Sabtu, 20 Oktober 2012

PART 17: Sayang Selasih



Sayang selasihku...

 Dia bergegas ke tingkat atas meluru ke kamar. Pintu di ketuk bertalu-talu. Wajahnya merah padam menahan geram dan hatinya bergolak tidak keruan. Di ketuk lagi daun pintu itu sehingga terbuka dan kelihatan Nurul Balqish memandang sambil berkerut dahi di balik pintu. Bertentangan mata. Diam seketika.
“Kenapa cepat sangat nak balik? Kita kena selesaikan masalah kita. Fiq akan terus terang dengan ayah dan Fiq akan putuskan ikatan pertunangan dengan Sofiya,” tegas Amirul Shafiq nekad dengan keputusannya.
Nurul Balqish tergamam. Matanya merenung bulat ke mata Amirul Shafiq. Ya, Allah. Kau kuatkan iman hambaMu. Tabahkan dan kuatkan semangatku, Ya Allah. Kenapa semakin rumit masalah aku dengan dia?
“Apa lagi ni? Masalah apa? Hubungan kita telah lama putus. Tolonglah jangan keruhkan keadaan,” rayu Nurul Balqish. Renungan Amirul Shafiq semakin merah membara.
“Fiq tak pernah putuskan. Itu keputusan Qish bukan Fiq. Fiq sayangkan Balqish. Fiq mahu Balqish menjadi teman hidup Fiq seumur hidup. Kenapa Balqish tak mahu faham atau pura-pura tak faham??!!” bentaknya lagi sambil berpaling ke arah dinding.
Bibir terkunci...
Terkunci bibirnya tidak terkata. Hiba dan sayu silih berganti. Kenapa lelaki ini sukar untuk melupakan dirinya? Kenapa tidak dicari pengganti dirinya? Matanya tidak lepas daripada memandang lelaki itu. Bagaimana mungkin akan terjadi? Tiba-tiba kedengaran bunyi dehem. Mereka berpandangan apabila ternampak kelibat Danial di tangga menuju ke tingkat atas.. Tidak semena-mena Nurul Balqish menutup pintu biliknya. Amirul Shafiq pula terpinga-pinga tidak sempat berkata-kata membiarkan saja daun pintu itu terkatup. Dia menggaru kepala sambil berjalan menuju ke ruang rehat.
Bagai terhenti jantungnya berdegup. Termangu dirinya di balik pintu sambil duduk bersandar.  Apa sebenarnya yang tersirat dan bertimpa-timpa masalah yang timbul dan semakin rumit? Aku mampu melawan penyakit bahaya ini dan masalah-masalah lain tapi kenapa aku tidak mampu berdepan masalah yang satu ini, ya Allah? Ya, Allah, bantulah hambaMu ini dan permudahkah segala urusanku. Aku pasrah dan aku redha  dengan apa jua yang Kau tentukan jika itu yang terbaik untukku. Terkejut Nurul Balqish apabila pintu biliknya diketuk sekali lagi.
“Siapa?” tanya Nurul Balqish ragu-ragu.
“Abang Danial ni.” Dia menelan air liur. Pintu terkuak perlahan. Danial memerhatikan gerak-geri adik bongsunya.
“Nurul tak apa-apa ke?” tanya Danial risau. Nurul Balqish menggeleng-geleng kepala.
“Tak ada apa-apa. Nurul okey,” sahutnya terpinga-pinga. Danial menoleh ke ruang rehat. Amirul Shafiq sedang duduk termenung di beranda luar. Kemudian menoleh semula ke arah Nurul Balqish dengan perasaan curiga. Kecut perut dibuatnya sambil matanya tertunduk ke bawah.
“Tadi abang perasan Amirul ke sini? Dia nak apa?” tanya Danial bertalu-talu. Matanya Nurul Balqish melilau-lilau mencari jawaban. Cemas riak wajahnya.
“Err… dia nak bagi tahu Nurul yang dia akan cuba dapatkan kerja kat pejabat Pak Long. Kalau ada nanti dia beritahu Nurul,” jawabnya agak gugup. Minta-mintalah abang tidak tanya lagi. Jenuh aku nak jawab nanti. Doanya dalam hati.
“Hmm… yelah. Kemaskan bag pakaian dan apa-apa yang patut. Abang dah beritahu Pak Long yang kita akan bertolak lepas Zohor ke kampung,” jelas Danial. Nurul Balqish menganggukkan kepala. Lega rasanya melihat abangnya berlalu dari situ.
Termenung....
Danial mengorak langkah menuju ke beranda luar. Rasanya semenjak dia menjejak kaki ke sini, dia masih belum sempat lagi untuk berbual-bual panjang dengan Amirul Shafiq. Pemuda yang berbakat dan berkaliber dalam meneruskan legasi perniagaan Pak Long. Dia turut berbangga. Danial merapatkan diri sambil memberi salam. Amirul Shafiq tersentak daripada lamunannya lalu menoleh. Dia melebarkan senyuman tersipu-sipu malu kerana tidak perasan Danial di situ. Danial menepuk-nepuk bahunya sambil melabuhkan punggung ke kerusi disebelahnya.
“Apa yang dimenungkan tu sampai abang datang pun tak perasan? Tajam sungguh renungan tu rasanya boleh tembus hingga ke bawah meja,” gurau Danial. Amirul Shafiq ketawa kecil.
“Tak adalah, bang. Saya tengah membaca surat khabar,” balas Amirul Shafiq sambil menutup lipatan surat khabar.
“Betul ke abang nak balik petang ni? Kenapa cepat sangat nak balik? Belum hilang rasa rindu kami pada abang sekeluarga,” rungut Amirul Shafiq. Danial tersenyum.
“Mak Ngah nak buat kenduri tahlil untuk arwah ayah. Abang pun ada tugasan lain di sana. Lagipun Mak Ngah belum lawat kubur arwah sejak puasa. Kalau rindu datanglah ke sana. Boleh Amirul bawa Pak Long sekeluarga beraya ke sana pula,” jelas Danial.
“Insya Allah. Kami pasti ke sana,” jawab Amirul Shafiq.
“Abang dengar kamu nak kahwin tak lama lagi? Pak Long kata lima bulan lagi. Sekejap saja tu. Pejam celik dah tiba hari yang tunggu,”ujar Danial lagi.
“Ayah yang rancang semua ini. Bukan pilihan Amirul pun,” keluh Amirul Shafiq. Danial pula mengerut dahi dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
“Kenapa Amirul? Ada sesuatu yang tak kena? Patutnya kamu gembira kerana bakal menjadi raja sehari. Ini muram saja,” tanya Danial sambil memegang bahunya. Berat keluhannya dan dia termenung seketika.
“Entahlah… Saya tengah buntu, bang. Tak tahu apa nak buat. Berat rasanya untuk meneruskan perkahwinan ini,” resah hatinya.
“Kenapa kamu kata begitu? Amirul dah ada orang lain?” terang Danial risau.
“Saya baru jumpa dengan dia setelah lama terpisah. Dia masih belum berkahwin dan Amirul yakin dia masih cintakan Amirul,” terangnya. Danial merenung ke anak matanya. Tersingkap kegusaran dalam hatinya yang sukar untuk dibendung. Mahu ditelan mati emak, mahu diluah mati bapa.
“Saya nak putuskan pertunangan ini. Saya dah nekad,” sayu matanya merenung Danial. Danial mengusap bahunya.
“Sabar Amirul. Bawa bertenang. Jangan ikutkan perasaan dan terburu-buru membuat keputusan. Ingat, redha ibu bapa penting. Mereka bersusah-payah membesar dan mendidik kita dari kecil hingga sekarang malah menjadi seorang yang berjaya dan disegani. Tanpa mereka kita tiada apa-apa,” Danial cuba menasihatinya dengan harapan agar Amirul Shafiq dapat membuat keputusan yang terbaik bukan sahaja untuk dia malah demi maruah keluarga juga. Tiada jawaban.
Jodoh itu ditangan Tuhan.
 “Jodoh, pertemuan, ajal dan maut itu ditangan Tuhan. Jika ada jodoh takkan ke mana. Yakinlah dengan qada’ dan qadar Allah. Semuanya ada hikmah yang tidak kita ketahui melainkan Allah. Restu ibu bapa amat penting dalam rumahtangga. Jangan kerana cinta, maka kita rela hidup tanpa restu mereka. Buruk padahnya nanti,” Danial memperjelaskan lagi.
“Tapi Mak Ngah tu hidup bahagia saja walaupun tanpa restu atuk dan nenek. Malah dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah pula,” balas Amirul Shafiq pula. Danial menguntum senyuman.
“Jika dipandang dari luarannya, memang nampa bahagia. Tapi kalau kamu tahu betapa sengsaranya hidup terbuang, jauh daripada sanak saudara, pasti kamu tidak ingin mengikut jejak langkah mereka dan tidak mungkin sanggup menghadapinya. Mereka hidup sendiri bertahun-tahun. Dengan keadaan ayah yang hilang ingatan dan tidak tahu asal-usul sendiri menyulitkan lagi keadaan Mak Ngah. Saban hari Mak Ngah termenung. Tapi dia tidak pernah menyesal dengan pilihannya dan yakin dengan keputusannya. Alhamdulillah, ingatan arwah ayah kembali pulih selepas dua tahun usia perkahwinan mereka dan pada masa itu abang berusia setahun setengah. Kami hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.” bicara Danial terhenti sejenak. Matanya merah menahan sebak.
“Setelah itu arwah membawa kami ke kampung, barulah hidup kami ceria kerana masih ada saudara-mara yang sudi menerima kedatangan kami. Dan abang tidak pernah mendengar Mak Ngah bercerita tentang keluarganya. Pernah abang bertanya tapi hanya titisan air mata sebagai jawaban. Semenjak itu abang tidak pernah bertanya lagi. Arwah yang banyak menceritakan kisah percintaan terlarangnya pada abang. Sehingga saat nazaknya pun dia mewasiatkan abang supaya mencari keluarga kandung isterinya kerana dia tahu isterinya teramat rindu,” keluhnya sambil mengusap matanya.
Jangan putuskan pertalian yang ada.
“Abang berharap sangat jangan kamu ulangi sejarah mereka. Kamu satu-satu harapan Pak Long dan Mak Long dan kamu adalah tunggak utama keluarga ini. Ingat nasihat abang jika inginkan membuat sesuatu keputusan yang baik lakukan solat malam. Minta petunjuk dan hidayah dari Allah kemudian baru kamu pilih jalan yang terbaik. Fikirlah masak-masak sebelum bertindak kerana banyak hati akan terluka nanti,” sambung Danial lagi.
Terbungkam Amirul Shafiq mendengar kata-kata itu. Hatinya berbelah-bahagi. Kalau ikutkan hati, hati akan mati. Kalau ikutkan rasa, diri akan binasa. Dia sendiri gagal mengawal perasaannya pada Nurul Balqish. Gadis yang pernah menyelamatkan nyawanya. Tetap terpahat disanubarinya. Keputusan terletak pada tangannya. Aduhai sayang selasih hamba lurutkan, kerana kasih hamba turutkan. Dia mesti memberi alasan yang kukuh untuk meneruskan niatnya. Tapi apa? Alasan apa? Pecah otak dibuatnya. Biarlah aku terbang dulu ke US. Lepas itu apa hendak jadi, jadilah. Penatlah berfikir.
“Nanti dah sampai kampung SMS Fiq. Next week Fiq bertolak ke US ganti tempat ayah. Qish ada nak kirim apa-apa?” Amirul Shafiq mencuri peluang terakhir berbual dengan Nurul Balqish sebelum mereka berangkat pulang. Nurul Balqish tidak dapat mengelak diri apabila Amirul Shafiq menarik tangannya di sebalik pintu besar. Orang lain semuanya telah berada diluar rumah.
Sayang awak!!
“Sayang awak,” luahnya tiba-tiba tanpa menunggu jawaban Nurul Balqish.
Nurul Balqish berasa hiba. Pipinya merah dan matanya mulai berkaca. Amirul Shafiq mengerut dahi. Apa yang sedang bermain difikiranmu Balqish? Apa yang menyedihkan dirimu? Oh… mungkin kamu menyangka pertalian ini tiada noktahnya. Noktah.  Tetap akan bernoktah. Doakan kita dapat bersatu suatu masa nanti. Doalah. Doa itu senjata. Fiq akan sentiasa berdoa agar kita dapat disatukan.
 .......sambungan lagi......

Bunga Citra Lestari: Terpanah Asmara

mencintaimu
sesuatu yg tak bisa aku hindari
begitu kuat perasaan yg kurasakan
dirimu hadir di saat aku rindukan belaian
terpanah aku akan cinta yg kau tancapkan

dan kau bawa aku ke awan menghias langit
merangkai bintang2 menjadi sebuah kata
sebuah kata cinta
seindah-indahnya bila tersentuh hangatnya asmara
sebentuk cinta yg kau beri apa adanya

dan tercipta pelangi jiwa warnai hatiku
engkau anugerah terindah dariNya untukku
engkaulah kekasih separuh jiwaku
 

Khamis, 4 Oktober 2012

Part 16: Pendamkan saja... Mampukah?



Pasrah...

Kabus putih menghalang pandangan matanya. Dia cuba mengamati bayang-bayang yang berada di hadapannya lalu mengorak langkah perlahan mendekati lelaki berjubah yang sedang duduk membaca Al-Quran. Sayup-sayup kedengaran alunan suaranya yang sungguh merdu. Tapi kenapa suara itu mirip suara ayah. Ya, itu suara ayah. Mungkinkah itu ayah? Dia berlari anak lalu berhenti dan berdiri di hadapan lelaki berjubah itu. Orang tua itu berhenti membaca lalu mendongak memandangnya sambil tersenyum.
“Ayah… Balqish rindu ayah,” jeritnya sambil berlinangan air mata lalu memeluk tubuh yang amat dirinduinya. Dalam kehangatan pelukan itu, ubun kepalanya diusap manja lalu satu ciuman singgah didahinya. Dia masih lagi menangis dan setelah lama dia melepaskan pelukan itu sambil mengusap pipinya. Sayu pandangan ayahnya.
“Balqish nak ikut ayah. Ayah jangan tinggalkan Balqish lagi,” esaknya masih berlagu sendu. Lelaki itu merenung wajahnya sambil menggeleng-geleng kepala.
“Tempat Balqish bukan di sini sayang. Belum tiba masanya. Mereka masih memerlukan kamu dan amat menyayangi diri kamu. Ingat, jangan sekali-kali berputus asa. Allah sentiasa bersama hambaNya yang sabar. Ingat pesan ayah,” ujarnya lembut sambil menyisir rambutnya dengan penuh kasih sayang.
“Tapi ayah, Balqish tak mampu dan tidak berdaya untuk melalui dugaan ini. Balqish takut. Balqish tidak kuat, ayah,” sayu matanya merenung wajah itu. Wajah yang penuh dengan ketenangan. Penuh bercahaya dan bersih.
Ayah??!!!
“Anak ayah tidak perlu takut. Tidak usah gementar. Walaupun laluannya getir tapi pasti ada bahagia dipenghujungnya. Percayalah, Tuhan itu Maha Pengasih Lagi Maha Menyayangi. Ayah tahu, anak ayah seorang yang tabah dan penyabar,” jelasnya sambil mengucup ubun kepalanya sekali lagi. Betapa tenteram terasa dijiwa. Dia lena dipangkuan ayahnya dan apabila tersedar daripada tidur, dia hanya bersendirian. Matanya melilau mencari-cari. Terasa sayu ditinggalkan. Matanya bergenang semula sambil memanggil-manggil ayahnya berulang-kali bagaikan anak kecil yang kehilangan orang tuanya.
Tersedu-sedu tangisannya sehingga matanya terbuka selepas dikejutkan oleh ibunya. Dia terpinga-pinga sambil berkerut dahi. Pipinya terasa basah. Ayah mana? Bukankah ayah telah lama meninggal dunia. Dia terkejut lalu beristighfar. Bermimpi rupanya. Dia menghela nafas yang panjang lalu memandang ibunya. Kali terakhir yang dia ingat, dia pengsan. Makcik Munirah mengusap wajah anaknya yang kebingungan.
“Nurul pengsan malam tadi di pasar malam. Doktor kata Nurul keletihan. Perlu banyak berehat. Semua orang berada di bawah untuk bersalam-salaman. Hari inikan hari raya. Pergi mandi dan bersiap. Baju raya yang Amirul belikan ada dalam almari. Mak nak tolong nenek di dapur sekejap,” pesan Makcik Munirah sambil berdiri. Nurul Balqish menarik tangan ibunya. Makcik Munirah tersentak.
“Ibu, Nurul mimpikan arwah ayah,” ujarnya sayu. Makcik Munirah tersenyum.
“Ibu tahu Nurul rindukan ayah. Mak pun dah lama tak lawat kubur arwah. Rindu rasanya. Nanti kita buat kenduri arwah untuk ayah di kampung. Dah cepat bersiap,” balas ibunya sambil berlalu.
Makcik Munirah sempat mengusap air matanya sebelum menutup pintu bilik. Nurul Balqish masih termenung memikirkan mimpi itu. Kenapa ayah tidak membawanya pergi bersama? Pesan ayahnya masih terngiang-ngiang dibenak fikirannya. Sayup-sayup kedengaran takbir raya berkumandang di masjid berhampiran. Dia bingkas bangun lalu mengambil tuala menuju ke bilik mandi.
@@@@@@@@@@@@
Runsing...
 Hatinya benar-benar runsing. Tergamam melihat tubuh itu rebah dan sempat disambut olehnya. Pipi ditepuk berkali-kali dengan harapan dia sedar. Tapi usahanya gagal. Mata itu masih tertutup rapat. Pucat lesi wajahnya. Dia tidak mahu kejadian dulu berulang lagi. Teringat saat-saat dia melihat Nurul Balqish rebah selepas ditinggalkan bersendirian. Di saat itu dia berasa sungguh menyesal.
Patutkah dia mengetuk pintu bilik itu? Niatnya untuk mengetuk pintu dibatalkan. Tidak manis pula rasanya mengetuk bilik anak dara orang. Tapi hatinya tidak senang selagi tidak melihat sendiri keadaannya. Tiba-tiba pintu terkuak lebar. Terkejut masing-masing. Mata mereka bertentangan. Gugup untuk berkata-kata. Cantik Nurul Balqish mengenakan pakaian yang dibelikan untuknya malam tadi. Dia terpesona.
“Fiq buat apa kat depan bilik ni? Ibu dah ke dapur tolong nenek dan mak long,” tanya Nurul Balqish. Amirul Shafiq tersengih-sengih.
“Err… Fiq Cuma nak tahu keadaan Balqish. Qish sihat? Masih pening kepala lagi?” jelasnya cuba mengambil berat. Nurul Balqish menutup pintu biliknya.
“Alhamdulillah. Terima kasih,” jawabnya perlahan.
“Qish sungguh cantik dan ayu hari ini. I love you,” pujinya sambil mengucapkan sayang. Nurul Balqish tidak menoleh dan terus menuju ke dapur. Amirul Shafiq terpinga-pinga keseorangan.
@@@@@@@@@@@

Setelah selesai solat hari raya di masjid mereka sekeluarga bersalam-salaman memohon maaf antara satu sama lain. Datuk Mansur amat terharu dengan kehadiran adik kandungnya yang telah sekian lama tidak bersua. Nenek juga turut menitiskan air mata melihat kegembiraan di pagi lebaran yang penuh barakah. Cuma sedikit rasa terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan menantunya. Apakan daya Tuhan lebih menyayanginya. Tapi hatinya sedikit terubat apabila melihat Danial yang mirip dengan ayahnya. Dia mencium dahi Danial dengan penuh kasih-sayang.
“Nenek, sebelum ayah meninggal dunia ayah ada berpesan pada Danial untuk mencari keluarga sebelah ibu. Hasratnya supaya dapat menyatukan hubungan anak dan ibu. Pesannya lagi, kalau Danial dapat jumpa datuk dan nenek dia mohon berjuta ampun dan maaf kerana perbuatannya dahulu tidak mendapat restu. Danial bagi pihak arwah ayah memohon ampun dan maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki,” jelas Danial dengan penuh hiba.
“Kami telah lama memaafkan ayah kamu. Perkara itu telah lama berlalu. Janganlah kita bersedih lagi. Nenek berasa amat gembira dan bangga kerana kamu sekeluaga ada di sini,” jawab nenek sambil merenung mata Danial lalu berpelukan. Suasana pagi itu sungguh sayu dan hiba.
Tidak gembira??!!
Tapi masih lagi ada yang tidak gembira dengan pertemuan ini. Apa yang patut dilakukan? Biarkan? Sampai bila? Tiap-tiap hari ada saja peluang yang dicari. Dia rimas dan lemas. Lari? Lari ke mana? Masalah tidak akan selesai dengan melarikan diri. Kahwin? Mahu kahwin dengan siapa? Tidak ada orang mahu masuk meminang. Biarlah dia kahwin dulu. Tapi mampukah aku?
“Termenung panjang nampak? Teringatkan siapa?” sergah Amirul Shafiq dari belakang.
Nurul Balqish terkejut lalu menoleh. Diam. Pertanyaan itu tidak dijawab. Amirul Shafiq bengang lalu duduk bersebelahannya. Nurul Balqish bangun sambil mengemas pinggan-mangkuk yang kotor di atas meja. Amirul Shafiq turut mengemas sekali. 
"Tak payah tolong. Biar Balqish buat sendiri," cegahnya sambil merampas pinggan di tangan Amirul Shafiq. 
"Tak apa biar Fiq tolong," tegas Amirul Shafiq sambil menjeling. 
"Pergilah ke depan. Jangan ganggu Balqish kat dapur ni," balasnya. Sejak tadi Makcik Munirah mengintip tindak-tanduk mereka berdua di dapur.
“Shafiq, kamu buat apa kat dapur ni.  Ayah kamu cari. Katanya bakal mertua kamu nak datang petang ini dari London,” celah Makcik Munirah sambil membantu mereka berkemas.
Amirul Shafiq tersentak lalu mereka berdua berpandangan. Tidak berkedip seketika. Amirul Shafiq menggetap bibirnya. Sambil menggeleng-geleng kepala Nurul Balqish berbisik,
"Please, don't do any stupid," bisiknya. Amirul Shafiq mengeluh panjang seolah-olah fikirannya dapat dibaca oleh Nurul Balqish.

jeng...jeng...jeng... to be continued.... 
 Pendam -Shahir
Aku yang mengejar bayang cinta

Kian terbiar
Terpendam kata
Tak terungkap selamanya

Pedihnya hanya aku yang merasa
Mahu memilikinya
Aku hanya hamba cinta

Bisik hatiku lepaskan dirinya
Sungguh aku tak bisa
Biarlah ku sendiri
Tanpa kasih di hati

Aku tak mampu pertahankan lagi
Cinta yang menyakiti
Biarlah aku pergi
Tiada hampa di hati

Pedihnya hanya aku yang merasa
Mahu memilikinya
Aku hanya hamba cinta

Bisik hatiku lepaskan dirinya
Sungguh aku tak bisa
Biarlah ku sendiri
Tanpa kasih di hati

Aku tak mampu pertahankan lagi
Cinta yang menyakiti
Biarlah aku pergi
Tiada hampa di hati
Aku yang mengejar bayang cinta