Jumaat, 18 Mei 2012

PART 8: Perlukah Aku Menyerah?

Aku pasrah....

Berserabut kepala otak. Semuanya serba tidak kena pada matanya. Sarah, setiausahanya selalu menjadi mangsa kemarahannya. Naik kecut perut gadis itu apabila dia meradang. Habis semua kertas berterabur atas lantai. Semuanya gara-gara Nurul Balqish.  Nama itu tidak pernah lekang daripada ingatannya. Gadis itu tidak pernah padam daripada lubuk hatinya. Dia terlalu sayang. Keterlaluan. Amirul Shafiq tidak faham apa yang bermain dalam lubuk fikiran gadis itu. Apakah benar gadis itu akan berkahwin? Atau dia sengaja mengada-adakan cerita. Hatinya benar-benar panas membara. Tapi kenapa sukar untuk dipercaya segala kata-katanya.
Harapannya untuk menemui Dr Halim sebelum dia balik ke KK musnah apabila dia melihat Nurul Balqish bersama-sama dengan Dr Halim berjalan menuju ke kafetaria hospital. Begitu mesra sekali. Dahinya berkerut. Hatinya tertanya-tanya. Dia mahukan kepastian. Tiba-tiba sebuah kereta meluncur perlahan di perkarangan pancuran air tidak jauh dari kafetaria itu. Kelihatan si pemandu membuka pintu dan keluar seorang budak yang comel daripada kereta. Kanak-kanak itu berlari-larian mendapatkan Nurul Balqish dan Dr Halim tidak jauh dari situ. Nurul Balqish memeluk manja kanak-kanak itu. Dia mencium pipinya bertalu-talu. Dr Halim cuma memerhatikan mereka sambil tersenyum.
Retak menanti belah...
Amirul Shafiq memandang mereka tanpa berkedip. Dia mengetap giginya. Tangannya tergenggam kemas menandakan betapa dia berasa geram dan marah. Jiwanya memberontak. Ingin saja dia berlari ke situ sambil menarik tangan Nurul Balqish dan membawa dia lari. Dia tidak tergamak melihat gadis itu bersama orang lain. Cemburu. Memang dia cemburu. Dia cemburu kerana senyuman dan kemesraan itu bukan untuknya. Tapi untuk kanak-kanak yang dilihatnya pada malam itu. Kenapa aku mesti cemburu dengan kanak-kanak itu? Apa istimewanya kanak-kanak itu? Apa hubungannya dengan Nurul Balqish dan Dr Halim? Pelbagai persoalan muncul di dalam kepalanya. Dia tidak boleh bertindak terburu-buru. Naluri kemanusiaannya masih waras. Tidak lama selepas itu, pemandu dan juga kanak-kanak itu beredar dari situ. Amirul Shafiq melangkah laju mendapatkan mereka berdua.
Nurul Balqish benar-benar terperanjat dengan kehadirannya di situ. Dia tahu selagi Amirul Shafiq tidak tahu siapa lelaki yang dimaksudkannya selagi itu dia tidak akan berganjak daripada keputusannya. Dia faham benar sikap Amirul Shafiq. Bara yang digenggam biar sampai jadi abu. Nekad.
“Err… buat apa kat sini? Ada temujanji dengan doktor ke?” Nurul Balqish pura-pura bertanya. Dr Halim terpinga-pinga. Amirul Shafiq tersenyum tawar sambil memandang Nurul Balqish. Kemudian beralih memerhatikan Dr Halim. Semacam saja renungannya. Darahnya menggelegak. Apa istimewanya lelaki ini berbanding dirinya?
“Kenalkan ini Dr Halim. Bakal suami Balqish yang Qish katakan malam tu,” dia memberitahu Amirul Shafiq.
Pilih antara dua...
Dr Halim mengerut dahi mendengar kata-kata Nurul Balqish. Amirul Shafiq menatap tajam mata Nurul Balqish. Terpancar api kemarahan yang meluap-luap yang dizahirkan melalui renungan matanya itu. Kemana perginya hati gadis ini sehingga dia tergamak melukakan hatinya? Kemana hilangnya cinta yang mereka semai selama bertahun-tahun lamanya? Inikah pengorbanan yang dimaksudkan oleh Umar? Pengorbanan untuk melihat dia berkahwin dengan orang lain sedangkan selama ini untuk apa mereka bercinta. Apa maksudnya semua ini? Sandiwara apakah ini? Dengan kasar dia menarik tangan Nurul Balqish. Dr Halim cuba menegah tapi dihalang oleh Amirul Shafiq.
“Ini urusan saya dengan Balqish. Doktor jangan masuk campur,” nadanya keras. Nurul Balqish mengerang kesakitan akibat cengkaman tangannya yang kuat.
“Tapi dia pesakit saya. Awak tidak boleh sesuka hati buat kacau di sini. Ini kawasan hospital. Saya akan panggil sekuriti kalau awak tidak mahu lepaskan tangannya,” ugut Dr Halim padanya sambil memandang serius Amirul Shafiq. Perlahan-lahan dia melepaskannya. Dia memandang sayu wajah Nurul Balqish. Nurul Balqish menundukkan wajah. Dia tidak berani menatap wajah Amirul Shafiq.
Sampai hati....
“Sampai hati awak, Balqish,” ucapnya sambil menahan sebak. Dia mengundur diri dan berpatah menuju ke keretanya. Langkah ini adalah yang terakhir dan dia tidak akan kembali. Hatinya sungguh kecewa. Teramat kecewa. Apa lagi yang boleh dikatakan jika doktor itu sudah menjadi pilihan hatinya. Dia akan berhenti mengharap. Impiannya akan ternoktah di sini.
Terlalu asyik merenung jauh dipinggir jendela memandang ke awan biru. Mengelamun entah sampai ke mana. Hatinya telah retak seribu. Jika dicantum semula pun tidak akan sama seperti dahulu. Pintu biliknya diketuk berulang kali. Tiba-tiba hatinya meledak marah. Sudah dikatakan dia tidak mahu diganggu.
“Saya kata saya tidak mahu diganggu. Kenapa awak tak faham-faham lagi? Awak cakap bahasa apa yang awak faham,” jeritnya tanpa berpaling.
Pintu terkuak perlahan. Dia menoleh dan terkedu seketika. Datin Zainab berdiri di hujung meja sambil menatap wajah Amirul Shafiq. Sikap dan tingkahlakunya sekelip mata berubah sejak dia balik dari KL sebulan yang lalu. Panas baran dan suka menengking sedangkan dahulu dia seorang yang peramah dan bersopan-santun. Di rumah pula asyik menyendiri. Adakalanya keluar rumah sehingga tengah malam baru nampak bayang. Dia menghampiri anaknya.
“Kenapa? Terkejut tengok ummi datang ke pejabat. Kamu ni kenapa, Amir? Sejak balik dari KL ummi tengok kamu banyak berubah. Jadi pendiam, pemarah dan macam-macam perangai pelik. Ada apa-apa yang patut ummi tahu?” sergah Datin Zainab sambil memeluk tubuh. Wajahnya serius sahaja. Amirul Shafiq masih terkedu di tepi tingkap. Buntu untuk memberi jawaban. Dia sedikit kalut dan cuba mengalihkan tajuk perbualan mereka.
“Err… Biasalah ummi, kerja melambak. Stress sikit. Ada apa-apa yang boleh Amir bantu,” terangnya sambil tersengih-sengih. Datin Zainab menjeling.
“Kerja tu kerjalah juga. Tapi ada yang lebih penting daripada itu yang kamu lupa,” balas datin Zainab lagi. Amirul Shafiq pura-pura terkejut. Dia memicit keningnya.
“Apa dia ummi? Amir tak ingatlah,” dia terpinga-pinga. Datin Zainab membesarkan matanya.
“Minggu depan kita akan menghantar rombongan merisik dan bertunang. Semua persediaan ummi dah buat. Tinggal baju kamu saja yang belum ditempah. Sibuk memanjang dengan kerja. Sudah.. sekarang ikut ummi pergi tempah pakaian kamu di butik kawan ummi. No more excuses,” dia menarik tangan anaknya. Amirul Shafiq terpaksa akur kehendak ibunya.
Dia pasrah dengan keputusan keluarganya. Datuk Mansur sudah lama mengidamkan persahabatan dengan Tengku Iskandar berakhir dengan persaudaraan. Dengan kata lain, mereka ingin menyatukan dua keluarga ini menjadi satu. Mungkin ini adalah yang terbaik untuk dirinya. Dia sudah penat untuk memikirkan masalahnya dengan Nurul Balqish. Hatinya sungguh kecewa. Hanya dia sahaja yang ingin menyelamatkan kisah cinta mereka. Sedangkan Nurul Balqish sudah ada penggantinya terlebih dulu. Apa lagi yang mampu dia lakukan selain pasrah dengan kehendak takdir.
Keluarga pihak perempuan hanya menetapkan lima bulan sahaja masa pertunangan dan kemudian mereka akan dinikahkan. Terlalu cepat mereka menetapkan tarikh. Dia termangu memikirkan nasib dirinya. Kisah cinta yang tidak kesampaian.
tq for everything...
Datin Zainab sibuk menilik kain tenunan yang sungguh cantik dan halus coraknya. Kain tradisi melayu yang semakin jarang digunakan oleh masyarakatnya. Kain tenunan itu harus ditempah lebih awal. Mereka harus pergi ke tempat kain itu ditenun untuk menempah corak yang diinginkan.
Amirul Shafiq menurut saja kehendak ibunya. Dia terpaksa membawa ibunya ke tempat kain tenunan itu. Walaupun berat hatinya untuk pergi ke sana tapi dia terpaksa kerana ketiadaan pemandu. Datin Zainab membawa Tengku Sofiya sekali ke sana. Mereka berbual-bual mesra. Amirul Shafiq lebih banyak berdiam diri.
Akhirnya mereka sampai ke tempat yang dituju. Sungguh tenang suasananya kerana rumah tenun itu terletak bersebelahan dengan sungai besar. Tempatnya sungguh cantik. Dihiasi dengan pokok-pokok bunga dan bonsai. Landskap yang menarik. Mereka disambut mesra oleh pekerja di situ.
Amirul Shafiq membiarkan ibu dan Tengku Sofiya di dalam rumah tenunan itu. Manakala dia duduk bersantai di laman. Selalunya wajah bakal pengantin berseri-seri menjelang hari perkahwinan mereka. Tapi kosong baginya. Hanya jasadnya sahaja yang riang. Senyuman dibibirnya tidak pernah lekang. Apabila bersendirian dia akan mengelamun. Lama dia mengelamun. Tiba-tiba muncul seseorang yang lama tidak ditemuinya. Bagaimana orang tua ini berada di sini? Bisik hatinya.
“Makcik Murni??!!” dia terkejut. Sungguh dia tidak menyangka akan menemuinya di sini. Makcik Murni tersenyum lebar. Dia bersalaman sambil mengucup tangan Makcik Murni. Wajah tua itu menatap Amirul Shafiq sedalam-dalamnya. Hati tuanya merasakan sesuatu yang kosong dalam sinar matanya. Tiada cahaya di wajahnya.
“Shafiq yer… ini Shafiqkan… Ya, Allah. Tak sangka makcik dapat bertemu kamu di sini. Alhamdulillah…,” ujar Makcik Murni dengan gembira. Amirul Shafiq membalas senyumannya. Kecil sungguh dunia ini.
“Makcik apa khabar? Makcik sihat ke?” Tanya Amirul Shafiq bersungguh-sungguh. Makcik Murni menganggukkan kepala.
“Shafiq buat apa di sini?”Tanya Makcik Murni. Amirul Shafiq terdiam. Teragak-agak untuk menceritakan kehadirannya di situ.
“Shafiq temankan ummi beli kain tenun,” jelasnya pendek. Dia malas untuk bercerita tentang perkahwinan.
“Ohh… untuk majlis perkahwinan Shafiq?” Makcik Murni menyoal lagi. Dia mengangguk perlahan.
“Makcik ada dengar dari pekerja di sini. Katanya ada tempahan untuk majlis perkahwinan yang mesti disiapkan dalam masa sebulan. Jenuhlah makcik nak menenun nanti. Ada dua orang saja yang mahir menenun. Makcik dan anak makcik, Nurul. Yang lain tu boleh juga diharap tapi lambat sikit,” keluh makcik Murni sambil memandangnya. Dia diam. Adakah dia berada di sini? Lidahnya tersekat untuk bertanya lebih lanjut.
“Err… bila makcik nak sambut menantu baru?” soalnya sambil berjenaka. Makcik Murni menyorot matanya sambil ketawa sinis. Dia menepuk tangan Amirul Shafiq.
“Hish… bila pula anak makcik kahwin. Semuanya tak lepas lagi. Pandai-pandai saja kamu ni. Tunggu anak lelaki makcik yang sulung lepas dulu. Barulah adik-adiknya boleh lepas. Betul tak?” Makcik Murni ketawa. Terkedu lagi.
Cinta yang lepas jgn dikenang...
Tiba-tiba hatinya menjadi tidak keruan. Kenapa dia tidak perasan yang selama ini Nurul Balqish hanya berbohong? Siapa Dr Halim? Kenapa Nurul Balqish cuba mengaburi matanya? Bagaimana hatinya boleh terpedaya dengan tipu helahnya? Arghh...  Dia benar-benar menyesal kerana bertindak melulu tanpa usul periksa. Sepatutnya dia bertanya sendiri pada Dr Halim. Semuanya sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Dia memejamkan matanya. Wajahnya tunduk ke bumi. Matanya merah seperti saga. Makcik Murni menepuk bahunya.
"Makcik doakan kebahagian kamu. Jangan dikenang lagi barang yang lepas. Kalau dikenang merana badan," nasihatnya pada Amirul Shafiq.

bersambung lagi daaaa....

Terasing
Kegelisahan didalam kedinginan
Meniti sepi keseorangan
Sebuah kematian yang tiada bernisan
Sendu mengiringi perpisahan

Ruang nan luas diri bergerak bebas
Namun keupayaanku terbatas
Segala mimpi menjadi asing
Perit membakar diri

Sebuah cinta dan harapan
Menjadi mimpi berterbangan
Tersekat nafasku kabur pandangan mataku
Amat tersiksa diriku
Kerana kehilanganmu

Oh mengapakah terus mengharap menanti
Walau cukup kusedari
Kau tak kan kembali

Pemergianmu mengisi kekosongan
Biarpun dikau masih kuperlukan
Kita dikatakan pasangan bahagia
Kini terasing luka

Rabu, 16 Mei 2012

Part 7: Kenangan Yang Indah

Dia adalah yang terbaik untukku... pasti.

Bunyi azan subuh sayup-sayup berkumandang di udara. Fajar menyinsing diiringi dengan kokokan ayam bersahut-sahutan. Mata tuanya terkapai-kapai mencapai bingkai kaca mata di bucu tilam. Dia meraba-raba bantal disebelahnya. Telah lama terbiar. Tiba-tiba teringat suaminya yang telah lama pergi. Dia mengucup bantal itu. Tanda rindunya yang tidak berbelah bagi. Dia bingkas bangun lalu mencapai tuala mandi. Kakinya melangkah perlahan-lahan menuju ke bilik air. Kedengaran bunyi wisel cerek berlagu nyaring dan tidak lama kemudian senyap. Ada orang lain yang telah bangun lebih awal darinya.
“Ibu nak mandi air panas?” sapa anaknya sambil mengangkat cerek. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Sudah biasa katanya. Anaknya hanya menurut kata. Diletakkan semula cerek panas di atas dapur.
Ibu tua itu mendekatinya sambil menyangkutkan tuala mandi di bahunya. Dia menatap wajah anak kesayangannya yang tiba-tiba terpacul malam tadi di halaman rumah dengan sebuah teksi.. Muram dan sayu. Tidak seceria selalu apabila balik ke kampung. Lirikan matanya beralih. Cuba menyembunyikan sembab di sekeliling kelopak matanya. Mungkin sebab menangis. Biarlah dulu. Kalau sudah reda sedihnya pasti dia akan buka mulut. Sebagai ibu yang lebih dulu makan garam, hatinya tahu ada sesuatu yang disembunyikan daripada pengetahuannya. Kakinya melangkah ke bilik air meneruskan hajatnya yang tergendala.
Tepung dibancuh dan dicampur dengan ikan bilis serta bawang yang dihiris. Kuali ditenggekkan di atas dapur dan dituangkan minyak masak. Api dapur dinyalakan. Dia leka dengan tugasnya memasak cekodok ikan bilis. Amat menyenangkan hingga terasa masalah itu lenyap seketika. Bau aromanya menyebabkan perutnya berkeroncong minta diisi. Setelah selesai dia menghidangkannya di atas meja. Air teh tarik kegemaran abangnya juga telah siap tersedia. Dia mengambil cawan dan piring dan disusun kemas. Bunyi dehem menyebabkan dia sedikit terkejut. Nasib baik piring tidak terlepas dari tangannya. Danial ketawa kecil. Geli hati melihat telatah adik kesayangannya. Dia menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya.
“Hujan tak ada, ribut pun tak ada. Tiba-tiba balik kampung. Ada masalah kat pejabat ke?” Tanya Danial sambil menghirup teh tarik yang dihidangkan. Bibirnya tersenyum hambar.
“Tak ada apa-apalah. Rindu pada ibu. Itu sebabnya kita balik,” bunyinya riang tapi hatinya Tuhan saja yang tahu. Danial merenung wajah sembab adiknya.
Mata tidak pandai berbohong..
“Kenapa mata tu sembab? Nurul sakitkah?” teringat akan sakit adiknya yang pernah tidak semena-mena membengkak pada muka dan kakinya. Hatinya tiba-tiba risau.
“Err… tak adalah, bang. Nurul kurang tidur agaknya. Tu sebabnya nampak sembab,” dia cuba berdalih. Tidak lama kemudian ibunya turun ke dapur bersarapan bersama-sama.
“Sembab sebab tak cukup tidur atau sembab sebab menangis?” sampuk ibunya sambil menjeling. Dia kelihatan resah apabila ibunya cuba mencungkil cerita. Danial terkejut mendengar gurauan itu. Dia memandang adiknya.
“Mana ada kita menangis? Ibu ni ada-ada saja,” dia memuncung sambil makan cekodok yang digorengnya tadi. Ibu tersengih-sengih sambil memandang anak bongsunya. Danial buat-buat tidak faham.
“Dah besar panjang. Pandai-pandailah nak selesaikan masalah. Err.. ibu, hari ini Danial pulang lewat sikit. Ada jemputan ceramah di bandar selepas kerja. Malam mungkin baru Danial pulang,” Danial memberitahu ibunya.
“Yalah. Hati-hati dalam perjalanan,” balas ibunya. Danial menoleh pada adiknya pula.
“Nurul tolong tengok-tengokkan ibu. Elok juga kamu balik kampung. Boleh temankan ibu kalau abang tak ada di rumah. Kak Jannah ada seminar guru selama seminggu. Minggu depan baru dia balik. Abang berangkat dulu,” ujar Danial sambil menghulurkan tangan. Dia mencium tangan ibunya dan kemudian bersalaman dengan adiknya.
Fajar menyinsing...
Pintu dapur dibuka perlahan. Suasana pagi yang nyaman diseliputi kabus dan kicauan burung-burung berterbangan mencari makanan. Pokok-pokok masih menghijau. Indah sungguh suasana kampung yang masih belum dicemari dengan pembangunan. Danial mengucapkan salam pada mereka sebelum beredar dengan kereta Pesona kelabunya. Mereka duduk semula untuk bersarapan pagi. Makanan dijamah perlahan. Makan sekadar untuk melapik perutnya yang kosong. Tiada selera. Dia termenung jauh. Tenungannya seolah-olah tembus sehingga ke dasar meja di hadapannya.  Ibunya asyik memerhati sahaja sejak tadi. Dia menggeleng-gelengkan kepala.
“Kamu ni kenapa, Nurul? Ibu tengok kau asyik termenung dari tadi. Tengah fikirkan siapa?” Tanya ibunya sambil terangkat keningnya ingin tahu. Dia tersentak sambil menoleh pada ibunya. Lama ditenung wajah tua itu. Pada siapa tempat dia ingin mengadu kalau tidak pada ibu. Bergenang sedikit air matanya. Dia mengalihkan pandangan sambil mengesat matanya.
“Tak apalah kalau kamu tak mahu ceritakan pada ibu sekarang. Ibu tak memaksa. Ibu nak pergi ke rumah tenun kejap lagi. Kamu nak ikut?” ibunya bertanya.
“Tak apalah ibu. Nurul rasa nak berehat. Penatlah,” jawabnya. Ibunya mengangguk faham.
“Ibu, sebenarnya Nurul berhenti kerja,” tiba-tiba mulutnya meluahkan kata-kata. Entah kenapa hatinya terasa tidak tertahan menanggung derita. Ibunya menoleh. Diam tidak berkata apa-apa.
I found him...
“Nurul terjumpa Shafiq,” air matanya mula bergenang. Dia menyandarkan kepala pada bahu ibunya. “Rupa-rupanya syarikat Nurul menjalankan usahasama dengan syarikat ayah Shafiq. Nurul tak sangka selama ini dia masih mencari Nurul. Kenapa Tuhan masih pertemukan Nurul dengan dia? Kenapa dia tak cari orang lain dan lupakan Nurul? Nurul tak sanggup, ibu. Nurul tak sanggup hadapi semua ini,” dia menangis tersedu-sedu. Sesekali menarik nafas panjang. Ibu memeluk erat seperti bayi kecil yang memerlukan perhatian. Dia faham kenapa anaknya benar-benar sedih. Sedih terpisah dengan orang yang disayangi. Pilu kerana berkorban untuk orang yang dikasihi. Jiwanya memberontak kerana bahagia itu bukan miliknya.  Kesedihan ibu yang berumur hampir separuh abad itu telah berlalu 30 tahun yang lalu. Cuma keadaannya berbeza. Tapi keperitannya tetap sama. Kebahagiaan memerlukan pengorbanan.
“Sabarlah, sayang. Semua ini ujian dari Allah. Jangan pertikaikan takdir Tuhan. Berdosa besar, nak. Istighfar banyak-banyak. Minta petunjuk dan hidayah daripadaNya. Banyak pahalanya kalau Nurul bersabar,” dia mengucup dahi anaknya berulang kali. Hati keibuannya tersentuh. Dia kembali mengimbau kenangan lalu. Kenangan indah bersama arwah suaminya. Sehidup semati. Seia dan sekata. Walaupun gelora melanda diawal pelayaran, namun berakhir dengan kebahagiaan dan kesyukuran yang tidak terhingga.
Bermula suatu pertemuan...
Keadaan hujan ribut ketika itu. Tiba-tiba pintu dapur diketuk bertalu-talu. Siapa pula yang mengetuk pintu pagi-pagi buta. Pintu diketuk lagi. Dia memberanikan diri membuka pintu. Kelihatan kelibat seorang pemuda yang berlumuran darah di kepala sedang berpaut pada pintu daun dan jatuh rebah di pinggir lantai.
“Astaghfirullahal azim. Mak… Ayah… ,” jeritnya terperanjat sambil berlari ke ruang tamu. Wajahnya cemas.
Akibat luka pada kepalanya, dia telah hilang ingatan. Dia tidak ingat apa-apa pun tentang kisah silamnya. Lantas ayahnya menjadikan dia sebagai anak angkat. Saban malam dia mendengar sayup-sayup bunyi orang mengaji al-Quran. Sungguh merdu alunan suaranya. Hatinya tenang apabila mendengarnya. Dia mencuri dengar daripada celah-celah dinding kayu ketika semua orang nyenyak beradu. Disebabkan kebolehannya itu, ayah meminta dia mengajar Al Quran dan juga agama kepada keluarganya.  Keluarganya terpaut pada keluhuran peribadinya yang sungguh mulia.
Di sinilah bermulanya cinta yang terlarang. Sayang selasih hamba lurutkan. Kerana kasih hamba turutkan. Begitulah dirinya. Apatah lagi dia tidak bertepuk sebelah tangan. Mereka sama-sama menyimpan perasaan. Hatinya tidak pernah meletakkan dirinya sebagai anak orang berada. Dia tidak memandang harta benda atau kekayaan sebagai kayu pengukur. Tapi cukuplah sekadar seorang yang beriman dan beramal soleh yang mampu membimbingnya ke jalan yang benar. Hidupnya pasti bahagia hingga ke akhir hayat.
Ampuni anakmu ini...
Cinta yang berputik telah dihidu oleh ayahnya. Lantas dia dibawa jauh dari situ dengan harapan dia dapat melupakan wajah itu. Terasa sakitnya jiwa dan raga. Batinnya menderita. Semakin hari wajahnya semakin suram. Pucat tidak bermaya. Saban hari dia menangisi perpisahan itu. Mujurlah ada yang bersimpati pada dirinya. Dia dibawa menemui kekasih hatinya dan dinikahkan. Dia amat berterima kasih pada abang kandungnya kerana memahami penderitaan yang dialaminya. Dalam tangisan dia terpaksa pergi jauh dari keluarga. Walaupun hatinya gembira kerana dapat bersama orang yang disayanginya tapi dia terpaksa korbankan keluarganya. Ayahnya tidak merestui perhubungan mereka apatah lagi kalau dia tahu mereka sudah bernikah, tentulah bencana yang datang melanda.
Cinta adalah pengorbanan...
Hari berganti hari. Tahun berganti tahun. Akhirnya dengan kuasa Tuhan yang Maha Esa ingatannya pulih semula. Dia dibawa ke kampung suaminya dan bermastautin di situ. Ternyata pilihannya tepat sekali. Suaminya adalah anak seorang tokoh guru agama terkenal di kampungnya. Mereka hidup harmoni dengan dikurniakan tiga cahaya mata. Danial anaknya yang sulung mewarisi ketokohan datuknya. Nurul Jannah anak keduanya seorang guru dan anak bongsunya Nurul Balqish. Umur suaminya tidak panjang. Tuhan menjemputnya terlebih dahulu sebelum dia. Ternyata semangat juang untuk terus hidup masih utuh berbekalkan kata-kata suaminya, setiap yang hidup pasti akan mati. Cinta pada Ilahi jua yang kekal abadi. Dia menanti di sana nanti. Hidupnya cukup bahagia tapi jauh disudut hatinya dia tidak terniat untuk menjadi anak derhaka. Ampuni dosa-dosaku ayah… ibu… rintihnya pilu.
Ya, Allah. Kau datangkanlah bahagia untuk anakku setelah sekian lama dia menderita. Kau kurniakanlah dia kekuatan untuk mengharungi segala dugaanMu dengan sabar dan tabah. Sesungguhnya Engkau tidak akan menduga hambaMu di luar batas dan kemampuan mereka. Ya Allah, Engkau Yang Maha Mengetahui apa pun yang tersirat dan tersurat. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Dengarkanlah permintaan hambaMu yang hina ini. Aku sebagai ibunya tidak sanggup melihat dia menderita. Tiada daya dan upayaku melainkan dengan kekuatanMu, Ya Allah. Bantulah hambaMu dalam mengharungi hidup yang penuh berliku ini.

......bersambung dengan lagu Sampai Syurga - FT
 
Ku membenarkan jiwaku
Untuk mencintaimu
Ku persembahkan hidupku
Untuk bersama kamu

Dan diriku untuk kamu
Belum pernah kumerasai begitu

Semua itu telah berlalu
Harapanku palsu
Dan mungkin hari yang satu
Terus ku tertunggu

Di hatiku masih kamu
Belum pernah ku ingin terus memburu

ohhh..
Aku lemah tanpa kamu
Ku inginmu dampingi ku
Aku fahami aku bukan terbaik
Untuk dirimu

Sampai syurga ku menunggu
Sampai syurga ku cintamu
Hanya satu
Hanya kamu

Ku membiarkan hatiku
Untuk merinduimu
Ku menghamparkan sakitku
Untuk tatapan kamu

Bersamamu harapanku
Hilang dalam terang yang membutakanku

Dan segala yang ku ada
Ku berikan semua
Untuk dirimu saja

Ku mahu dirimu
Bahagia untuk selamanya
Biar sampai syurga
Aku menunggu cinta darimu
Agar ku sempurna

Namun aku tetap aku
Yang terbaik untuk diriku
hanya satu

Aku lemah tanpa kamu
Ku inginmu dampingi ku
Aku fahami aku bukan terbaik
Untuk dirimu

Sampai syurga ku menunggu
Sampai syurga ku cintamu
Hanya kamu

Jumaat, 11 Mei 2012

PART 6: SEDETIK KAU TIADA

Bagaimanakan kumula?

Lengang saja suasana pejabat hari ini. Macam dilanggar garuda. Sudah seminggu meja itu terbiar tanpa pengganti. Encik Irfan mengambil alih tugas-tugas yang ditinggalkan oleh Nurul Balqish. Berpeluh juga melayan karenah Amirul Shafiq ni. Tak senang duduk dibuatnya. Dia masih terbayang-bayang wajah Nurul Balqish yang suram. Tertanya-tanya kenapa gerangannya sedemikian.
“Kenapa tiba-tiba awak nak berhenti kerja? Awak ada masalah ke? Sakit awak datang balik ke?” bertubi-tubi soalan yang ditanya Encik Irfan.
“Err… saya ada masalah peribadi yang perlu saya selesaikan. Saya tak boleh beri tumpuan pada kerja saya. Jadi saya rasa ini adalah jalan yang terbaik.” Terang Nurul Balqish dengan nada yang terketar-ketar. Encik Irfan mengeluh panjang.
“Projek di KK tu amat penting bagi kita. Awak tak boleh tinggalkan kerja-kerja awak separuh jalan. Saya bagi cuti rehat selama seminggu. Awak tak perlu berhenti,” jelas Encik Irfan sambil mengisikan borang cuti.
“Tapi Encik Irfan… saya tak boleh.” Rayu Nurul Balqish.
“Sebenarnya apa yang terjadi antara kamu dengan Encik Amirul Shafiq? Kamu bergaduh ke? Alah… biasalah bila bercinta ni mesti ada gaduh-gaduh sikit. Nanti baiklah tu,” Encik Irfan cuba memujuknya. Nurul Balqish memandang tajam padanya.
“Saya memang ada masalah dengan dia. Saya tak gaduh mahupun bercinta. Cuma saya kurang selesa. Kalau Encik Irfan mahu saya terus bekerja di sini, saya tak mahu uruskan projek di KK,” tegas nadanya. Encik Irfan terkejut dengan tawarannya. Dia mengerut dahi.
“Encik Amirul mahu awak yang uruskan projek itu. Dia tidak mahu orang lain. Aduh, macam mana saya nak buat ni Nurul. Saya tidak punya pilihan. Kalau boleh saya dah suruh Amy uruskan semuanya. Tapi masalahnya Encik Amirul mahu awak? Tolonglah jangan buat saya macam ni, Nurul,” pujuk Encik Irfan lagi. Kasihan pula Encik Irfan. Lama juga Encik Irfan menanti jawaban.
“Datuk Mansur tak kisah siapa pun yang menguruskannya. Encik Amirul sahaja yang menetapkan syarat begitu. Tapi kalau ada apa-apa pertolongan yang perlu dibantu, saya akan bantu. Saya benar-benar minta maaf Encik Irfan. Saya tak boleh. Maafkan saya,” ujar Nurul Balqish sayu. Encik Irfan terdiam seketika.
“Saya simpati dengan apa yang berlaku. Awak selesaikan masalah awak dengan baik. Awak salah seorang staf saya yang terbaik. Jadi saya rasa kehilangan yang besar pada syarikat. Tapi kalau awak rasa-rasa mahu bekerja semula, syarikat ini sentiasa terbuka untuk menerima awak kembali,” ulas Encik Irfan hampa.
“Terima kasih, Encik Irfan. Saya mohon tolong jangan beritahu apa-apa jua maklumat tentang saya pada Encik Amirul. Saya minta tolong sangat-sangat,” pesan Nurul Balqish sebelum berangkat pergi. Encik Irfan cuma menganggukkan kepala.

@@@@@@@@@@@@@@@

Encik Irfan sibuk mengemaskini kerja-kerja yang ditinggalkan oleh Nurul Balqish. Dia terkilan dengan keputusan gadis itu. Walaupun tidak sampai setahun bekerja, dia menunjukkan prestasi yang cemerlang sehingga berjaya menarik minat pengusaha-pengusaha tempatan untuk membuat usahasama. Lamunannya tersentak apabila Amy mengetuk pintu biliknya.
“Encik Amirul dah sampai. Dia berada di bilik menunggu,” Amy memberitahunya. Encik Irfan mengarahkan Amy supaya bersedia di bilik mesyuarat. Dia akan hadir sebentar lagi. Amy mengangguk dan beredar dari situ.
Di luar Amirul Shafiq menanti diruang menunggu sambil matanya melilau mencari-cari seseorang. Kosong saja mejanya. Tidak berpenghuni. Kemana agaknya, luah hatinya. Dia pergi bercutikah? Bercuti untuk apa? Bertalu-talu soalan dihatinya. Risau kalau-kalau buah hatinya lari lagi.
Tamparan seminggu yang lalu sungguh memberi kesan yang amat mendalam dalam dirinya. Terasa macam semalam saja peristiwa itu berlaku. Dia benar-benar tersentak. Hatinya tersinggung dan tertipu dengan sikap Nurul Balqish. Tapi benarkah lelaki itu bakal suaminya seperti yang dikatakan? Siapa lelaki itu? Dia bagai tidak percaya dengan kata-kata gadis idamannya itu. Tekadnya untuk mencari siapa lelaki itu sampai dapat. Hatinya tidakkan puas selagi tidak berjumpa sendiri. Dia pasrah jika benar lelaki itu pilihannya dan berhenti mengharap. Fikirannya menerawang kembali di malam kejadian.
Haruskah aku maengalah?
“Engkau ni kenapa??!! Macam ayam berak kapur je. Sudah-sudahlah Shafiq. Orang tak mahu. Cari saja yang lain. Siapa nama bakal tunang kau tu?? Err… Tengku Sofiya. Sepadanlah dengan kau anak Datuk,” celah kawannya yang baru balik dari kerja malam. Amirul Shahfiq duduk termangu di sofa sambil merenung kosong kaca televisyen. Umar kawan sekuliahnya semasa di SA dahulu sentiasa berhubung rapat dengannya. Amirul Shafiq menumpang di rumahnya sejak dia tiba di KL.
“Aku tak faham. Apa salah aku? Apa kurangnya aku? Empat tahun aku terputus hubungan dengannya. Dia menghilang begitu saja. Sekarang ini dia kata dia dah ada orang lain. Dia mahu aku lupakan dia. Aku tahu dia sengaja nak sakitkan hati aku. Sengaja nak buat aku marah. Kalau betul, kenapa dia paksa aku tinggalkan dia? Kenapa dia menangis? Aku dapat rasakan dia masih mencintai aku, ” masih terngiang-ngiang luahan hatinya pada Umar. Dia menakup tangannya ke muka. Umar tersenyum sinis melihat keadaan kawannya yang kusut dan berserabut fikirannya. Dia melabuhkan punggungnya duduk disebelah Amirul Shafiq.
“Kau tahu makna pengorbanan?? Dia sedang berkorban untuk kau. Dia tak mahu menyusahkan kau. Kau tak tahu macam mana sakit yang dia tanggung semasa kau berada di Jerman. Kau tahu tak sakit dia tu boleh membawa maut. Tuhan tu masih sayangkan dia. Panjang umurnya lagi. Dia memang sengaja menjauhkan diri dengan harapan kau bertemu dengan orang lain. Tapi entah macam mana boleh pula terjumpa dengan kau lagi. Tahu-tahu pula, kau bakal ditunangkan dengan anak Tengku. Kau pula masih terhegeh-hegeh mencari dia walaupun kau tahu kau akan ditunangkan,” Umar menggeleng-gelengkan kepala. Dia menoleh. Tertanya-tanya maksud yang tersirat disebalik kata-katanya.
“Apa maksud kau? Aku tak faham,” soalnya cuba memahami kata-kata Umar.
“Sekolah tinggi-tinggi sampai oversea. Itupun tak faham. Kau ni kurang membaca buku-buku tentang psikologi, emosi dan kemanusiaan. Asyik bisnes memanjang. Maksud aku dia rela mengundurkan diri dan melepaskan kau pergi. Walaupun hatinya terluka tapi dia bahagia apabila melihat kau bahagia. Please, open your mind. Bunga bukan sekuntum, kumbang bukannya seekor. ,” jelas Umar bersungguh-sungguh. Dia mengetap bibirnya. Matanya tertutup rapat. Dahinya berkerut.
Pengorbanan yang tiada nilainya..
“Aku tak boleh lupakan dia. Aku terlalu mencintai dirinya,” ucapnya sayu. Umar bingkas bangun sambil bercekak pinggang.
“Habis tu Sofiya kau nak campak ke mana? Itukan pilihan keluarga kau. Fikir panjang sebelum bertindak. Jangan yang dikendong tak dapat, yang dikejar berciciran. Pada pendapat aku, Nurul tak mahu kau membelakangkan keluarga kau. Kau adalah tonggak kejayaan empayar Datuk Mansur. Be rasional. Jangan terlalu emosional. Jodoh itu ditangan Tuhan. Walau berapa tahun pun kau kejar dia, kalau dah jodoh takkan ke mana,” tempelak Umar. Fikiran Amirul Shafiq bertambah buntu. Tangannya mengusap rambut kepalanya ke belakang dan terus bersandar. Matanya merenung kipas yang sedang berpusing ligat.
“Kau pergi cari Dr Halim, doktor yang merawat dia di PPUKM. Kau tanya dia kalau kau nak tahu lebih lanjut tentang penyakitnya,” cadang Umar sambil berjalan ke kamarnya.  Amirul Shafiq termenung memikirkan nama doktor itu. Bagus juga cadangan si Umar ni.
Perlukah rindu itu?
Lamunannya terhenti apabila Encik Irfan memanggil namanya berulang kali. Dia bergegas mengekori Encik Irfan ke bilik mesyuarat. Perbincangan dimulakan. Matanya melilau mencari bayang Nurul Balqish. Tiada juga. Dia berbisik ke telinga Encik Irfan bertanyakan ketiadaan Nurul Balqish.
“Dia telah berhenti kerja seminggu yang lalu. Maafkan saya kerana tidak memberitahu Encik Amirul,” jelas Encik Irfan sambil memohon maaf. Sekali lagi pipinya terasa bagai ditampar. 
         Dia mengundurkan diri dan menghilang sekali lagi. Untuk apa nafas ini dihembus? Untuk apa jantung ini berdegup? Jika tiada sesiapa disisi. Kenapa harus dibuai angan dan lena dalam khayalan sekiranya dia menjauh. Ternyata terlalu sukar melepaskan sesuatu yang istimewa. Barulah hidup terasa bernyawa.
Sedetik kau tiada...
 bersambung kemudian....

Sedetik Lebih – Anuar Zain

Setiap nafas yang dihembus
            Setiap degupan jantung
            Aku selalu memikirkanmu
Dalam sedar dibuai angan
           Dalam tidur dan khayalan
          Aku selalu memikirkanmu

          Ternyata ku perlukan cinta dari dirimu sayang
          Barulah terasa ku bernyawa
Kasihku ku amat mencintai kamu
           Kerana kau beri erti hidup
           Ku kan terus mencinta sedetik lebih selepas selamanya
Di kala penuh ketakutan dengan badai kehidupan
          Ku bersyukur adanya kamu
Biarlah kehilangan semua yang dimiliki di dunia
          Asal masih adanya kamu

Isnin, 7 Mei 2012

Part 5: Tuhan Maafkan Aku

Maafkan aku seandainya....
Sejak empat tahun yang lalu, inilah rumah keduaku. Aku sering berulang-alik ke sini untuk menjalani pemeriksaan rutinku tiga bulan sekali. Para jururawat dan doktor telah ramai yang mengenali aku. Mereka begitu mesra melayan karenah orang ramai. Walau penat sekalipun mereka tetap mengukir senyuman. Aku kagum dengan semangat mereka. Bukan semua orang sanggup menjadi seperti mereka.
Segalanya berjalan lancar. Aku tersenyum melihat Dr Halim. Sungguh cute wajahnya. Aku suka merenung matanya. Matanya seperti mata seorang perempuan. Sejuk mata memandang. Tidak seperti doktor perempuan. Garang macam singa. Asyik marah saja. Sudah menjadi lumrah alam agaknya. Lelaki dan perempuan mempunyai daya tarikan yang berbeza.
“Kenapa awak senyum? Ada apa-apa yang tak kena pada muka saya?” soal Dr Halim sambil membalas renunganku. Aku tertunduk sambil tersipu-sipu malu.
“Tak ada apa-apa. Cuma saya suka tengok mata, doktor. Cantik dan bulat,” aku ketawa sinis. Dr Halim turut ketawa.
“Terima kasih. Awak ni ada-ada saja,” ujarnya sambil menyemak catatan dalam failku. Dia membaca dengan penuh teliti dan berpuas hati dengan prestasi kesihatanku.
“Saya rasa kita akan kurangkan dos-dos ubat yang sedia ada. Dalam tempoh setahun ini SLE awak berada dalam keadaan bertenang atau remission. Bagus,” ulasnya sambil mencatatkan sesuatu pada helaian kertas.
“Err… nanti tolong tinggalkan no handphone awak pada jururawat sebab kemungkinan awak akan dipanggil untuk jalani ujian tulang untuk mengetahui tahap esteroperosis pada tulang awak.” Dia menyediakan sepucuk surat untuk diserahkan pada bahagian scan tulang. Surat itu diserahkan padaku.
“Awak belum berkahwin lagikan?” Tanya Dr Halim. Aku hanya menggelengkan kepala.
“Doktor tak bagi saya kahwin. Macam mana saya nak kahwin.”rungutku sambil tersenyum. Dr Halim mencuri pandang. Tersenyum sendiri.
Masihkah ada harapan untukku??
“Ehh..eh… saya pula yang kena!! Bukan saya tak bagi. Tapi untuk kebaikan awak juga. Betul tak? Tapi kalau dah jodoh tak ke mana. Susah-susah awak kahwin saja dengan saya. Saya ni duda and available. Ada anak seorang berumur 2 tahun.” Aku terkedu seketika. Dr Halim ketawa melihat riak wajahku.
“Saya gurau sajalah. Tapi kalau betul apa salahnya,” balasnya sambil memanggil jururawat. “Tolong sediakan tarikh temujanji untuk bahagian scan tulang. Dapatkan no hp pesakit dan buat panggilan jika sudah dapat tarikh.” Aku masih terdiam. Terkejut dengan gurauan Dr Halim. Dia mengambil bingkai gambar di meja dan dihulurkan padaku.
“Inilah buah hati saya. Kenang-kenangan yang ditinggalkan oleh arwah isteri saya. Cantikkan anak saya?” pujinya sambil menunjukkan gambar anaknya. Aku mengangguk tanda setuju dengan pendapatnya.
“Isteri saya meninggal dunia selepas melahirkannya akibat komplikasi yang serius pada buah pinggang. Saya pun tak tahu yang dia menghidap SLE. Masa mengandung penyakitnya bertambah parah dan segala-galanya telah terlambat. Dia tidak dapat diselamatkan. Sebab itulah saya tidak menggalakkan pesakit saya berkahwin. Risikonya amat tinggi. Awak kena cari bakal suami yang benar-benar memahami sakit awak. Contohnya saya sebab saya seorang doktor. Saya faham masalah-masalah pesakit. Tidak semua orang faham tentang apa yang kita alami. Kalau boleh dielak kita elaklah sebelum terlambat. Tak begitu?” terang Dr Halim panjang lebar.
“Nantilah kita cerita panjang lebar di luar waktu pejabat. Itupun kalau Cik Nurul sudilah. Boleh saya kenalkan dengan anak saya.” Dr Halim cuba memancingku dengan soalan yang tidak kuduga. Aku gugup untuk menjawab. Lama juga aku terdiam.
“Saya tak memaksa. Kalau tak sudi, tak mengapa.” Ujarnya sedikit hampa.
“Err… saya bukan tak sudi. Tapi saya sedikit janggal kalau keluar dengan doktor. Nanti apa kata orang pula,” aku cuba memberi alasan. Dr Halim tersenyum dengan alasan itu.
“Kalau begitu saya jemput awak jam 8 malam nanti. Tak payah fikir apa yang orang kata. Yang penting kita tidak menyalahi undang-undang dan tatasusila,” tegas Dr Halim sambil mengangkat fail rawatanku. Sebelum beredar dia berpaling padaku.
“Saya tahu rumah awak di mana dan no hp awak pun saya ada. So, just wait for me.” Dr Halim beredar dari bilik rawatan dan pergi entah ke mana. Aku terduduk kaku di situ. Bagai sebongkah batu berada di atas kepalaku. Terasa berat untuk dipikul. Apa yang harus aku lakukan.
-##################-
Aku duduk berehat di lobi sebentar sementara menunggu teksi. Telefon berdering. Tertera no Encik Irfan. Dahiku berkerut. Kenapa pula Encik Irfan telefon aku? Ada masalah ke?
So in love...
“Er… ya, Encik Irfan. Saya baru nak balik. Apa dia? Nak datang jemput. Ehh.. tak payahlah. Menyusahkan saja. Okey...” Kenapa dengan semua orang hari ini? Pelik pula aku. Lantaklah. Buat apa pening-peningkan kepala. Dah ada orang datang jemput. Tunggu sajalah. Hatiku bernyanyi girang.
Hampir setengah jam aku menunggu. Naik panas punggung aku. Sudah puas duduk, aku berdiri. Kemudian berjalan ke sana ke mari. Duduk semula sambil membelek-belek majalah. Tiba-tiba berdiri di depan mataku seorang lelaki yang tidak kuduga kehadirannya. Dia hanya berdiri di depanku tanpa aku endah siapakah gerangannya. Sehelai demi sehelai aku selak.
“Assalamualaikum…” Aku mendongak dan terkejut. Pipiku memerah. Ya, Allah. Apa yang dia buat di sini??!! “ Waalaikumussalam…” gementar menjawab salam yang diberi.
“Dah lama tunggu? Err… Encik Irfan tak jadi datang. So, I yang datang jemput.” Dia mengukir senyuman. Aku turut tersenyum tapi sedikit kelat. Ini mesti perancangan Encik Irfan. Dia saja nak kenakan aku. Apa aku nak buat ni, bisik hatiku risau.
“Kita pergi makan dulu. Fiq belum makan lagilah sejak turun dari flight. Terasa lapar pula. Jom…” ujarnya sambil menghulurkan tangan. “Takkan tak sudi. Dari jauh kita datang tapi dia buat tak endah saja. Geramnya. Kalau ikutkan hati, mahu saja Fiq bawa lari. Nasib baik anak orang,” rajuknya sambil memandang ke arah lain. Alahai, merajuklah pula. Dah besar panjang pun nak merajuk. Aku bingkas bangun dan menjeling padanya. Geli pula hatiku melihat muka rajuknya. Masam mencuka.
“Hmm… nak makan di mana?” balasku sambil mencuri pandang. Dia membisu. Berdiri macam tunggul. Orang tanya diam pula. “Nak makan kat mana? Kata lapar. Orang tanya buat tak tahu pula,” aku mencubit lengannya. Dia mengaduh. Macam kena cubit ketam rasanya.
What's up??
“Mengada-ngada. Qish nak balik naik teksi sajalah. Lain yang ditunggu lain pula yang muncul,” aku melangkah laju sambil cuba menahan teksi kalau ada. Panas sungguh sehingga teriknya membakar kulit mukaku. Lupa pula hendak bawa payung. Amirul Shafiq cuba mengejar dari belakang. Cemas. Dia mencapai tanganku.
“Qish… I’m sorry. I miss you...Nurul Balqish!!!” panggilan itu menyentak naluriku. Dia tidak pernah memanggilku dengan nada yang agak tinggi. Semua orang sekeliling memandangku. Langkahku terhenti. Teksi telah menunggu di situ. Amirul Shafiq menyuruh teksi itu pergi. Dia membawa aku ke kereta BMWnya yang berada tidak jauh dari tempat itu. Sekali lagi aku di bawa entah ke mana.

#################################
Suara radio dikuatkan. Amirul Shafiq menambah volume lagi. Bingit telinga aku dibuatnya. Sejak tadi aku mendiamkan diri. Tidak keluar sepatah pun suara. Hatiku tiba-tiba menjadi sedih. Tersentak dibuat begitu. Arwah abah saja yang pernah berteriak begitu. Geramnya. Radio kututup. Dia menoleh. Lantas mengangkat tangannya untuk menekan button on. Aku menepis menghalang tangannya. 
"Fiq nak dengar radiolah.." rungutnya. Mataku menjeling. 
"Bingit telinga tahu tak? Terjerit-jerit nama orang. Ingat awak tu siapa?" teriakku melepaskan geram. Terdiam masing-masing. Tak sangka pula aku boleh semarah itu. Aku hanya berpeluk tubuh sambil fikiranku menerawang jauh memikirkan Dr Halim. Kenapa pula aku boleh terfikirkan doktor itu. Terpaksalah aku terima pelawaannya. Dia yang merawatku daripada awal hingga kini. Terlalu banyak jasanya padaku hingga aku rasa aku tidak mampu membalasnya.
Amirul Shafiq memperlahankan kereta dan membelok ke kiri sambil mencari parking. Aku memandang sekeliling dan kurasakan tempat ini terlalu sinonim denganku. Otakku ligat berfikir. Ohh… baru aku teringat. Taman dan tasik ini. Sudah lama aku tidak berkunjung ke sini setelah tamat pengajian. Rinduku telah lama membara. Tapi kenangan itu bukan aku seorang saja tapi dia juga. Dia sengaja membawa aku ke sini untuk mengimbau kembali kenangan-kenangan manis antara aku dan dia. Selagi aku tidak menyatakan alasan yang kukuh, selagi itu dia akan mencari aku. Apa yang harus aku lakukan?
Sukarnya untuk kulupakan... ada kisah disebaliknya..
“Rindunya pada tempat ni. Dah banyak perubahan. Bertambah cantik. Fiq rindu sangat. Terutama pada senyuman manis Nurul Balqish yang pernah Fiq kenali dulu.” Aku terpaku dengan kata-katanya. Apa yang hendak kukatakan lagi. Senyumku telah lama hilang. Kenangan itu telah lama kubuang jauh. Kenapa kau bangkitkan semula semua itu? Aku tidak sanggup. Aku tidak mampu. Aku tahu bahagia itu bukan milikku. Hentikan. Tolong hentikan semua ini. Aku redha andai itu takdirnya. Batinku merintih.
“Alangkah bahagianya kalau dapat diputarkan semula masa yang lalu. Masa tu juga Fiq akan hantar rombongan meminang. Tak payah susah-susah macam sekarang.” jelasnya sambil merenung jauh ke tasik. Udara sungguh menyamankan tapi dadanya terasa sesak. Dia memandangku sayu. Aku tahu semua itu bukan kemahuannya. Wajahnya tidak seceria selalu. Sikapku menambahkan lagi kesengsaraan dalam dirinya.
“Anggaplah segala yang berlaku ini adalah suratan takdir. Kita harus terima dengan hati yang terbuka. Qish redha jika tiada jodoh antara kita. Fiq juga kena terima,” balasku setelah lama membisu.
“Fiq tak cintakan dia. Bagaimana Fiq mahu hidup dengan orang yang Fiq sendiri tak cinta? Fiq dah cuba selama 4 tahun. Bukannya sekejap tahu tak? Tapi tak boleh. Kenapa tak faham-faham?” tegasnya sambil mengerut dahi.
“Cinta tu boleh disemai. Kasih sayang boleh dibaja. Bagilah sedikit ruang untuknya bercambah. Berikan cahaya padanya untuk hidup subur. Lama-kelamaan berputiklah ia dan bercambah malahan berbunga,” terangku bersahaja. Kata-kata yang tidak terfikir olehku. Pedih sungguh ungkapan itu.
Bengang...
“Ahhh… Fiq tak peduli semua itu. Biarlah apa nak jadi. Fiq tetap dengan pendirian Fiq. Fiq akan buat apa yang Fiq mahu. Tunggu sajalah,” geram sungguh nadanya. Ada sesuatu bermain difikirannya. Apa yang dia mahu lakukan? 

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Janji tetap janji. Terpaksa kutunaikan walau hati terasa berat. Kenapa tak sedap hati saja ni? Hatiku tiba-tiba berdebar-debar. Mengapa aku jadi tak keruan? Hish… aku menarik nafas panjang. Loceng rumah berbunyi. Aku membuka pintu. Terpacul di hadapanku siapa lagi kalau bukan Amirul Shafiq. Tersenyum lebar. Aduhai… aku sudah kata jangan datang ke rumah. Degil betul. Jam menunjukkan pukul 8 malam. Bila-bila masa saja dia akan sampai. Hatiku jadi tak tentu arah.

Sorry… I singgah sekejap saja. Tiba-tiba pula teringatkan you. Ni cantik-cantik nak pergi mana? Ada temujanji ke?” Tanya Amirul Shafiq. Lidahku kelu untuk menjawab. Seperti yang dijangka sebuah kereta muncul diluar pagar. Handphoneku berdering. Amirul Shafiq memandangku dengan perasaan curiga.

“Err… Qish minta maaf. Qish ada urusan dengan client.” Aku beredar tanpa memandang wajahnya. Pasti dia tertanya-tanya. Paling tidak mesti dia telefon Encik Irfan untuk mengetahui samada aku ada urusan dengan client diluar waktu pejabat. Ahh… lantaklah dia nak kata apa.
Suka tak semesti cinta...
Hampir pukul 10 malam. Dr Halim membawa aku makan dirumah ibu bapanya. Anaknya menyambut mesra kehadiranku. Petah sungguh mulutnya. Terhibur rasanya mendengar celotahnya. Ibu bapanya begitu ramah dan mesra. Setelah habis makan malam, mereka menyajikan dengan minuman teh panas dan pencuci mulut pula. Aku menolak pelawaannya Dr Halim untuk menambah secangkir lagi air teh.
Setelah lama berbual-bual aku meminta diri untuk pulang. Dr Halim faham kegelisahanku lalu mengajak anaknya untuk menghantar aku pulang. Dengan manja dia melangkah masuk ke dalam kereta dan duduk di atas ribaku. Si kecil ini tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu. Sesekali dia mencium pipiku dan aku turut membalasnya. Aku amat terharu. Dr Halim tersenyum dengan tingkahlaku manja anaknya. Setelah sampai di rumah, aku menghulurkan salam pada si kecil dan ucapan terima kasih pada Dr Halim atas jemputan makan malam.
Belum sempat aku melambai menyatakan ucapan selamat jalan, Amirul Shafiq muncul dari celah-celah kereta yang berada di tepi jalan rumahnya. Berderau darahku. Buat apa malam-malam begini di sini. Diwajahnya terpamer rasa tidak puas hati. Dia menghampiriku.
“Baru balik, sayang. Dah habis urusan dengan client. Siap bawa anak kecil sekali. Itu urusan pejabat ke atau urusan peribadi? Tadi Fiq telefon Encik Irfan. Dia kata tak pernah ada urusan dengan client di luar waktu pejabat.” Dia memandang tepat ke mataku. Hatiku mula rasa panas.
Marah bererti sayang...
“Patutlah bila Fiq ajak keluar malam ni, ada saja alasan. Rupa-rupanya ada date dengan mata air lain. Siapa lelaki tu? Cakap siapa?” nadanya agak tinggi. Perlukah aku menjawab pertanyaannya? Rasa marah menghantui dirinya. Aku rasa biar aku masuk saja ke rumah. Atau aku pun sama-sama naik hantu nanti.
“Hei… Fiq tanya siapa lelaki tu?” Amirul Shafiq menghalang aku dari membuka pintu pagar. Aku benar-benar naik angin dengan tindakannya.
“Dengan siapa pun Qish keluar, itu bukan urusan you. Siapa dia, itupun bukan urusan you. So, jangan masuk campur. Tak payah sibuk-sibuk. Lagi satu nak bagi tahu, dia tu bakal suami Qish. Puas hati?” bentakku. Apa yang aku cakap ni? Cabul betul.  Amirul Shafiq termangu mendengar penjelasanku. Kerongkongnya bagai tersekat.
“Kenapa buat Shafiq begini? Kenapa? Sampai hati. Sia-sia saja Fiq berkorban masa dan tenaga mencari kekasih hati yang hilang. Ini balasan Qish. Fiq tak percaya. Ini mesti muslihat Qish untuk menjauhkan diri lagi dari Fiq. Siapa nama lelaki tu?” Keadaan semakin kalut. Amirul Shafiq tidak mahu mengalah. Aku semakin terhimpit dan tertekan. Satu tamparan singgah dipipinya. Dia terkejut.
“Jangan jadi gilalah, Shafiq. Terimalah kenyataan ini. Datuk Mansur mesti menaruh harapan yang besar pada Fiq. Restu keluarga amat penting, Fiq. Jangan jadi anak derhaka. Qish tidak mahu melihat itu terjadi. Kisah cinta kita telah berakhir. Terimalah sebagai takdir. Tolonglah lupakan Balqish. Qish merayu. Tolonglah tinggalkan Qish. Qish tak sanggup lalui semua ini.” Air mata jatuh berlinangan. Seolah-olah mengiringi gerimis yang mengundang. Sesungguhnya aku tidak mampu dari mengingati dia kerana aku terlalu mencintai dia. Tuhan maafkan daku… bersambung lagi...
madahtidakberhelah: Jgn terlalu mencintai manusia tapi cinta yang unggul adalah milik PenciptaNya...

~ Lagu Rossa Terlalu Cinta ~

Jangan dekat atau
Jangan datang kepadaku lagi
Aku semakin tersiksa
Karena tak memilikimu

Ku coba jalani hari
Dengan mengganti dirimu
Tapi hatiku selalu
Berpihak lagi padamu

Mengapa semua ini
Terjadi kepadaku

Reff:
Tuhan maafkan diri ini
Yang tak pernah bisa
Menjauh dari angan tentangnya

Namun apalah daya ini
Bila ternyata sesungguhnya
Aku terlalu cinta dia