Isnin, 24 September 2012

Part 15: Harus bagaimana....

Terkunci....


Dia menghela nafas panjang sambil menghirup seteguk air suam bagi meredakan tekaknya yang kering setelah sebiji kurma dijamah. Sejak tadi dia mendiamkan diri tidak berkata sepatah pun. Hanya sekadar mengangguk sekiranya mahu dan juga menggelengkan kepala apabila dipelawa oleh Datin Zainab dengan pelbagai juadah berbuka puasa.
Dia cukup tidak selesa apabila Amirul Shafiq duduk bertentangan dengannya. Sejak tadi Amirul Shafiq merenung tajam padanya tapi sengaja tidak dipedulikan. Sesekali mereka bertembung tangan untuk mengambil makanan yang sama.
“Qish nak spaghetti ke? Biar Fiq sendukkan,” ulas Amirul Shafiq sambil mengambil pinggan yang dihulurkan oleh Nurul Balqish. 
"Terima kasih," ucapan terima kasih terukir dibibirnya tanpa memandangnya. 
“Kasihmu kuterima," balas Amirul Shafiq perlahan sambil mengukir senyuman. Nurul Balqish menjeling menahan geram. Datin Zainab menoleh ke arah anak bujang.
“Amir... sudah-sudahlah mengusik Nurul tu. Tak baik mengusik anak dara orang," tegur Datin Zainab.  Amirul Shafiq tersipu-sipu sambil menyuap spaghetti ke dalam mulutnya.
“Alah bukan orang lain pun. Sepupu Amir juga,” sahut Amirul Shafiq sambil memerhatikan Nurul Balqish yang asyik menyuap spaghetti ke mulutnya. Amirul Shafiq menegur Nurul Balqish dengan isyarat tangan menunjukkan tepi mulutnya yang comot. Nurul Balqish terpinga-pinga sambil mengambil tisu menyapu sedikit tepi mulutnya.
Datuk Mansur asyik memerhatikan gelagat mereka berdua terutama Amirul Shafiq. Nurul Balqish lebih banyak mendiamkan diri tapi Amirul Shafiq sering saja mencari helah untuk mendekatinya. Nurul Balqish cuba mengelak selagi boleh. Datuk Mansur merasakan ada sesuatu yang tersembunyi antara mereka berdua. Dia menoleh memandang Makcik Munirah.
“Yong tak tahu pula Nurul satu universiti dengan Amir. Tak pernah pula Amir bercerita dengan Yong. Hmm… dengarnya Nurul sudah berhenti kerja dari syarikat usahasama Pak Long tu. Kenapa? Dapat tawaran kerja lain ke? Kerja dengan Pak Long sajalah Nurul. Nanti Pak Long suruh Amir carikan pekerjaan apa yang sesuai untuk Nurul,” pelawa Datok Mansur sambil berpaling pada Nurul Balqish pula. Sudah lama dia tidak membahasakan dirinya sebagai Yong kecuali dengan emaknya. Gelarannya sejak kecil lagi.
Makcik Munirah tersenyum mendengar pelawaan abang kandungnya. Dia berpaling ke arah Nurul Balqish yang sedang berkerut dahi memandang Datuk Mansur.
“Tak apalah, Pak Long. Tak payah susah-susah. Sebenarnya Nurul cuti tanpa gaji. Syarikat tempat Nurul kerja dah panggil Nurul bekerja semula,” jelas Nurul Balqish cuba memberi alasan. Makcik Munirah menyampuk.
“Biasalah budak-budak, Yong. Suka lari daripada masalah. Mereka dah besar panjang. Berpelajaran tinggi pula tu. Masing-masing dah pandai buat keputusan sendiri. Angah malas nak masuk campur,” celah Makcik Munirah pula. Amirul Shafiq mengangkat keningnya sambil berfikir. Giliran Amirul Shafiq pula mencelah.
“Setahu Fiq Encik Irfan beritahu Balqish berhenti kerja bukannya cuti tanpa gaji, Mak Ngah,” tegur Amirul Shafiq sambil mencuri pandang Nurul Balqish yang sedang bengang.
Tajam memandang...
Nurul Balqish merenung tajam dengan perasaan marah. Satu hentakan tumit terkena pada hujung jari kaki Amirul Shafiq membuatkan dia tersentak lalu memandang Nurul Balqish. Amirul Shafiq menutup mulutnya sambil menahan sakit. Dahinya berkerut. Aduh... sampai pula kaki dia ni. Masih garang seperti dulu, bisik hatinya.
“Entahlah, Shafiq. Tanya tuan badannya sendiri. Mak Ngah dah tak kuasa  nak melayan,” jelas Makcik Munirah sambil menghabiskan nasi di pinggannya.
“Tak apalah Mak Ngah. Nanti Shafiq carikan kerja kat company ayah. Itupun kalau Mak Ngah izinkan,” celah Amirul Shafiq sambil  tersenyum menahan sakit. Makcik Munirah membalas dengan ketawa kecil.
“Untunglah kalau kamu dapat pujuk Nurul,” balas Makcik Munirah sambil menjeling anaknya yang enggan bersuara. Nurul Balqish menyudahkan makanan di pinggannya lalu membasuh tangan.
“Maafkan Nurul. Nurul minta diri dulu,” dia bingkas bangun.
“Takkan dah sudah. Banyak lagi juadah yang belum dijamah,” tegur Datin Zainab terkejut melihat Nurul Balqish selesai menjamu makanan.
“Tak apalah Mak Long. Tiba-tiba saja kepala Nurul pening. Mungkin terlalu jauh perjalanan hari ini. Maaf semua,” balas Nurul Balqish lagi.
Datin Zainab menganggukkan kepala sambil memerhatikan Nurul Balqish yang menghilang di balik tangga. Amirul Shafiq hanya memerhatikannya melalui sorotan matanya. Sejak petang tadi, Nurul Balqish lebih banyak mendiamkan diri. Pastinya dia masih lagi terkejut dengan berita yang baru diketahuinya itu. Begitu juga Amirul Shafiq. Bagai pucuk dicita ulam mendatang. Memang benar Allah lebih mengetahui sesuatu kejadian berbanding hambaNya. 
Pengumuman tentang tarikh hari raya telah dihebahkan di televisyen. Esok telah diumumkan sebagai hari kemenangan bagi seluruh umat Islam untuk menyambut Syawal. Riuh-rendah kedengaran dengan hilai-tawa dan gurau-senda sanak-saudara. Takbir berkumandang di masjid berhampiran. Nenek amat gembira menyaksikan kegembiraan ini. Lantas mengalir cecair hangat dari kelopak matanya. Masing-masing duduk menyaksikan pengumuman di depan kaca TV.  Tidak semena-mena Syahira menepis pahanya sambil tersenyum memandang Amirul Shafiq.
       “Abang Amir, temankan Syira pergi pasar Ramadhan. Malam ni mesti banyak jualan lelong. Ummi dan Mak Ngah nak ikut juga,” ajak Syahira, adik Amirul Shafiq yang bakal menduduki SPM tahun ini. Dia menjeling.
       "Ummi tak cakap dengan abang pun nak pergi bandar. Awak saja memandai-mandai," jawab Amirul Shafiq. 
     "Syira tak beli tudung lagi. Jomlah bang. Please....," rengek Syahira bagai budak kecil.
      “Abang boleh hantarkan tapi ajak akak Balqish. Kalau dia tak ikut, abang tak nak pergi,” dia cuba berbisik ke telinga Syahira. Syahira memuncung.
“Akak Balqishkan pening kepala. Tentu dia tak mahu ikut,” rungut adiknya. Amirul Shafiq masih selamba cuba melengah-lengahkan waktu kemudian menoleh.
“Hish budak ni… kacau orang sajalah,” dia bingkas bangun mengambil kunci kereta lalu beredar ke halaman rumah. “Abang tunggu kat luar,” balasnya. Syahira tersenyum puas.
Dia duduk di luar di perkarangan taman rumahnya sambil memandang ke langit melihat bintang yang bertaburan. Alangkah indahnya ciptaan Tuhan. Bunyi bunga api berdentum-dentum di merata-rata tempat. Sungguh meriah suasana malam ini. Dia leka menyaksikan kerlipan bunga api. Sayup-sayup kedengaran riuh-rendah diperkarangan rumah.
“Semua pergi ke? Habis siapa yang tengok rendang kat dapur tu?” dari jauh Amirul Shafiq terdengar Datuk Mansur merungut pada isterinya.
“Najihah ada! Abang dan Danial tolong tengok-tengokkan ketupat kat dapur tu. Tolong tambahkan air kalau dah kering,” jawab Datin Zainab selamba.
Amirul Shafiq masih lagi bersandar di tepi kereta BMWnya. Termenung sambil menanti dengan penuh sabar. Tiba-tiba bahunya disentap dari belakang. Kelihatan Syahira serta Nurul Balqish sudah bersedia. Syahira tersenyum dan Nurul Balqish pula masih lagi membisu tidak mahu bertentang mata dengannya.
“Cepatlah buka kunci kereta ni. Termenung pula. Adik dah bawakan kak Balqish sekali. Nasib baik ummi yang pujuk kak Balqish. Ummi suruh pilihkan baju raya untuk Kak Balqish sebab baju raya dia tak siap lagi. Ni kena bagi upah lebih tau,” perli Syahira.
Amirul Shafiq menekan butang keretanya. Mereka membuka pintu kereta dan duduk diam di belakang. Datin Zainab dan Makcik Munirah masih lagi berada di beranda. Entah apa yang dikecohkan. Amirul Shafiq menoleh ke belakang.
“Syira pergi panggil ummi. Pukul berapa nak pergi ni?” rungut Amirul Shafiq. Syahira memuncung sambil keluar dari kereta menuju ke beranda. 
Dia sengaja menyuruh adiknya keluar memanggil Datin Zainab supaya dia senang untuk berborak-borak dengan Nurul Balqish. Sesekali Amirul Shafiq cuba mengintai ke belakang melalui cermin pandang belakang. Nurul Balqish termenung memandang keluar tingkap kereta.
“Qish marah ke? Dah tak sudi nak cakap dengan Fiq lagi,” tanya Amirul Shafiq sambil memandang cermin. 
      “Ada orang pun macam tak ada,” rajuknya sambil berpaling ke belakang. Nurul Balqish masih membatu. Resah menghantui dirinya.
Harus bagaimana lagi?
“Walau apapun terjadi, Fiq tetap cintakan Balqish sampai bila-bila,” jelas Amirul Shafiq bersungguh. Tiada respon. Nurul Balqish tidak mengendahkan kata-katanya. Amirul Shafiq seperti mati kutu dan hilang akal. 
     "Sampai bila Qish nak mengelak. Kita tinggal sebumbung dah sekarang. Mahu tak mahu kita masih tetap berjumpa. Kena jumpa juga untuk minta ampun dan maaf kalau ada salah silap. Hmm... susahlah kalau bercakap dengan orang bisu. No response," ujarnya lagi.
      Ada betulnya kata-kata itu. Nurul Balqish tidak boleh mengelak sekurang-kurangnya seminggu atau dua minggu. Cukuplah. Dia tidak ingin menangis lagi. Air matanya telah banyak hilang dan dia tidak mahu hatinya sakit lagi. Biarlah takdir menentukan segala-galanya. Dia pasrah.
Datin Zainab membuka pintu kereta lalu duduk di hadapan manakala Makcik Munirah di belakang. Tanpa berlengah Amirul Shafiq menghidupkan enjin dan memasukkan gear automatic menderu menuju ke bandar. Bengang Amirul Shafiq masih tidak surut lagi. Aku mesti cari jalan untuk menyelesaikan masalah ini. Aku tidak akan lepaskan peluang kali ini. Nekad hatinya. 
       Keretanya diberhentikan ditepi jalan. Ramai juga manusia membeli-belah di saat-saat terakhir sebelum menyambut ketibaan Syawal. Kuih-muih dan baju raya dijual dengan harga lelong. Dalam kemeriahan membeli-belah, Amirul Shafiq terpandang pada sebuah kedai butik baju yang masih lagi dibuka. Datin Zainab dan Makcik Munirah sibuk memilih kuih-muih untuk dibeli. Syahira pula leka melihat tudung dengan pelbagai pilihan fesyen dan gaya. Dia menarik tangan Nurul Balqish yang sedang leka memilih kerongsang. Terkejut Nurul Balqish dibuatnya. Berani betul dia. Tanpa bantahan dia menurut sahaja ke mana Amirul Shafiq bawa. 
       "Kita nak ke mana?" rungut Nurul Balqish sambil menghentikan langkahnya. Amirul Shafiq masih lagi menggenggam erat tangannya.
       "Kata nak beli baju raya. Dah sampai pun," balasnya sambil mengukir senyuman. Nurul Balqish menghela nafas panjang. Pintu kedai butik dibuka. Nurul Balqish terpegun melihat kecantikan baju-baju di situ. Tentu mahal. Mereka berpandangan.
      “Qish suka batik terengganukan? Biar Fiq pilihkan warna apa yang sesuai untuk Balqish,” luah Amirul Shafiq lalu memberitahu pekerja kedai itu supaya mengambil baju kurung satin crepe batu berwarna merah jambu. Cukup cantik dan manis sekali. Rasa segan menyelubungi diri Nurul Balqish apabila Amirul Shafiq menyuruhnya mencuba pakaian yang dipilih. Dia menggeleng-geleng kepala tidak mahu tetapi Amirul Shafiq tetap berdegil lalu menyuruh pekedai itu membawa Nurul Balqish ke bilik persalinan. Terpaksa jua dia beralah lalu mengekori pekerja butik. Lama juga Amirul Shafiq menunggu lalu dia duduk di kerusi rehat yang disediakan. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Nama Datin Zainab tertera di skrin telefonnya.
       “Ya, ummi. Kenapa? Amir dengan Balqish di butik pakaian. Tengah pilih baju. Okey. Ya, Amir tak buat apa-apa pun. Ummi jangan risaulah.. Okey… Bye,” jelas Amirul Shafiq cuba meyakinkan Datin Zainab. Risau Datin Zainab mengenangkan anak bujangnya membawa anak dara orang.  Amirul Shafiq tersengih-sengih mengingatkan pesanan umminya tadi. Bunga sudah berada dalam genggaman. Tidak mungkin akan dibiarkan terkulai layu. 
Hmmm.... apakan daya.
       Tidak lama kemudian Nurul Balqish keluar dengan pakaian yang dipilih olehnya. Dia terpaku sejenak memandang dari hujung sampai ke bawah. Cuma tudungnya kurang sesuai. Dia meminta pekerja kedai itu memilih tudung yang bersesuaian untuk digayakan dengan baju itu. Lantas tudung 3 layer berwarna kuning keemasan dipadankan. Sambil tersenyum lebar dia menganggukkan kepala tanda setuju. Nurul Balqish berasa segan apabila diperhatikan sebegitu.
     “Barulah padan dengan tuannya. Bagai bidadari cantik dan menawan. Cik, cantik tak bakal isteri saya ni?” puji Amirul Shafiq sambil bertanya pada pekerja kedai itu. Terbeliak sedikit mata Nurul Balqish. Pekerja itu hanya tersenyum.
     "Saya pilih yang ini." Nurul Balqish mengangkat kening.
      “Qish tak mahulah. Mahal sangat,” rungutnya dengan nada risau.
      “Tak apalah. Fiq hadiahkan untuk Balqish,” terangnya cuba mereda rasa risau dihati Nurul Balqish. 
        Dengan berat hati Nurul Balqish melangkah kaki ke bilik persalinan. Terpaksa juga dia terima. Mahu tak mahu Amirul Shafiq tetap dengan pendiriannya. Tegas dan tidak boleh dibantah. Selesai sahaja membuat pembayaran mereka beredar keluar. Nurul Balqish terpaksa mengikut saja rentaknya. Dia tidak berdaya untuk menghindarkan diri. 
      "Awak nak aiskrim? Tunggu sekejap Fiq belikan," tanpa menunggu jawapannya Amirul Shafiq terus meluru membeli aiskrim conetto 'Uda dan Dara'. Aiskrim yang menjadi simbolik percintaan mereka. Dia masih mengingati detik-detik manis. Kenapa payah benar dia melupakan aku? Kenapa sehingga sekarang sukar dia temui pengganti? Banyak wanita tergila-gilakan dia tapi kenapa dia buat tak endah saja. Nurul Balqish mengeluh panjang. Tengku Sofiya pun apa kurangnya. Cantik dan bergaya. Takkanlah tidak terpikat langsung. 
       "Nah, makanlah. Dah lama kita tak makan aiskrim bersama. Fiq rindu sangat saat manis di kampus," ujarnya sambil menatap wajah sayu Nurul Balqish. Amirul Shafiq  mencelah apabila melihat Nurul Balqish murung tiba-tiba.
Sakit kepala....
     "Kenapa ni? Makanlah," celahnya apabila Nurul Balqish merenung aiskrim tanpa dijamah sedikit pun.
       "Qish tak ada selera nak makan. Kita balik ke kereta. Pasti Mak  Long tercari-cari kita," tegasnya sambil memicit-micit kepalanya yang kian berpusing seperti roda. Kenapa tiba-tiba kepalanya jadi berat? Sakitnya kepala bagai diketuk dengan penukul. Dia memanggil Amirul Shafiq sebelum rebah dipangkuannya.

bersambung lagi..... belum habis daaa.....(panas otakku)..;)


Ratu Di Hatiku by TRIAD


Pernah aku mencintai wanita
Tapi tak seperti saat ku mencintaimu
Pernah aku merindukan wanita
Tapi tak seperti saat ku merindukanmu

Kamulah ratu di dalam hatiku
Ku cinta kamu sampai mati
Takkan pernah ada wanita yang bisa
Menggantikan kamu di hatiku
Menjadi ratu di hatiku

Pernah aku menikmati wanita
Tapi tak seperti saat ku menikmatimu
Pernah aku menangisi wanita
Tapi tak seperti saat ku menangisimu

Kamulah ratu di dalam hatiku
Ku cinta kamu sampai mati
Takkan pernah ada wanita yang bisa
Menggantikan kamu di hatiku
Menjadi ratu di hatiku

Kamulah ratu di dalam hatiku
Ku cinta kamu sampai mati
Takkan pernah ada wanita yang bisa
Menggantikan kamu di hatiku
Menjadi ratu di hatiku
Menjadi ratu di hatiku
Menjadi ratu di hatiku
Menjadi ratu di hatiku