memapah keluar ibunya. Ibunya masih terpinga-pinga lalu merenung anaknya.
“Kita kat mana ni, Danial? Rumah siapa pula ni?” soalnya sambil mengerutkan dahi. Danial menguntum senyuman.
“Kejap lagi ibu akan tahu,” jawab Danial pendek.
Mereka berpegangan tangan ke arah pintu besar yang tersergam indah. Danial mengucapkan salam dan salamnya disahut oleh tuan rumah. Pintu besar terkuak lebar. Tercegat di pintu seseorang yang telah lama ditinggalkan. Walaupun wajahnya telah dimamah usia tapi sedikit pun tidak pernah luput daripada ingatannya. Danial tersenyum memandang ibunya. Terasa gugur rasa jantungnya apabila bersalaman dengan abang serta ibu kandungnya. Kasih sayang seorang ibu tidak pernah luput daripada sanubari. Mereka berpelukan melepaskan rindu masing-masing. Rindu yang telah lama terpendam. Air mata kegembiraan mengalir bertali arus sambil mengucapkan kesyukuran dipertemukan dengan anaknya sebelum ajal menjemput.
Danial tersenyum lega kerana dapat menyatukan keluarga yang telah lama terpisah.  Dia melihat adiknya masih lagi terpinga-pinga dan terkejut.

=0000000000000000000000000=

Hari ini hari yang paling gembira buat nenek dan keluarganya. Mereka bakal menyambut kunjungan saudara yang telah lama terpisah. Keretanya menderu laju apabila umminya memberitahu saudara jauh telah sampai. Dia tidak sabar untuk melihat kemeriahan Aidilfitri kali ini. Setelah sampai ke halaman rumah, dia berlari-lari anak menuju ke rumahnya. Kelihatan sebuah kereta Gen 2 bersebelahan dengan keretanya. Dahinya berkerut.Dia seolah-olah mengenali kereta itu. Tidak mungkinlah. Mustahil. No plat KL. No kereta Nurul Balqish. Kenapa sejak akhir-akhir ini dia merindui gadis itu, hatinya mengeluh.
“Assalamualaikum…,” ujarnya sambil membuka kasut.
“Waalaikumussalam. Cepatnya sampai. Marilah, mereka semua berada diruang tamu. Ada lagi yang lebih surprise untuk kamu,” jawab umminya, Datin Zainab. Amirul Shafiq menyambut tangan ibunya sambil meluru terus ke ruang tamu.
Neneknya kelihatan sedang rancak berborak-borak dengan Danial. Amirul Shafiq masih mencari-cari kelibat makcik saudara yang dimaksudkan oleh bapanya dan akhirnya mata itu terpaku di suatu sudut. Dia tercegat dipinggir sofa berdekatan dengan neneknya sambil menelan air liur yang kering. Tali leher dilonggarkan sedikit supaya nafasnya tidak tersekat.
“Makcik… ,” gugup suaranya. Mereka berpandangan. Amirul Shafiq menghulurkan tangan sambil mencium jari-jemari ibu saudaranya. Makcik Munirah tersenyum riang. Dia mengucup dahi Amirul Shafiq. Amirul Shafiq tertunduk malu. Matanya melilau memandang sekeliling mencari-cari bayangan itu jika ada.
“Dia ada di belakang melihat pokok-pokok bunga. Pergilah jumpa dia,” jelas ibu saudaranya seolah-olah faham apa yang bermain difikirannya. Amirul Shafiq melemparkan senyuman lalu melangkah laju ke belakang rumahnya.
###################
like ice...
Sejauh mana pun dia melarikan diri, semakin dekat ia datang menghampiri. Semakin dia cuba melupakan wajah itu, semakin kuat rindu itu datang mencengkam jiwa. Benar, hatinya masih tidak merelakan untuk melepaskan impian itu pergi. Biar pun dibibir mengiyakan tapi hatinya tidak ikhlas.  
Sejak semalam hatinya berdebar-debar apabila abangnya merancang untuk balik kampung. Di sinilah kampung mereka. Kampung mana lagi? Dia cuba mengorek rahsia tapi abangnya enggan bercerita. Perjalanan yang memakan masa separuh hari sungguh meletihkan. Dia bergilir-gilir memandu. Sampai sahaja di bandar KK hatinya mulai tertanya-tanya. Danial tetap merahsiakan destinasi mereka yang sebenar. Dia tersentak apabila Danial memberhentikan kereta di hadapan sebuah rumah banglo umpama sebuah mahligai baginya. Nama yang terpahat di tembok rumah itu sekali lagi membuatkan dirinya tertanya-tanya. Degup jantungnya bertambah laju. Adakah ibunya mempunyai pertalian saudara dengan pemilik rumah ini. Fikirannya bertambah kusut sehingga segala rahsia terlerai sebentar tadi.
Dia termenung sendirian. Sekurang-kurangnya bunga-bunga ini dapat menghiburkan hatinya. Cantik dan harum terutama bunga mawar merah itu. Dia menciumnya berulang-kali. Pandai tuan rumah ini menjaga taman bunganya. Hatinya tenang dan tenteram.
renungan tajam...
Amirul Shafiq leka merenungnya dibirai pintu. Dia memerhatikan gerak-geri Nurul Balqish sejak tadi. Hatinya berbunga semula setelah sekian lama ketandusan tidak berseri. Amirul Shafiq cuba menggunakan kuasa mindanya untuk memanggil Nurul Balqish. Berulangkali nama itu disebut sehingga akhirnya wajah itu berpaling kepadanya. Menjadi juga kuasa minda aku, detik hatinya. Terpaku. Kaku. Bisu. Tidak dapat diluahkan dengan kata-kata perasaan mereka ketika ini. Renungan mata mereka menzahirkan kerinduan yang amat sangat. Perpisahan itu menguatkan cinta mereka yang telah lama putus. Nurul Balqish melangkah laju cuba melarikan diri tapi dihalang oleh Amirul Shafiq. Ke kiri kemudian ke kanan. Nurul Balqish tidak dapat melepasi tubuh sasa itu. Nurul Balqish mendongak merenung mata Amirul Shafiq. Hatinya berdegup kencang. Kali ini dia tidak dapat melepaskan diri lagi. Pertalian darah antara Datuk Mansur dan ibunya akan kekal erat selama-lamanya. Hatinya merintih sayu. Sungguh, aku benar-benar mencintai dia. Kelopak matanya mulai bergenang air mata. Amirul Shafiq tahu gelodak hatinya. Dia mengusap air mata Nurul Balqish yang jatuh ke pipi. Nurul Balqish tersentak.
          “I miss you, Qish. I miss you so much. Fiq tidak akan lepaskan Balqish kali ini. Tolong jangan cuba lari lagi. I love you, Qish. Fiq tahu, Qish pun begitu juga. Jangan cuba tipu diri sendiri. Kalau tak, masakan Qish masih pakai cincin yang Fiq beri dulu,” luahnya dengan penuh perasaan. 
isyarat i luv u..
Nurul Balqish merenung tajam. Perasan pula dia cincin yang diberikan padanya dulu. Nurul Balqish menyembunyikan tangannya ke belakang. 
"Jika betul pun, itu hak Balqish. Cuma itu sahaja kenangan yang Balqish ada. Jangan letakkan sebarang harapan yang tidak pasti, Fiq," balasnya sambil menatap wajah Amirul Shafiq dengan mata yang berkaca. Dengan pantas dia meninggalkan Amirul Shafiq.
“Balqish…..” panggilan itu mematikan langkahnya. Dia menoleh ke belakang. Amirul Shafiq menunjukkan isyarat ‘I love U’ padanya. Nurul Balqish membalas dengan senyuman yang hambar.

cer kita dengar lagu bicara hati.... sambung lagi 
 

Bicara Hati (OST Bicara Hati) – Lena

Pinjamkan hatimu
Agar dapat aku tunjukkan cintaku
Moga engkau tahu semua kasihku hanya untukmu
Setiap rinduku nyata padamu
Pinjamkan cintamu
Agar dapat aku selami hatimu
Moga aku tahu ikhlasnya kasihmu hanya untukku
Percaya rindumu nyata padaku
Bicaralah hati tentang kita
Bicaralah hati untuk selamanya
Bicaralah hati dengan rela
Kau lengkapkan hidupku
Sempurnakan cintaku
Biar hati kita jadi satu


Rabu, 15 Ogos 2012

Part 13: Ikhlaskah hati?


         Padahlah jika hati itu tidak ikhlas. Sia-sia sahaja segala kebaikan jika diungkit berkali-kali. Tatkala hati sedang amarah atau dikecewakan maka terbentuklah perasaan yang boleh menghancurkan keikhlasan.  Lalu bagaimana untuk ditempuhi apabila dugaan ini jika ia datang menyapa? Mulut boleh dikunci daripada berkata-kata tapi tidak pada hati. Hati masih boleh berbicara tapi Cuma diri sahaja yang tahu. Istighfar. Beristighfar memohon keampunan daripada Allah.
Ikhlas itu datang jauh daripada lubuk hati. IKHLAS merupakan darjat yang paling tinggi kedudukannya selepas IMAN. Sesungguhnya diri sendiri tidak dapat menentukan sejauh mana keikhlasan dalam hati masing-masing. Ianya menjadi rahsia Tuhan. Betapa susahnya untuk mengikhlaskan diri kerana pada zahirnya keikhlasan itu tidak boleh disebut atau diungkap dengan kata-kata. Hanya Allah yang berhak menentukan keikhlasan hambaNya. Bukan manusia. Juga bukan malaikat. Ikhlas adalah suatu yang murni dan bersih. Tidak boleh dicampur dengan perkara yang lain-lain. Setiap kata-kata dan perbuatan perlulah ikhlas kerana Ilahi. Tiada yang lain.
            Tanya pada diri sendiri atas dasar apakah cinta itu dibina? Adakah kerana nafsu? Adakah kerana lumrah alam? Setiap insan dijadikan Tuhan berpasang-pasangan. Malah pernikahan itu digalakkan dimana akan sempurna separuh imannya. Sabda Nabi s.a.w. dari Anas bin Malik, "Jika seorang hamba Allah itu menikah (kahwin), maka telah sempurnalah setengah (separuh) agamanya. Maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada setengah yang lain." (Riwayat al-Hakim dan at-Thabrani).
            Tidak pernah hatinya sekalut ini. Gelisah. Resah. Sedetik demi sedetik masa berlalu. Semakin lama dipendam perasaan ini, semakin sakit perasaan dan jiwanya. Dia merasakan kehilangan yang amat sangat. Bagaimana harus diluah mati emak, ditelan mati bapa. Dia tidak tahu untuk berbuat apa lagi. Biarlah takdir yang menentukannya.
            “Ya, Allah. Kupohon padaMu Ya Allah, Kau bukakanlah jalan untuk aku, permudahkah segala urusanku dan Kau bukakan pintu hatinya untuk menerima aku. Sesungguhnya aku ikhlas mengasihi dirinya. Aku ingin menjaga dirinya sepanjang hayatku. Dan itu yang telah kujanjikan padanya. Ya Allah, Kau berikan kami peluang untuk menikmati hidup ini seperti pasangan-pasangan yang lain. Sesungguhnya kepadaMu hambaMu bermohon dan mengharap Ya Allah. Tuhan yang Maha Pengasih Lagi Maha Menyayangi. Amin Ya Rabbal Alamin.“ Sesungguhnya Allah jua tempat yang terbaik untuk memohon dan mengadu.
Sejak akhir-akhir ini dia lebih suka menyendiri. Hujung minggunya banyak dihabiskan dengan mentelaah buku-buku ilmiah dan majalah tentang bisnes di rumah kediaman keluarganya. Pintu kamarnya diketuk perlahan ketika dia sedang asyik mentelaah buku. Kelihatan wanita yang berusia lebih separuh abad ini masih mampu berjalan lagi dengan menggunakan tongkat. Amirul Shafiq melebarkan senyuman menyambut mesra nenek kesayangannya.
“Nenek patutnya berehat. Demam dan batuk nenek baru saja baik,” rungutnya sambil memimpin neneknya duduk.
“Nenek bosanlah asyik terperuk kat dalam bilik. Biarlah nenek keluar sekejap ambil angin,” jelas neneknya. Garis-garis kedut diwajahnya jelas kelihatan menampakkan dirinya yang sudah semakin tua dan uzur. Renungan tajamnya pada Amirul Shafiq penuh dengan tanda tanya. Dia tahu Amirul Shafiq sedang menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya.
“Kenapa dengan cucu nenek ni? Ada masalah ke?” soal nenek sambil mengusap-usap rambutnya. Amirul Shafiq hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.
“Tak ada apa-apalah nek. Masalah kecil jer,” jawabnya cuba mententeramkan perasaan neneknya. Nenek merenung anak mata Amirul Shafiq sedalam-dalamnya. Sinarnya semakin pudar. Tiada cahaya. Tiada bahagia. Sinar matanya lebih menceritakan kehampaan. Kedukaan. Jiwa yang lara.
Cuba khabarkan pada nenek siapakah gerangan yang telah mencuri seri diwajah cucu nenek ni. Nenek teringin nak tahu,” neneknya cuba mencungkil rahsia. Amirul Shafiq terdiam. Matanya tertunduk kemudian memandang wajah tua itu dengan senyuman yang hambar. Dia mendakap erat tubuh kecil neneknya. Betapa bahagianya andai masalah itu dapat diselesaikan dan penyudahnya happy ending story. Tiada apa-apa yang perlu dibicarakan. Akhirnya dia tertidur diriba neneknya. Masalahnya hilang seketika.

&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

Masa berlalu tanpa disedari. Saban hari wajah tua itu mengharapkan kepulangan seseorang yang telah lama terpisah. Rindunya seorang ibu pada anaknya tidak pernah luput daripada hatinya. Sekeras mana pun hati orang tua, akhirnya lembut jua walau dimamah usia. Dia mengharapkan sinar Ramadhan kali ini mampu membawa kebahagiaan dan keceriaan dalam rumah yang gah ini. Betapa dia mengharapkan kepulangan insan yang dikasihinya.
“Yong, abah mengharapkan berita baik daripada kamu sebelum abah menutup mata. Abah terlalu rindu pada adik kamu. Abah telah maafkan dia dan abah halalkan segala makan minumnya. Carilah dia sampai dapat,” itulah pesan terakhir yang ditinggalkan oleh arwah suaminya pada anak sulungnya. Satu-satu wasiatnya yang belum tertunai sehingga kini. Air matanya menitis deras. Usahanya masih menemui jalan buntu.
Terpegun mendengar alunan suaranya...
Alunan suara dari masjid berdekatan menggamit hati tuanya untuk bersolat terawih berjemaah di sana. Suara itu sungguh merdu dan sayu. Suara yang pernah didengari pada suatu ketika dulu. Ya, suara itu. Suara itu sama seperti suara yang mengajar keluarganya mengaji dua puluh tahun dahulu. Kesungguhannya untuk melihat wajah pemilik suara itu semakin kuat sehingga anak menantunya merasa pelik. Pelik dengan permintaannya.
“Mak tak sihat. Tak payahlah ke masjid. Nanti saya pesan pada Amirul bawakan ustaz tu ke rumah kita,” pujuk anaknya. Wajah tua itu berubah marah.
“Aku tak peduli. Aku nak pergi juga. Amirul boleh bawa aku ke sana,” bentaknya sambil memaut tangan Amirul Shafiq ke pintu besar.
“Yalah… yalah… Bawa bibik sekali. Nanti bibik tolong tengok-tengokkan mak,” balasnya sambil memanggil orang gajinya untuk menemani emaknya. Amirul Shafiq melangkah perlahan memimpin neneknya ke dalam kereta. Mereka meluncur perlahan ke masjid berhampiran setelah azan isyak berkumandang sayup-sayup memanggil para jemaah untuk bersolat.
“Amirul, lepas solat terawih bawa nenek jumpa ustaz tu yer. Nenek teringin sangat nak lihat wajahnya,” pesan neneknya sebelum masuk ke dalam masjid. Amirul Shafiq mengiyakan. Matanya menyorot sehingga neneknya hilang daripada pandangan. Tidak pernah neneknya berkelakuan begini. Pelik sungguh. Apa yang membuatkannya begitu beria-ia untuk menemui ustaz itu. Dia tidak faham kenapa. Kakinya melangkah menuju ke barisan saf pertama setelah iqamat berkumandang.
Sungguh merdu suaranya membaca surah Al-Fatihah. Lembut dan lunak. Penuh dengan lenggok tarannum dan tajwidnya cukup mantap. Jarang dia mendengar suara ini. Siapakah gerangan empunya suara ini sehingga menyebabkan neneknya bersemangat untuk menjalani solat terawih di masjid? Dirinya terus hanyut dalam kekusyukan solat. Hatinya berasa aman dan tenteram.
Setelah selesai solat terawih dan witir para jemaah dijemput untuk makan ringan atau sikenali juga sebagai morey. Amirul Shafiq berdiri sambil menjingkit sedikit kakinya mencari kelibat ustaz yang bersuara lunak itu. Para jemaah sibuk bersalaman antara satu sama lain. Tiba-tiba bahunya ditepuk daripada belakang.
“Ohhh… Amirul rupanya. Dah lama tak nampak. Cari siapa tu? Terjenguk-jenguk daripada tadi,” ujar Pak Mail jiran sebelah rumahnya menyapa. Amirul Shafiq menoleh dan tersengih.
“Siapa yang jadi imam tadi pakcik? Saya tak pernah dengar pun suaranya sebelum ini. Ustaz baru ke?” Tanya Amirul Shafiq.
“Ustaz jemputan untuk bulan Ramadhan ni. Ustaz Muhammad Danial kalau tak silap namanya. Hmm… pakcik pun nak jumpa dia ni. Nak jemput makan morey. Marilah ikut pakcik kalau kamu nak jumpa ustaz tu,” pelawa pakcik Mail. Amirul Shafiq mengukir senyuman. Bagai pucuk dicita ulam mendatang. Tanpa berlengah dia mengekorinya daripada belakang.
“Assalamualaikum ustaz,” ucap pakcik Mail sambil menghulurkan tangan untuk berjabat salam. Salamnya disambut mesra. Amirul Shafiq juga tidak ketinggalan bersalaman.
“Saya nak jemput ustaz untuk makan morey bersama-sama di luar sana. Yang ini saya perkenalkan Amirul Shafiq. Dia teringin nak jumpa ustaz,” ulas pakcik Mail sambil memandang Amirul Shafiq.
“Err… sebenarnya nenek saya teringin sangat nak jumpa ustaz. Harap ustaz sudi menunaikan permintaannya,” jelas Amirul Shafiq sambil menganggukkan kepala.
“Boleh. Tak ada masalah,” kata ustaz itu sambil membalas senyumannya. Amirul Shafiq terpegun melihat wajahnya. Lembut dan bercahaya. Sejuk perut ibu yang mengandungkannya. Dari kejauhan Amirul Shafiq terdengar namanya dipanggil. Dia menoleh mencari suara itu. Kelihatan neneknya telah berada di pintu ruang solat lelaki. Amirul Shafiq pergi mendapatkan neneknya sambil diikuti oleh pakcik Mail dan juga ustaz itu.
Nenek memandang wajah itu tanpa berkedip seolah-olah dia kenal. Tangannya mengusap perlahan pipi ustaz muda itu. Air matanya menitis perlahan. Wajah itu saling tidak tumpah pada wajah menantunya. Hatinya meruntum sayu. Masing-masing kelihatan bingung melihat senario itu.
“Nenek… kenapa nenek menangis? Kalau saya bersalah saya mohon maaf banyak-banyak kerana saya menyebabkan nenek sedih,” ujar Ustaz Muhammad Danial sambil mengampuh badan nenek yang hampir rebah. Nenek menggeleng-gelengkan kepala.
Kenapa menangis?
“Tidak. Tidak. Kamu tidak bersalah apa-apa, cu. Nenek yang bersalah,” tangisnya bertambah kuat. Ustaz itu bertambah bingung. Dia tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh nenek lalu memandang Amirul Shafiq.
“Lebih baik kita hantar nenek kamu balik rumah dulu. Agaknya dia terlalu penat,” cadang pakcik Mail pada Amirul Shafiq. Amirul Shafiq menganggukkan kepala.
“Ustaz jemput sekali ke rumah saya. Tak jauh dari sini,” jemput Amirul Shafiq pada Ustaz Muhammad Danial. Mereka beriringan memapah nenek masuk ke dalam kereta. Sepanjang perjalanan ke rumah nenek tidak henti-henti bercakap bahawa dia yang bersalah. Bersalah kerana apa? Amirul Shafiq mengerutkan dahi sambil orang gajinya cuba mententeramkan keadaan nenek.
Setelah sampai dipintu, nenek rebah tidak sedarkan diri. Masing-masing menjadi kalut. Amirul Shafiq menjerit memanggil ayahnya. Sekonyong-konyong pintu rumahnya terbuka luas. Habis hiruk-pikuk dengan jeritan emak dan kakaknya. Ayahnya pula terpaku di depan pintu melihat kelibat Ustaz Muhammad Danial. Dia terpegun melihat wajah itu. Memang wajah itu dia kenal benar. Malah dia yang mewalikan adiknya untuk bernikah. Tapi itu mustahil. Mustahil kerana orang ini terlalu muda. Sepatutnya umurnya sebaya atau lebih kurang umurnya. Dia bingung. Setelah selesai mengangkat neneknya ke bilik peraduan, ayahnya menjemput tetamu-tetamu yang ada untuk menjamu selera.
Ustaz Muhammad Danial memohon untuk mengundurkan diri mamandangkan hari telah larut malam. Tapi ayahnya meminta ustaz muda itu bermalam sahaja di rumahnya. Dengan berat hati ustaz Muhammad Danial mengiyakan pelawaan itu.

bersambung la pulak.... SALAM AIDILFITRI & MAAF ZAHIR BATIN.
Meriah Suasana Hari Raya - Siti Nurhaliza

Riuh rendah sungguh kampung laman
Sapa salam sahut-sahutan
Manis wajar senyum pun terukir
Budak-budak ke hulu hilir

Ziarahi jiran sanak saudara
Lupakan luka sengketa
Luhur jiwa raga jujur bicara
Di hari raya

Anak rantau pulang keriangan
Lembu kerbau menjadi korban
Ayah bonda turut bergembira
Meriahnya hari bahagia

Berpakaian baru aneka gaya
Bertudung manis si dara
Tertawanlah hati muda teruna
Mula bertanya

(Pak Lang Yang Itu Anak Siapa Tu)

c/o
Mana jauh kita dekat-dekatkan
Bertandang mesra bersembang tawa
Terkenang kisah yang lama

Mana dekat kita erat-eratkan
Terlanjur kata terlampau cara
Bermohon..Ampun dipinta..

Bersyukur pada tuhan
bersenda teman taulan
Hulurlah keinsafan
Salinglah bermaafan

Indah Minalaidil Walfaizin
Menyuci lahir dan batin
Bahagia rasa sama rasa
Meriahnya Di Hari Raya

Indah Minalaidil Walfaizin
Menyuci lahir dan batin
Bahagia rasa sama rasa
Meriahnya Di Hari Raya

Rabu, 8 Ogos 2012

Part 12: Terkenang Semasa Dulu..Hatiku..-XII

Finale - dalam kenangan

            Keadaan pejabat senyap sunyi. Kedengaran bunyi fail-fail sedang disusun di dalam rak almari. Nurul Balqish mengetuk pintu sambil melemparkan senyuman pada Fatimah.
            “Fatimah, awak ada nampak Tuan Zafrul?” soal Nurul Balqish.
            “Tak ada, puan. Dalam minggu ini saya tak nampak dia di pejabat. Kenapa Puan Nurul?” balas Fatimah sambil membetul-betulkan fail-fail yang berterabur di atas mejanya. Nurul Balqish mengerut dahi.
            “Dia tak terlibat dalam operasi cuti semester ini ke? Saya tak nampak pun nama dia dalam senarai AJK,” gusarnya.
            “Ohh… Tuan Zafrul tarik diri, puan. Saya pun tak pasti apa sebabnya,” jawab Fatimah.
Nurul Balqish terpinga-pinga. Pelik. Ada sesuatu yang tidak kena. Sejak akhir-akhir ini, Zafrul sering menjauhkan diri daripadanya. Di kelas pun begitu juga. Sebaik sahaja kelas berakhir pasti dia melarikan diri daripada bertemu dengannya. Dia mengeluh panjang dan faham dengan tindakan Zafrul. Biarlah hatinya sejuk dahulu. Mungkin dia perlukan masa untuk mencari ketenangan. Bisik hatinya. Nurul Balqish meninggalkan Fatimah sendirian di pejabat. Dia melangkah longlai dengan fikiran yang kusut. Kesal kerana terpaksa mengecewakan orang lain sedangkan hatinya tidak terniat pun untuk melukakan hati sesiapa. Matanya melirik memandang kad-kad ucapan yang dipamerkan di kedai koperasi. Tergerak hatinya untuk mengutuskan sekeping kad ucapan maaf. Harapannya agar Zafrul dapat memaafkan dirinya. Tidak semena-mena Amirul Shafiq muncul entah dari mana datang menyapa.
Maafkan daku...
 “Cari kad untuk siapa?” Tanya Amirul Shafiq sambil mengangkat dahi. Nurul Balqish terpinga-pinga. Dia tidak menyangka Amirul Shafiq berada di situ.
“Err… Untuk Zafrul,” jawabnya selamba sambil mencapai kad yang dijual di situ.
Amirul Shafiq tersentak. Dia cuba mengawal dirinya daripada perasaan cemburu. Matanya melilau tidak keruan. Dahinya berkerut seribu.  Diam seribu bahasa. Nurul Balqish membelek-belek kad yang diambilnya lalu ditunjukkan pada Amirul Shafiq.
“Yang ini ok tak?” Amirul Shafiq tidak menyahut. Dia tidak mempedulikan pertanyaan Nurul Balqish lalu beredar. Dia tahu Amirul Shafiq marah. Setelah membuat membuat pembayaran di kaunter dia mendekati Amirul Shafiq yang masih setia menantinya di luar kedai.
“Fiq marah?” Tanya Nurul Balqish.
“Tak adalah. Fiq tak marah cuma geram,” Amirul Shafiq menjawab acuh tak acuh. Fikirannya menerawang entah ke mana. Dia merasakan Nurul Balqish lebih mementingkan orang lain daripada dirinya. Entah kenapa tiba-tiba moodnya hilang untuk berbicara.
“Balqish nak minta maaf pada Zafrul. Dia dah lain. Tak macam dulu. Suka menjauhkan diri,” jelasnya panjang lebar. Amirul Shafiq menoleh sambil tersenyum simpul.
“Hmm… baguslah kalau begitu. Fiq pun tak suka Balqish rapat sangat dengan dia,” jelas Amirul Shafiq.
Nurul Balqish terdiam sambil memandang Amirul Shafiq. Jauh di sudut hatinya dia kecewa. Kecewa kerana kehilangan sahabat yang baik. Dia tidak pernah terfikir yang Zafrul mencintainya dalam diam dan tidak bermaksud untuk mengecewakannya. Sebelum ini hatinya tidak pernah terbuka untuk bercinta mahupun dicintai kerana dia tidak suka dikongkong dan yang penting dia belum bersedia untuk bercinta. Tapi tidak tahu kenapa agaknya hatinya terbuka untuk menerima Amirul Shafiq. Mungkin kerana kesungguhannya meraih cinta Nurul Balqish dan juga keikhlasannya dalam memperjuangkan kasihnya.
Tak baik termenung...
 “Apa yang dimenungkan tu?” tanya Amirul Shafiq sambil melambai-lambai tangannya pada wajah Nurul Balqish. Nurul Balqish tersentak.
“Tak perlu difikir-fikirkan sangat. Beri dia masa untuk menenangkan fikiran. Keadaan akan kembali pulih seperti biasa apabila hatinya dah pulih. Jangan risau,” jelas Amirul Shafiq cuba mententeramkan Nurul Balqish. Wajahnya yang muram tadi terus bertukar ceria.
“Betul ni. Tak bohong,” ujar Nurul Balqish. Amirul Shafiq mengangguk.
"Err...Boleh tak kalau lepas ni kita tak perlu bercakap pasal Zafrul? Dengar nama dia Fiq rasa semacam. Boleh menyebabkan hilang mood ," ujar Amirul Shafiq lembut. Nurul Balqish terkedu.
“Balqish tahukan Fiq sayangkan Qish sangat-sangat. Fiq tidak mahu ada orang ke tiga di antara kita. Qish sayangkan Fiq?” Tanya Amirul Shafiq sambil menatap matanya. Nurul Balqish terpegun dengan pertanyaan itu. Apakah maksud soalan yang diajukan itu? Adakah untuk menguji kejujuran hatinya? Memang selama ini Amirul Shafiq sahaja yang meluahkan isi hatinya. Dia malu. Malu untuk mengiyakan. Tapi kata-kata itu perlu diluahkan agar pihak lain merasa dirinya terjamin.
Saya sayang awak...
“Ya. Saya sayang awak. Kenapa tanya?” jawabnya ikhlas.
Amirul Shafiq mengeluarkan sesuatu daripada poket seluarnya. Sebuah kotak kecil berbentuk love berbaldu merah. Sebentuk cincin belah rotan. Tiba-tiba jantung Nurul Balqish berdegup kencang. Tubuhnya kaku dan matanya tidak berkedip memandang Amirul Shafiq.
“Fiq nak jumpa ibu Balqish. Kita kahwin,” tegas Amirul Shafiq.
“Fiq, jangan main-mainlah. This is not funny,” sergah Nurul Balqish. Pipinya berubah kemerah-merahan.
I’m not joking. I’m serios. Fiq tak mahu kehilangan Balqish. Fiq mahu Balqish menjadi milik Fiq yang sah,” jelas Amirul Shafiq sambil memandang tepat ke matanya. Nurul Balqish terdiam kaku.. Dia melihat kesungguhan pada wajahnya itu. 

###########################
Kita hanya merancang tp Tuhan jua yg menentukan.

            Namun Allah Maha Mengetahui segala-galanya. Sejauh mana mereka merancang dan sekuat mana pun ikatan cinta yang dibina kalau belum sampai jodohnya, maka terpaksalah terima walaupun perit. Bersabar adalah kunci kekuatan diri yang paling berharga. Cincin itu masih di dalam simpanannya. Cincin itu masih utuh dijari manisnya. Dia yang memutuskan hubungan itu. Dia merelakan perpisahan itu walau hatinya enggan melepas ia pergi. Kenangan yang indah tetap diingati sampai ke akhir hayatnya. Dia pasrah menerima dugaan Yang Maha Esa. Biarlah Allah menentukan jalan hidupnya. Dia memanjatkan doa agar diberi kekuatan untuk mengharungi dugaan hidup yang penuh pancaroba. 
Madahtidakberhelah
Berakhir episod Terkenang Semasa Dulu... 
bersambung dengan realiti semula...

 Lirik Lagu Hilangnya Cintamu – Ost Lagenda Budak Setan
Bila cinta kini.
Tak lagi bermakna
Yang ku rasa kini
Hanyalah nestapa
Ditinggalkan cinta masa lalu
Dulu kau tawarkan
Manisnya janjimu
Yang ku sambut itu
Dengan segenap hatiku
Bila engkau pergi
Tinggalkanku Hilangnya cintamu
Menusuk hatiku
Ternyata memilih
Cinta yang fanaPerginya dirimu
merobek jantungku
Hingga ku terjatuh
Dalam harapanHilangnya cintamu
Menusuk hatiku
Hingga ku terjatuh
Dalam harapan
uuuuuuuu…
Dalam harapan

Khamis, 2 Ogos 2012

Part 12: Terkenang Semasa Dulu.. XI


Salam Ramadhan pada semua...
Harapan Ramadhan
(RAIHAN & MAN BAI )

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

            Sayup-sayup kedengaran lagu menyambut bulan Ramadhan Al Mubarak. Bait-bait lagu yang berkumandang di radio amat menyentuh sanubari. Sukar untuk dilupakan kenangan ketika berpuasa di perantauan jauh daripada keluarga dan sanak saudara. Sahur dan berbuka bertemankan teman-teman seasrama sahaja dengan berlauk mengikut jadual yang ditetapkan dan nasi kawah. Sekurang-kurangnya rasa bersyukur juga kerana ada makanan untuk dijamah dan ada air untuk menghilangkan dahaga. Kantin asrama riuh-rendah dengan suara-suara pelajar-pelajar yang beratur mengambil makanan. Matanya kadang-kala melilau mencari. Apabila terpandang wajah itu dia berasa lega. Tapi matanya tidak pernah bertentang. Kalau adapun masing-masing tertunduk malu dan kadang-kala melarikan pandangan. Kedengaran satu das bunyi meriam dilepaskan dari kawasan istana berdekatan dengan sekolah menunjukkan waktu berbuka puasa. Tidak lama kedengaran azan berkumandang dari surau.
            Sungguhpun hati berasa sayu, suasana ketika itu sungguh meriah terutama ketika solat terawih berjemaah. Tidak pernah tertinggal walau sekalipun kecuali cuti kelepasan yang dibenarkan. Sungguh hati ini benar-benar merindukan saat-saat itu berulang kembali. Teringat ketika bilal mengalunkan bacaan sebelum memulakan solat terawih seolah-olah memanggil para jemaah supaya bersedia berada di dalam saf dan disahut pula oleh para jemaah. 
 
                      Detik-detik itu tinggal kenangan abadi yang terindah penuh dengan nikmat dan barakah. Terlalu banyak kenangan indah. Mampukah dia berdepan dengan semua ini? Lalu harus ke mana dibawa hati ini. Menjauhkan diri. Jauh dan terus menjauh. Mungkin itu jalan terbaik.
Madahtidakberhelah:
Salam Ramadhan Al Mubarak. Selamat menjalani ibadah puasa. 
Sesungguhnya ada perkara yang menjadi kenangan seumur hidup kita.
Kenangan itu hanya tinggal sejarah.
Dan kisah ini bersambung lagi.....