Jumaat, 18 Januari 2013

Part 20: PASRAH (Edited)



Terima kasih...

Kemesraan dan keakraban kedua-dua belah keluarga semakin erat. Aku tumpang gembira walaupun kadang-kala hatiku berasa tidak tenteram. Hatiku tersentak setiap kali nama itu terkeluar daripada bibir nenek. Nenek sering memuji-muji cucu kesayangannya ini. Ada satu rahsia lagi yang nenek beritahu aku bahawa cucu kesayangannya telah ada kekasih hati. Katanya lagi pertunangan itu bukan kehendaknya. Setelah putus wajahnya kembali ceria dan berseri-seri. Nenek merasai sesuatu sambil merenungku yang kegelisahan. Lalu dia mencuit pipiku manja. Sesak nafasku dibuatnya.
Sabar...
 Ada sesuatu yang merunsingkan aku. Bayangan wajah wanita kacukan Melayu-England sering menerpaku kebelakangan ini. Aku tidak pernah mengenali perempuan itu secara dekat dan aku tidak mahu tahu tentangnya. Perempuan itu menyalahkan aku. Aku dikatakan penyebab mereka putus tunang sedangkan aku tidak ada kena mengena langsung. Geram pula hatiku apabila aku dikatakan perampas. Dia bukan sahaja menuduh aku bahkan mengugut. Ya, Allah. Apa yang harus aku lakukan? Kenapa ada juga manusia sebegini? Astaghfirullahal azim, sabarlah hati.
Dipendekkan cerita, aku terpaksa bertegang urat dengan Amirul Shafiq. Aku paksa supaya dia menarik balik keputusannya memutuskan pertunangan dengan perempuan itu. Permintaan yang mustahil baginya tapi tidak bagiku. Aku sanggup berkorban. Dia kelihatan bengang dengan permintaanku.
“Qish cakap apa ni? Fiq dah putus dan tidak akan terima dia semula!! Fiq tak akan maafkan dia. Tindakannya memalukan nama baik keluarga,” bentaknya. Nada suaranya begitu tinggi. Tidak pernah aku lihat dia semarah itu. Wajahnya merah. Terkedu aku melihat keberangannya. Dia cuba meredakan kemarahannya lalu berpaling padaku.
“Qish boleh minta yang lain-lain tapi bukan yang ini. Ianya mustahil. Tak masuk akal langsung. Qish, tolonglah jangan buat Fiq begini. Putus nyawa Fiq dibuatnya,” dia merenung aku sedalam-dalamnya seolah-olah cuba mencungkil rahsia yang bermain di lubuk fikiranku. Mataku tidak berkedip merenungnya.
“Bukan niat Qish untuk memaksa Fiq. Tapi jika Fiq putuskan juga dia akan batalkan usahasama antara syarikat Pak Long dan ayahnya. Qish tak mahu apa-apa berlaku pada syarikat Pak Long. Kalau Fiq sayangkan Qish, tolong terima Sofiya semula,” jelasku agar dia faham maksud sebenar disebalik permintaanku. Amirul Shafiq termangu mendengar penjelasanku sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Jangan minta yang bukan-bukan.
“Dia ni dah melampau,” rungutnya. Hatinya keras seperti batu, sukar untuk dilembutkan. Dia terlalu tegas dan optimis dengan keputusannya. Tidak mungkin berganjak walau selangkah. Akibat daripada pertengkaran kecil itu, dia mendiamkan diri sehingga sekarang tiada khabar berita. Tiada lagi usikan dan gurauan. Tiada deringan telefon. Aku rindu. Ya, aku benar-benar rindu. Keterlaluankah permintaanku?

Bunyi paluan kompang menggamit suasana dan aku tersedar daripada lamunan. Sungguh terharu rasanya melihat kedua-dua mempelai tersenyum menikmati hari bahagia. Dalam diam tersembunyi pertalian hati yang telah lama berputik di antara Amy dan abangku. Bermula dengan pemberian tudung lalu terbuka pintu hatinya untuk berhijab. Tudung pemberian abangku terlilit indah di kepalanya. Sesungguhnya aku adalah orang paling bersyukur dengan penghijrahan itu.
“Cantiknya kau Amy.” Aku memeluk erat. Terharu. Dia merenung aku dengan mata yang berkaca.
“Terima kasih, Nurul. Aku rasa diri aku kini adalah Amy yang baru. Kau tolong tegur aku sekiranya ada yang tak betul,” ujarnya perlahan. Aku mengukir senyuman gembira sambil mengangguk kepala.
Selepas itu mereka mengikat tali pertunangan dan bernikah. Alangkah bahagia mereka disatukan dengan cukup mudah. Sesungguhnya ada hikmah disebaliknya dan tiada siapa yang lebih mengetahui kecuali Allah. Sejujurnya aku memang cemburu. Cemburu menyaksikan kebahagiaan mereka. Sedang aku tidak tahu apa yang akan terjadi.
Kosong...
Angin sepoi-sepoi menghembus lembut ke pipiku. Aku menarik nafas dan menghembus lega. Kedengaran suara berbisik lembut ke telingaku.
“Sepatutnya kita yang berada di atas pelamin itu kan sayang?”
Aku berpaling dan terkejut melihat Amirul Shafiq disisiku. Pipiku hampir-hampir terlanggar bibirnya bila berpaling tadi. Mataku buntang memandangnya. Merah padam mukaku menahan malu. Dia boleh tersenyum melihat aku. 

“Kenapa pandang macam tu? Tak percaya?” soalnya sambil mencuit hidungku. Aku cuba menepis.
Pandanganku kosong. Hala tuju yang kosong. Aku tidak tahu sejauh mana hubungan ini dapat dihidu oleh keluarganya. Adakah mereka merestui? Dapatkah mereka terima aku sebagaimana Amirul Shafiq. Persoalan demi persoalan timbul. Tanganku dipaut ke arah meja makan. Dia sengaja melakukannya. Sengaja menjeratku supaya aku tidak dapat lari lagi. Terngiang-ngiang lagi bibit kata-kata Amy padaku setelah pelbagai alasan aku berikan.
“Jangan menyeksa diri sendiri, Nurul. Jangan jadikan sakit sebagai alasan yang kau tidak layak. Tak baik cakap begitu. Itu semua andaian doktor sahaja. Cuba kau fikir secara positif jika Allah takdirkan selepas kau kahwin, kau sihat-walafiat dan boleh mengandung. Siapa tahu? Semuanya dengan izin Allah. Yang penting kita mesti berdoa. Bukankah kau yang ajar aku supaya banyakkan berdoa. Maka dengan itu, kita kenalah minta pada Allah.” Aku merenung sayu wajahnya.
“Kalau sebaliknya bagaimana? Aku takut. Takut jika aku tidak mampu untuk menjadi isteri yang baik. Malah akan membebankan. Aku tidak mahu menyusahkan sesiapa,” keluhku sambil memegang jari-jemarinya. Amy membalas dengan menggenggam erat tanganku.

“Hmmm… kau ni suka berfikiran negatif. Itu sebabnya kau jadi begini. Daripada luaran kau memang nampak kuat tapi di dalam hati kau saja yang tahu. Kau perlukan seseorang dalam hidup kau dan sudah ada yang sudi. Jangan biarkan dia merajuk lagi. Nanti kau juga yang akan menyesal seumur hidup. Pernah tak kau terfikir mengapa dia tidak berkahwin sampai sekarang? Apa istimewanya kau di mata dia sehingga dia masih mencari kau? Pernah kau tanya dia? Dengan kedudukan yang dia ada sekarang ini dia sepatutnya telah ada teman istimewa atau telah beristeri. Tapi kau sendiri lihat hakikatnya dia masih mencari-cari siapa? Walaupun kau buang dia dalam hidup kau bertahun-tahun tapi dia tidak pernah melupakan kau,” jelas Amy sambil menatap wajahku dengan mata yang bulat seolah-olah cuba meyakinkan aku. Aku tertunduk malu sambil melindungi mataku yang mulai berkaca. Amy mengangkat daguku sambil merenung ke dalam mataku.
“Berilah dia peluang untuk membuktikan keikhlasannya,” Amy merenungku dengan mata yang tidak berkedip. Lantas aku memeluk erat tubuhnya. Adakah dia benar-benar sanggup menerima aku seadanya? 
“Assalamualaikum… hello… jauhnya termenung? Dah sampai ke mana?” teguran Amirul Shafiq menyentak lamunanku. Bunyi kompang terhenti seketika. Kedua-dua mempelai diarak ke meja persantapan untuk bersantap.
“Makanlah... Nanti sejuk tak sedap,” pelawanya sambil menghulurkan pinggan. Aku menarik nafas panjang.
“Kenapa ni? Qish tak sihat ke?” soalnya risau dengan keadaanku.
“Ehh… sihat. Tak ada apa-apa,” jawabku.
“Betul ni tak apa-apa. Kalau nak pengsan cakap dengan Fiq,” luahnya sambil memerhatikanku. Aku tersenyum tawar. Sudah beberapa kali aku pengsan sejak bertemu dengannya.
Tetamu beransur-ansur bersurai. Suasana perpisahan begitu terasa. Kini abangku telah bergelar suami. Kami begitu terharu dan gembira. Aku berharap dia mampu membimbing Amy ke jalan yang diredhai Ilahi. Kini hanya tunggu giliran aku setelah Kak Jannah menamatkan zaman bujangnya terlebih dahulu dan sekarang tengah sarat mengandung anak pertama.
“Mak Ngah, Fiq nak bawa Balqish jalan-jalan sekejap, boleh? Lepas tu Fiq hantar balik,” tanya Amirul Shafiq pada Makcik Munirah. Ibuku memandangku. Aku menggeleng-geleng kepala.
“Yalah. Bincang baik-baik. Mak Ngah tak mahu lihat Nurul bersedih bila sampai rumah nanti. Ingat pesan Mak Ngah,” tegas Makcik Munirah. Dia mengukir senyuman sambil mencium tangan ibuku.
Fikir positif.
Aku tiada pilihan dan tiada cara lain untuk mengelak. Sejauh mana pun aku cuba melarikan diri masalah tidakkan selesai. Rasanya ini peluang terbaik untuk aku ajukan persoalan yang sering berlegar di dalam kotak pemikiranku. Aku mahu tahu kenapa dan mengapa? Adakah dia benar-benar ikhlas untuk meneruskan niatnya untuk menyunting aku kerana aku masih keliru.
Wajahnya tampak tenang dan bersahaja ketika memandu. Seolah-olah segala masalah yang timbul telah selesai sedangkan aku cemas dan berdebar-debar. Aku tahu dia seorang lelaki yang baik dan menjadi perhatian setiap wanita. Tapi kenapa dia masih single? Betulkah dia tidak mempunyai teman istimewa? Benarkah dia mencari aku selama ini tapi kenapa? Begitu banyak persoalan yang membuatkan aku sering gusar.
 Perjalanan jauh sungguh meletihkan dan aku terlena juga akhirnya sehingga kereta berhenti, baru aku tersedar lalu membuka mata. Amirul Shafiq melihatku sambil tersenyum.
“Kita berhenti berehat sekejap. Nasib baik kereta auto. Dah nak sampai rumah Mak Ngah. Hmm… Kenapalah sekejap sangat? Kan bagus kalau tak payah balik,” ujarnya sambil menghentikan kereta di perhentian. 

“Hari ini Qish nampak muram. Tak banyak cakap. Penat sangat agaknya,” keluhnya lagi sambil berpaling merenungku. Aku masih terkaku diam. Fikiranku ligat mencari kata-kata tapi entah kenapa aku jadi buntu.
“Kenapa ni? Marah dengan Fiq ke sebab lama tak telefon? Fiq bukan apa, cuma terkilan. Terkilan sebab hajat Fiq tak kesampaian. Hmm… tak sangka abang Danial pula yang kahwin dulu. Bila agaknya Fiq boleh kahwin? Dengar tak ni, sayang? Kalau ada masalah boleh cakap dengan abang. Manalah tahu abang boleh tolong selesaikan. Tak baik simpan lama-lama nanti jadi barah, lagi teruk,” soalnya sambil mengerengkan badannya menunggu reaksiku. Hish… berabang-abang pula dia. Gatallah tu. Teringat pula janjiku untuk memanggilnya dengan panggilan ‘abang’ sebab katanya dia merupakan abang sepupuku dan sewajarnya aku memanggil begitu. Tapi aku rasa janggal dengan panggilan sebegitu.
“Nurul Balqish… dengar ke tidak?” Aku tersentak. Gugup dan tidak berani menentang matanya.
“Err… Qish minta maaf kerana terlalu banyak menyusahkan dan menyakitkan hati,” jawabku sambil mencuri pandang.
“Qish tak jawab pun soalan abang. Bila abang boleh masuk meminang Qish? Bulan depan boleh?” soalan yang mendebarkanku. Dia setia menanti jawabanku. Aku menghela nafas panjang.
“Sebenarnya terlalu banyak persoalan yang mengganggu. Ditambah lagi dengan masalah Qish sendiri. Kenapa Fiq beria-ia sangat sedang Qish belum bersedia lagi untuk semua ini,” ujarku gugup. Keluhanku membuatkan dia bertambah gelisah. Dahinya berkerut.
“Qish belum bersedia? Apa maksud Qish? Tolong terangkan lebih lanjut,” gusar hatinya apabila mendengar jawabanku.
“Qish masih keliru dengan apa yang berlaku. Tali persaudaraan yang wujud memang sesuatu yang mengejutkan. Kalau sebelum ini Qish boleh menjauhkan diri sejauh mungkin. Tapi sekarang semuanya berubah. Bukan niat Qish untuk melukakan hati sesiapa tapi Qish cuba membuka peluang agar Fiq menemui pengganti lain. Qish bukan seperti wanita normal yang lain. Banyak kekurangannya. Seperti perempuan lain, Qish mengimpikan untuk berumahtangga dan mempunyai anak. Setelah itu barulah lengkap diri ini sebagai seorang wanita, isteri dan juga ibu. Malangnya Qish tidak dapat memenuhi impian itu.. Jadi, Qish minta sangat-sangat agar Fiq fikir dahulu semasak-masaknya kerana setiap tindakan yang kita ambil sekarang akan melibatkan masa depan kita. Qish tak mahu ada penyesalan di kemudian hari,” jelasku sambil menatap wajahnya. Matanya tidak berkelip memandangku. Aku melarikan pandangan ke arah lain.

Jujur... aku cinta kamu..
“Qish masih ragu-ragu dengan kejujuran Fiq? Masih tak percaya? Please, look at me, Qish. Qish merupakan insan yang Fiq cintai sehingga kini. Fiq mulai jatuh hati setelah Qish selamatkan nyawa Fiq daripada patukan ular semasa di hutan dulu. Qish ingat tak? Kalau bukan sebab Qish mungkin Fiq dah jadi arwah. Sejak itu Fiq rasakan tiada insan lain yang Fiq cintai melainkan Qish. Fiq tak pernah lupa janji Fiq. Walaupun pada awalnya Fiq kecewa dengan perpisahan kita tapi Fiq yakin Qish sengaja berbuat begitu. Tapi setelah sekian lama terpisah Fiq tidak temui permata yang secantik Qish. Yang banyak bersepah hanyalah kaca. Bersinar cantik tapi tidak asli. Takdir telah menemukan kita semula dan Fiq bersyukur sangat-sangat pada Tuhan kerana doa Fiq selama ini dimakbulkan, ” jelasnya dengan penuh kesungguhan. Sinar matanya terpancar cahaya keikhlasan. Aku termangu.
 “Qish percaya pada takdir?” ringkas soalannya dan aku sendiri tahu jawabannya. Aku sekadar menganggukkan kepala.
“Jodoh, pertemuan, ajal dan maut di tangan Tuhan. Kalau dah jodoh takkan ke mana. Sejauh mana pun kita bersembunyi dan sekuat mana pun kita berlari kalau ditakdirkan kita bertemu semula, kita tetap akan bertemu semula. Kita sememangnya ditakdirkan untuk bersama,” terangnya lagi. Aku mengerut dahi.
“Zaman sekarang ni, ada lagi lelaki yang sanggup memperisterikan perempuan yang sakit. Unbelievable. Sekarang Fiq bolehlah terima keadaan Qish tapi sampai bila Fiq boleh bertahan. Mulut tempayan boleh ditutup tapi mulut orang tak boleh!! Orang sekeliling akan mengata. Belum lagi saudara-mara... pak long, mak long dan nenek!! Adakah mereka menerima Qish sebagaimana Fiq. Qish tak sanggup lalui semua ini,” aku sengaja berprasangka begitu dan dia menghela nafas panjang mendengar keluhanku.

 “Astaghfirullahal azim… Kenapa cakap macam tu? Qish sedar tak apa yang Qish cakap ni. Fiq tak pernah terfikir sampai sejauh itu. Patutnya Qish berdoa “Ya Allah, jika ini jodohku Kau kuatkan jodohku dengan dia sehingga ke akhir hayat. Hindarkan kami daripada fitnah.” Jangan terlalu fikir perkara yang tak elok. Tuhan tak suka,” bantahnya sambil beristighfar. Aku terkedu mendengar ceramah pendeknya. Ada kelainan dalam ucapannya.
“Fiq sungguh-sungguh bila Fiq kata nak kahwin dengan Qish. Fiq tak kisah dengan sejarah hidup Qish. Fiq dah tahu semuanya. Fiq sedar risikonya,” dia berusaha untuk meyakinkan aku. Aku menjeling tajam.
“Fiq tahu? Apa yang Fiq tahu tentang sakit Qish?” soalku ingin tahu. Dia membalas renunganku sambil menyapa lembut.
“Sebenarnya Fiq jumpa Dr Halim minggu lepas di forum antarabangsa. Kebetulan Fiq ada seminar di situ. Jadi Dr Halim meluangkan masa dan memberi penerangan pada Fiq tentang penyakit itu. Fiq faham apa yang merunsingkan Qish tapi tolong beri peluang untuk kita. Fiq ingin melihat Qish bahagia Sejujurnya Fiq ikhlas. Tolonglah percaya. Fiq sungguh-sungguh,” rayunya. Dia benar-benar melangkaui batas dan diluar jangkaan. Mindanya telah bersedia untuk menerima apa jua rintangan. Aku sahaja yang tidak nampak akan kesungguhannya. Tiba-tiba kereta digerakkan tapi menghala jalan yang bertentangan.

“Kita nak pergi mana ni? Kenapa Fiq patah balik ke belakang?” Aku bingung dengan tindak-tanduknya.
“Fiq nak jumpa abang Danial!!” Terkejut aku dengan kata-kata itu.
“Nak buat apa?” jeritku.
“Nak suruh nikahkan kitalah,” tegasnya. Aku terkejut dengan tindakannya.
Jelingan manja...
Are you out of mind??!! Patah balik. Hantar Qish balik rumah mak,” jeritku sambil memukul bahunya. Tapi rayuanku tidak diendahkan. “Jangan buat kerja bodoh, boleh tak??!! Kita balik.” Rayuku lagi. Aduh… Wajahnya masih serius. Akhirnya aku mendiamkan diri. Lantak dialah nak buat apa. Agaknya dia perasan aku merajuk lalu dia memberhentikan kereta yang dipandunya dipersimpangan jalan.
“Masih ragu-ragu lagi?” Aku membeliakkan mata memandangnya. Malas aku nak layan. Aku memeluk tubuh sambil memandang ke luar tingkap. Dia meneruskan perjalanan. Aku menggelabah lalu menoleh padanya sambil berteriak,”Berhentikan kereta ni!!! Berhenti!!” aku menjeling padanya. Kereta terberhenti secara mengejut. “Qish nak balik. Hantar Qish balik!!” bentakku.
“Habis tu, kenapa tak jawab soalan Fiq?” balasnya selamba.
“Okey, Qish percaya. Qish tak ragu lagi. Jom, kita balik,” jawabku dengan senyuman yang sengaja dibuat-buat.
 
“Janji tak ragu-ragu lagi??!!” gesanya supaya aku berikrar untuk tidak mencurigai dirinya.
    “Ya, Qish janji,” balasku. Aku terpaksa mengalah. Sakit jantung dibuatnya. Dia boleh tersenyum memandangku sambil berpusing balik. Lega rasanya.
      "Macam tulah sayang abang. I love u," sempat lagi dia mengusik aku. Hish… abang!! Perasan.


........................... to be continued...................  

Terhenti Di Sini – Asfan

Sedangku membaca wajahmu
Senyumanmu menggambarkan sesuatu
Jika kau fahami isi hatiku
Ku tak ingin waktu henti tanpamu

Dirimu menyalahkan sebuah erti
Tapi diriku masih terhenti di sini
Dan jalanku masih belum dapat ku pasti
Namun diriku masih terhenti di sini
Andai kau dapat memahami
Bahawa ku menangung semua ini
Bukan niatku ingin kau pergi
kerna ku masih terhenti di sini
Dirimu menyalahkan sebuah erti
Tapi diriku masih terhenti di sini
Dan jalanku masih belum dapat ku pasti
Namun diriku masih terhenti di sini
Tiada daya untuk ku lakukannya
Kau tiba di waktu ku masih punyai cinta
Tiada daya untuk ku lakukannya
Kau tiba di waktu ku masih punyai cinta
Dirimu menyalahkan sebuah erti
Tapi diriku masih terhenti di sini
Dan jalanku masih belum dapat ku pasti
Namun diriku masih terhenti di sini
Tiada daya untuk ku lakukannya
Kau tiba di waktu ku masih punyai cinta
Tiada daya untuk ku lakukannya
Kau tiba di waktu ku masih punyai cinta
Tiada daya untuk ku lakukannya
Kau tiba, di waktu ku masih punyai cinta