Selasa, 2 April 2013

Part 21: Yang terpilih... (Edited)

Bermimpikah aku?
Pelik tapi benar. Apa yang pelik? Apa yang benar? Manusia memang pelikkan. Tuhan menciptakan setinggi-tinggi darjat sebagai manusia. Dikurniakan akal dan fikiran. Justeru, itu yang membandingkan manusia dan yang lain selain manusia. Jangan terlalu emosi dan jangan juga terlalu angkuh tapi biarlah bersederhana dan salalu bermuhasabah agar diri itu sentiasa dalam barakah dan lindunganNya. Benarlah Tuhan menguji hambaNya dengan pelbagai dugaan dan cubaan. Diuji dengan kesenangan vs kemewahan, kesusahan vs kemiskinan dan sihat vs sakit. Yang mana menjadi pilihan? Apakah diri ini berhak menentukan pilihan yang mana ingin dipilih? Siapalah si kerdil ini ingin memilih perjalanan hidupnya sendiri? Tidak layak. Cuma sekadar memanjatkan doa untuk sabar dan tabah apabila dugaan itu datang melanda. Baik dan buruk. Semua itu datang daripada Tuhan Yang Maha Esa. Jangan mendongak ke langit yang tinggi sehingga terlupa kaki ini sedang berpijak di bumi yang nyata. Syukur alhamdulillah ya Allah. Engkaulah yang mendidik aku menjadi setabah dan sekuat ini walau terlalu perit dan betapa sukarnya untuk digambarkan dengan kata-kata. Berulangkali aku memujuk hatiku tentang hikmahMu disebalik dugaan ini. Aku cuba mengerti dan memahami apa yang tersirat. Bertahun-tahun lamanya aku menunggu dan bertawakkal dengan izinMu aku berjaya mengharungi segala kepayahan dan keperitan dalam memperjuangkan hidupku. Kau panjangkan umurku dan memberi aku peluang untuk mengecapi kebahagiaan di dunia yang fana ini. Seringkali air mata ini menitis memanjatkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga. Aku bahagia. Kau kabulkan permintaan hambaMu ini, Ya Allah. Aku benar-benar bahagia. 

Tiba-tiba pintu diketuk perlahan-lahan. Kedengaran suara lembut memberi salam lalu daun pintu yang tidak berkunci ditolak lembut. Sesusuk tubuh kelihatan melangkah masuk sambil menutupnya semula. Salamnya kusambut dengan nada perlahan. Tergesa-gesa aku menyapu air mata yang mengalir. Mungkin dia perasan aku mendiamkan diri sejak tadi lalu mendekatiku sambil menyanyi lagu Faizal Tahir - Sampai Syurga. Aku hanya mampu tersenyum tersipu-sipu mendengar bibit-bibit lirik yang dinyanyikan. Boleh tahan juga suaranya. Tak sumbang langsung. 

"Selamat Pengantin Baru sayangku," kata-kata manis yang pertama keluar daripada bibirnya  setelah selamat diijabkabulkan. Aku merenung ke dalam matanya dan menyaksikan keikhlasan yang tulus jauh dilubuk hatinya. Mampukah aku membahagiakan dirinya? Mataku merah lagi. Mudah sungguh air mataku mengalir. Aku menundukkan wajah. Tidak berdaya menahan kesayuan yang meruntun dijiwaku. 

"Err... kenapa sedih-sedih ni?" dia mengusap air mataku sambil memandangku dengan penuh kasih sayang. 

"Tahu tak kenapa abang tak dapat lupakan Qish setelah bertahun-tahun lamanya Qish tinggalkan abang? Sebab Qish terlalu istimewa. Qish umpama nyawa abang. Ya, nyawa yang tidak boleh dicari mahupun diganti. Entahlah... hati abang kuat mengatakan yang abang akan bertemu semula dengan Qish. Abang bersyukur ke hadrat Ilahi kerana hajat abang kesampaian akhirnya. Qish milik abang hingga ke akhir hayat." Dia memeluk erat sambil membelai mesra rambutku. Aku terlena dalam dakapannya tanpa sepatah ungkapan pun yang lahir daripada bibirku. Mungkin disebabkan kepenatan dan keletihan yang keterlaluan menyebabkan aku terpaksa melelapkan mata tanpa izinnya. Maafkan aku duhai suamiku. Aku tidak berdaya. Mataku terpejam seketika.

Lampu tidur telah lama terpasang supaya suasana  kelihatan lebih romantik. Mungkin suamiku tersenyum memandangku yang terlena dalam dakapannya. Terima kasih. Terima kasih yang tidak terhingga. Kau menjadikan aku cukup bahagia dan sempurna. Sesungguhnya kau melengkapkan aku menuju jalan yang diredha oleh Allah. Kaulah syurgaku.