Jumaat, 27 April 2012

Part 4: Ya Allah Jangan Kau cuba aku melebihi batas & mampuku

Ya Allah, berikan hambaMu ini kekuatan...


Mengapa mataku enggan terpejam lena. Tidurku kerap terganggu sejak akhir-akhir ini. Malamku disulami dengan igauan yang mengerikan. Resah dan gelisah menghantui diri. Mimpi yang sering membuat hatiku gering. Orang kata mimpi itu mainan tidur. Tapi aku takut akan menjadi kenyataan. Ya, Allah. Kau berikan aku kekuatan untuk terus hidup. Sesungguhnya tiada daya dan upayaku melainkan dengan kekuatanMu. Aku pasrah dengan ujianMu.
Puas sudah untuk kuratapi kepincangan hidupku. Bagai nakhoda yang kehilangan kemudinya. Bahteraku belayar sendiri mengikut arus. Dikala angin bertiup kencang, aku hampir kehilangan arah dan tujuan. Terkapai-kapai meredah lautan. Sehari beban yang kutanggung, terasa bagai bertahun-tahun lamanya. Saban hari aku meratapi kepayahan yang kurasa tidak tertanggung dek badan. Diriku menjadi lemah dan tidak bermaya. Terkadang berlari difikiranku mengapa aku terpaksa melalui segala penyiksaan hidup yang sebegini.  Aku malu dengan keadaanku sebegini. Mengharapkan ihsan ibu untuk menyiapkan diri. Aku tidak mampu untuk melakukannya sendiri. Aku tidak mampu. Betapa luluhnya jiwaku. Betapa hancurnya impianku. Aku menangis semahu-mahunya. Kata-kata doktor menambahkan lara kedukaanku.
“Awak ada teman lelaki?” Tanya Dr Halim ketika aku disahkan menghidapi SLE tahap ke- 4 lupus nefritis. Tahap kedua tertinggi dalam kelasnya. Tahap yang boleh membawa maut dalam senyap. Tiada jawaban. Aku membatukan diri.
“Saya nasihatkan buat masa ini, awak tidak boleh berkahwin. Dan andaikata jodoh dah sampai, awak perlu mengelak daripada mengandung,” tambah Dr Halim. Begitu lembut dan lunak suaranya tapi tegas.
“Terus-terang saya katakan penyakit awak ini adalah kronik. Penyakit ini adalah autoimmune decease, ia akan menghentam mana-mana anggota badan awak termasuk jantung, otak, buah pinggang dan lain-lain. Kalau tiada pemantauan yang rapi, nyawa awak dalam bahaya. Lebih bahaya lagi jika pesakit itu mengandung. Lebih 80% kandungan terpaksa digugurkan atau jika diteruskan kandungan itu boleh membawa maut pada si ibu. Awak faham maksud saya?” tegas Dr Halim lagi. “Jadi buat masa ini, saya harap awak bersabar dan banyakkan doa. Kita hanya boleh berusaha memberi rawatan kepada pesakit tapi untuk menyembuhkan penyakit itu kita serahkan pada Ilahi.” Perit sungguh hati ini mendengar penjelasan Dr Halim. Termenung dan mengelamun lagi.
Tabahkan hatiku...
    Kering sudah air mataku. Semakin hari semakin hilang semangat dan pedomanku. Emosiku turut terganggu dan bertambah parah. Teramat sensitif dan mudah mengalirkan air mata. Aku tidak faham. Bingung. Runsing. Aku dibawa jauh dari hiruk-pikuk kota yang berserabut dengan pelbagai karenah manusia. Ibu membawa aku pulang ke kampung halaman. Terasa aman dan nyaman.
“Sudahlah Nurul. Jangan asyik menangis saja. Dah macam orang kematian suami pula. Emakkan masih hidup lagi. Abang dan Kak Jannah sentiasa ada di sisi Nurul. Cubalah banyakkan zikir mengingati Allah dan membaca ayat-ayat suci Al-quran. Kalau larat, bangun malam buat solat sunat,” pesan Danial, abang sulungku. Telingaku sudah lali dengan tegurannya. Tiap-tiap hari asyik membebel. Aku yang menanggung segala kesakitan. Apa yang mereka tahu? Mereka tidak rasa apa yang aku rasa. Cuma boleh pandang saja. Cuba duduk ditempat aku ni kalau mahu tahu betapa siksanya. Bentak hatiku.
“Kita harus ingat tujuan kita hidup di dunia. Allah berfirman “Katakanlah:Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang: Surah Az-Zumar ayat 53. Jangan berputus asa. Ini adalah ujian daripada Allah. Kamu harus banyak bersabar, “ sambung Danial yang berkelulusan Universiti Al-Azhar. Kearifannya dalam hal-hal agama tidak dapat disangkal.
Nurul tahu betapa besarnya kelebihan bersabar ini? Pahala bagi orang-orang yang bersabar ada tiga. Pertama: Sabar terhadap musibah, iaitu sabar dan tidak merasa marah terhadap musibah yang menimpanya sebaliknya dia menerima dengan baik musibah itu. Maka Allah S.W.T. mencatatkan di Luh Mahfuz 300 darjat. Darjat yang tertinggi di Syurga dan setiap satu darjat antara satu darjat itu seperti langit dan bumi. Kedua: Barang siapa yang bersabar dalam taat iaitu mengerjakan taat dan menanggung kesukaran taat itu maka Allah S.W.T. akan mencatatkan baginya 600 darjat yang mana satu darjat itu seperti permukaan bumi yang atas hingga ke penghabisan bumi yang terakhir. Ketiga: Barang siapa bersabar dari maksiat, iaitu meninggalkan kerja-kerja maksiat maka Allah S.W.T. akan mencatatkan baginya 900 darjat yang mana setiap satu darjat antara satu darjat itu seperti permukaan bumi hingga ke Arasy. Dan dia adalah makhluk darjatnya dua kali ganda. Sabar menjauhi segala yang diharamkan itu martabatnya paling tinggi.” Aku membisu tanpa sepatah kata.
Bersangka baiklah pada Penciptanya..
“Nurul adalah orang yang paling bertuah kerana telah dipilih oleh Allah. Itu bermakna Tuhan sayangkan Nurul. Dia suruh Nurul sentiasa mengingati Dia dalam susah dan senang. Maka berbaik sangkalah dengan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang tidak kita ketahui. Berdoalah padaNya kerana doa itu senjata umat Islam. Mengadulah pada Allah kerana Dia Maha Mendengar dan mohonlah supaya diringankan beban yang kita tanggung kerana Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Abang tak sanggup melihat keadaan adik begini.” Danial menatap wajahku sayu. 
        Jarinya mengusap air mata yang jatuh berlinangan dipipiku. Pesanan itu terlalu berharga buatku. Dia membimbing aku meniti hari-hari yang kurasakan telah pudar. Kenapa aku ini? Sesungguhnya ia membuatkan aku terjaga dari lena yang panjang. Aku tidak berhak menyalahkan takdir Tuhan kerana kita ini adalah hambaNya. Ampunilah segala dosa-dosaku Ya Allah. Selama ini aku asyik menyalahkan takdir. Aku tidak dapat menerima kenyataan ini. Kau yang berhak menentukan perjalanan hidupku. Aku insaf dengan kekhilafanku. Aku bertaubat padaMu atas segala kesalahanku. Terimalah taubat hambaMu ini. Pesan Danial lagi, ingatlah Allah dan Dia pasti mengingati hamba-bambaNya yang mengingati Dia. Andai kita dekatnya padaNya, Dia seribu kali dekat dengan hambaNya. Terima kasih, Allah. Terima kasih yang teramat sangat. Aku menemui ketenangan yang kucari selama ini. Sesungguhnya hati akan tenang apabila kita mengingati Allah. Senyumanku kembali mekar. Semekar bunga di halaman rumahku. Aku bangkit dengan semangat dan azam yang baru.
Setiap yang berlaku ada hikmah disebaliknya..
Aku tidak pernah terfikir aku akan bertarung dengan penyakit yang aku sendiri tidak tahu puncanya. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Masaku dipenuhi dengan kerja-kerja amal persatuan yang aku naungi. Di situ aku menemui mereka-mereka yang senasib denganku. Malah ada yang lebih teruk. Ada yang terlantar tidak boleh bangun. Ada yang kehilangan buah pinggang dan terpaksa menjalani hemodialisis sepanjang hayat. Sekurang-kurangnya aku boleh bertapak semula menggunakan kaki setelah sekian lama aku duduk dikerusi roda. Ya, sesungguh aku amat bertuah kerana diberi peluang untuk kali kedua. Aku menangis sambil bersujud syukur pada Ilahi. Sesungguhnya Allah itu Maha Besar.
Kali ini aku diuji pula dengan kehadiran Amirul Shafiq. Insan yang selama ini bersemadi di hatiku. Dia adalah tunggak kejayaanku semasa di menara gading. Bersaing untuk menjadi yang terbaik. Berjuang dalam menegakkan kebenaran. Aku dan dia sememangnya serasi. Umpama belangkas. Di mana ada Amirul Shafiq disitu ada Nurul Balqish. Bagaikan rotan dengan suasa. Bagai ombak dengan pantai. Bagai irama dengan lagu. Andai terpisah, pincanglah lagu. Rosaklah irama. Teringat aku kata-kata dalam filem Antara Dua Darjat. Aku akui ajal, maut, jodoh dan pertemuan adalah milik Tuhan. Aku yang menoktahkan perjalanan cintaku. Aku tidak sanggup membebankan dirinya dengan kekurangan yang aku ada. Tapi semakin aku menjauhkan diri, semakin dekat dia menghampiri. Semakin aku mengelak, semakin hari dia mencari. Apakah ini yang dinamakan jodoh? Hmm… entahlah. Aku pasrah.
Ada jambangan bunga baru sampai lagi. Cantiknya. Merah dan wangi,” cetus Amy tiba-tiba muncul dengan membawa jambangan dan diletakkan di atas mejaku.
 “Nak letak mana ni? Penuh dah meja ni dengan bunga-bunga.” Rungutnya. Aku mencemik mukaku.
“Ambillah kalau kau mahu. Aku malaslah nak layan,” balasku selamba. Amy terkejut.
“Betul ni? Kau tak suka bunga-bunga ni?” terperanjat dengan tindakanku.
“Ambil sajalah. Kalau tak aku buang dalam tong sampah,” ujarku lagi.
I love roses...
“Tak baik tau kalau tak terima. Orang dah bagi ambil sajalah. Yang kau jual mahal sangat ni kenapa? Peliklah kau ni,” Amy membebel. Amy menghampiriku dan berbisik ke telingaku. “Siapa mamat ni? Romantika sungguh. Teruja aku,” tanyanya sambil tersengih. Aku menjeling.
“Anak Datuk Mansur. Client kita yang di KK tu,” terangku.
“Ya ke? Tak sangka anak Datuk tu terpaut dengan kau. Rugi aku tak pergi ke sana hari tu. Kalau tak mesti dia terpaut dengan aku,” guraunya sambil berangan. Aku tersenyum dengan gelagatnya.
Dengan tidak semena-mena Encik Irfan keluar dari biliknya dan mengerutkan dahi melihat Amy duduk bersantai di mejaku. Aku menggelabah takut kalau-kalau Encik Irfan marah padaku. Dia berjalan ke mejaku.
“Awak dah tak ada kerja ke, Amy?” buntang matanya menegur Amy. Amy terkocoh-kocoh turun dari mejaku. Dengan perlahan-lahan melangkah ke mejanya. Encik Irfan cuma memandang sahaja kemudian menoleh kepadaku. Dia berasa pelik melihat bunga-bunga memenuhi ruang mejaku.
“Ni tempat kerja ke tempat jual bunga?” Tanya Encik Irfan padaku. Aku tersengih-sengih macam kerang busuk. Ada ke kerang busuk tersengih-sengih? Lantaklah. Itu cuma simpulan bahasa saja.
“Err… Nurul tolong settlekan documention untuk client kita di KK tu. Esok Encik Amirul Shafiq akan datang ke sini untuk melihat perkembangan selanjutnya. Dia mahu kamu yang uruskan,” arah Encik Irfan padaku. Aku menggaru kepala.
“Tapi esok saya cuti, Encik Irfan. Saya ada appointment dengan hospital. Saya suruh Amy gantikan tempat saya, boleh?” jelasku pada Encik Irfan. Dia menepuk dahi sambil memikirkan sesuatu.
“Yelah. Saya lupa kamu cuti esok. Masalah besar ni. Dia kata dia tak mahu orang lain. Dia mahu awak juga. Agaknya dia suka kamu, tak? Susahlah macam ni kalau kamu tak suka dia. Nantilah saya fikirkan macam mana nak buat.” Encik Irfan berlalu pergi. Alamak… matilah aku macam ni, rintih hatiku. Dia sengaja turun KL semata-mata mahu berjumpa dengan aku. Bunga-bunga ni sudah 5 hari berturut-turut dihantar padaku. Aku masih ingat kata-kata terakhir sebelum penerbanganku.
hope to see u soon...
I will come to you. I promise you.” Langkahku tetap sama. Tidak menerima mahupun menolak. Aku hanya berserah pada Tuhan. Jalan yang mana yang diberikan petunjuk, maka jalan itu yang akan aku susuri. Aku memohon dariMu Ya Allah, aku mohon jangan Kau uji aku melebihi batas mampu dan sanggupku. Sesungguhnya tiada daya dan upayaku melainkan dengan KekuatanMu. 

bersambung.... dengarkan bait lagu Wali ini....

Ya Allah jangan Kau coba aku
Melebihi batas mampu dan sanggupku
Ya Allah bila memang Kau coba
Aku percaya Kau sayang padaku
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah
Ya Allah lindungilah diriku
Dari yang menjahati menzhalimiku
Ya Allah Kaulah Maha Segala
Engkaulah pelindung hidup dan matiku
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah
Ya Allah jangan Kau coba aku
Melebihi batas mampu dan sanggupku

Selasa, 24 April 2012

Part 3: Aku Bukan Untukmu

Biarkan aku sendiri....

Deringan telefon mematikan lamunannya. Lama juga kedengaran bunyinya barulah diangkat. Lantas menjawab,” Wa’alaikumsalam, ummi. Err… tak adalah banyak kerja. Amir tengah siapkan kertas-kertas kerja ni. Pukul berapa flight tiba? Ohh… okey. Kejap lagi saya balik. Ok…see you,” Terukir senyuman dibibirnya. Entah mengapa tiba-tiba hatinya berlagu riang. Baru dia teringat yang dia belum mandi lagi. Semalaman aku di pejabat. Sempat lagi balik sekejap dan terus ke airport, bisik hati kecilnya. Kakinya melangkah laju keluar dari pejabat.
Sarah baru sahaja menyiapkan air kegemaran bosnya. Air kopi 434 yang sungguh enak khas dibawakan dari Muar untuk bos barunya. Hmm… Amirul Shafiq bin Datuk Mansur. Sungguh gah nama itu dan menjadi sebutan semua staf-staf wanita di pejabatnya. Masih bujang dan dengar-dengarnya tiada teman yang istimewa. Ada chancelah aku, hatinya berangan girang. Orangnya ala-ala Arron Aziz tapi kacak lagi Arron Aziz. Tinggi dan sasa. Macho dan smart. Sudah jadi impian setiap gadis sepertinya. Pelik juga rasanya. Rupa dah ada. Nama pun terkenal di kalangan ahli korporat. Tapi masih tidak berpunya. Agaknya terlalu cerewet memilih teman. Susah juga kalau begini.
“Sarah, kalau Datuk Mansur cari saya katakan saya ke airport yer!!! “ jelasnya sambil berlalu pergi. Terkebil-kebil mata Sarah memerhatikan gelagat bosnya tergesa-gesa keluar. Belum sempat dia menjemput bosnya minum kopi kegemarannya.
“Hmm… aku juga yang kena minum. Tak apalah. Asalkan aku dapat tengok muka dia tiap-tiap hari,” pujuk hatinya sambil menyambung kerja.

                        ***********************************************************
I'm flying without wing...
  Lapangan terbang KK amat sibuk sekali terutama di waktu kemuncak begini. Semua tempat duduk dipenuhi dengan penumpang-penumpang. Ada juga yang menunggu dan juga sekadar menghantar untuk mengucapkan selamat jalan. Jam menunjukkan pukul 1 tengahari. Setiap detik dia asyik memerhatikan jadual penerbangan tiba. Kelibat yang ditunggu-tunggu tidak juga muncul-muncul.
“Betul ke ummi ni? Flight dah tiba tapi bayangnya pun aku tak nampak,” rungutnya sambil matanya melilau memerhatikan orang ramai. Dia berkeliaran mencari Tengku Sofiya anak sahabat Datuk Mansur, Tengku Iskandar yang bermastautin di London. Lama juga dia mencari tiba-tiba matanya terpaku kepada wajah seseorang yang sedang berjalan membawa bagasinya. Bahunya pula dipenuhi dengan beg-beg kecil. Dia sedang mencari trolley untuk meletakkan barang-barang. Lalu dia menghampiri wanita yang bertudung ala Hana Tajima dan berbaju jubah maroon bersulam manik. Kelihatan ayu dan sopan. “Nurul Balqish…” dia memanggil nama itu setelah sekian lama tidak bersua. 
 Wanita itu menoleh. Suara itu. Mungkinkah… Benar sangkaannya tepat sekali. Dia benar-benar tidak percaya. Terasa jantungnya seolah-olah terhenti seketika. Masing-masing kelu untuk berkata. Mati akal untuk berbicara. Mata mereka bertentangan antara satu sama lain. Terselit sinar rindu yang terlalu lama terpendam. Terbayang-bayang kisah kasih yang masih lagi terbuku di dada. Terpahat rasa sayang yang mendalam walaupun terpisah lama.
Love is in the air...
“Apa khabar, Qish?” sapanya agak gugup. Nurul Balqish merenung ke matanya tanpa berkedip. Dia tidak percaya dan tidak mahu percaya orang yang berada di depan matanya. Dahinya berkerut seribu.
“Maafkan saya. Mungkin awak salah orang,”ujarnya lembut sambil tergesa-gesa menarik bagasinya dan berpaling melarikan lirikan matanya ke arah lain.
Amirul Shafiq terkejut dengan tindakannya lantas dia bertindak mencapai tangannya. Cengkaman tangan lelaki tidak sama dengan tangan perempuan. Kuat dan mencengkam. Wajahnya berkerut menahan kesakitan. Dengan tidak semena-mena Amirul Shafiq melepaskan pegangannya. Lengan tangannya diselak. Memang terdapat kesan lebam sedikit.
“Awak, saya benar-benar minta maaf. Bukannya kuat pun saya pegang tadi? Tapi macam mana boleh lebam sampai begini,” risau melihat tangannya menjadi merah sebesar tapak tangannya. Kelam-kabut dibuatnya. Tidak tahu hendak buat apa.
“Awak ni saja jer kan nak pegang saya? Sakitlah!!! Nanti saya menjerit baru awak tahu?” jelingnya sambil merengus menahan sakit. Dia terduduk dikerusi bersebelahan sambil menekap lebamnya dengan tapak tangan. Adushh… esok ada temujanji dengan client. Tangan pula dah lebam. Eiii… bagi penampar sebiji baru puas hati aku, rungutnya di dalam hati. Kulitnya begitu sensitif. Kadang-kala tidak terlanggar apa-apa pun boleh lebam.
“Sorry… sorry… ampun tak buat lagi,” secara spontan Amirul Shafiq memegang telinganya tanda bersalah sambil mencangkung. Matanya terkebil-kebil memandang wajah ayu itu. Gelagat yang sering dilakukan semasa dikampus sekiranya dia berbuat salah pada Nurul Balqish.  Sketsa yang dibuatnya sedikitpun tidak menyebabkan wanita itu ketawa. Malu pula rasanya. Mungkin betul dia bukan Nurul Balqish ataupun dia berpura-pura tidak mengenali dirinya. Tapi kenapa?
What are you doing, Amir?” Dia bingkas bangun dan memandang orang yang sepatutnya dia jumpa.
I’m searching for you everywhere. Where have you been? And who is she?” ujar Tengku Sofiya bengang sebab terpaksa menunggu lama di situ. Wajahnya merenung tajam pada Amirul Shafiq. Dia berdiri sambil tersipu-sipu dengan kelakuannya.
“Dia teman kampus I dulu di UiTM. Dah empat tahun tak jumpa.”jelasnya tersengih-sengih sambil menjeling pada Nurul Balqish. Nurul Balqish bingkas bangun daripada tempat duduknya dan bergegas pergi.
“Balqish... tunggu. Jangan pergi dulu. Sorry, Sofiya. Just a moment. Kejap lagi I datang balik, okey,” pintanya pada Tengku Sofiya. Bertambah bengang Tengku Sofiya terpaksa menunggu lagi. Amirul Shafiq berlari meninggalkan Tengku Sofiya. Alamak.. mana pula perginya? Cepat betul dia berjalan. Ramai orang pula tu. Hmm… tak mengapa. Kita jumpa esok. Pujuknya dengan penuh yakin. Dia tersengih sambil berjalan mendapat Tengku Sofiya. Tak sabarnya menanti hari esok.
Let’s go, babe. Ummi miss u so much. Tak sabar nak jumpa you,” dia menghulurkan tangan sambil mencapai bagasi Tengku Sofiya. Beratnya bag. Entah apalah isinya. 
###############################

Masih terlalu awal lagi untuk pulang ke hotel. Dia mula berkemas setelah selesai pembentangan. Dia sempat melayari laman muka sosialnya sambil tersenyum-senyum sipu membalas pesanan dan komen-komen temannya. Good luck and all the best. We miss you here. Balik jangan lupa beli ole-ole untuk kami di sini, pesan teman sejawatnya.
Tidak lama selepas itu Amirul Shafiq muncul disebalik pintu. Lama dia memerhatikan wajah bujur sirih itu disebalik bilik kaca bersebelahan dewan itu. Dia sungguh kagum melihat gaya persembahan pembentangannya tadi. Begitu meyakinkan. Tidak banyak berita yang dia tahu mengenai wanita ini sejak dia melanjutkan pelajaran ke Jerman. Hubungannya terputus terus. Tiada khabar berita. Telefon telah ditamatkan perkhidmatannya. Email mahupun surat-suratnya tidak berbalas. Dia memerlukan jawaban dan hari ini dia akan pasti mendapatkannya. Nurul Balqish masih lagi tidak perasan akan kehadiran Amirul Shafiq kerana terlalu kusyuk menaip laporan untuk diberikan kepada Datuk Mansur.
I just want to say...
“Assalamualaikum, Nurul Balqish,” ujarnya setelah lama menunggu. Dia menoleh dan amat terkejut sekali. Matanya bulat tidak berkedip. Badannya terasa lemah dan longlai. Ya, Allah. Kenapa aku diketemukan dengan dia sekali lagi? Aku tidak sanggup, Ya Allah. Aku tidak mampu. Akhirnya alam menjadi gelap-gelita. Amirul Shafiq sempat menyambutnya daripada jatuh tersembam ke lantai. Lalu menjerit-jerit meminta bantuan.
Nurul Balqish membuka matanya dengan perlahan-lahan. Kepalanya terasa melayang-layang. Tangannya memicit dahi. Kenapa dengan aku ni? Di mana aku? Tadi aku di dewan dan pengsan. Adakah aku bermimpi? Dia melihat sekeliling. Kelihatannya dia berada di sebuah bilik rehat yang lengkap dengan pelbagai kemudahan. Jam dinding berbunyi 3 kali menandakan pukul 3 petang. Pintu terkuak luas. Datuk Mansur dan Amirul Shafiq masuk ke kamar.
“Maafkan kami Cik Nurul. Cik Nurul pengsan tadi di dewan. Jadi kami bawa ke bilik rehat. Tadi Doktor ada datang untuk memeriksa keadaan Cik Nurul. Katanya tiada apa-apa yang perlu dirisaukan dan Cik Nurul perlu banyak berehat. Saya mohon maaf bagi pihak anak saya Amirul Shafiq kerana dia yang menyebabkan Cik Nurul pengsan tadi. Mungkin Cik Nurul terperanjat dengan kehadirannya,” ulas Datuk Mansur panjang lebar sambil menjeling ke arah Amirul Shafiq. Amirul Shafiq tersentak bila namanya disebut. Nurul Balqish mengukir senyuman hambar.
“Terima kasih, Datuk. Salah saya agaknya. Terlalu kusyuk membuat kerja sehinggakan orang masuk pun saya tak perasan. Lagipun saya kurang berehat sejak sampai ke KK. Kalau begitu, izinkan saya balik ke hotel penginapan saya. Saya rasa saya dah beransur pulih,” ujarnya tersipu-sipu.
“Kalau Cik Nurul rasa dah sihat bolehlah saya suruh driver hantar pulang ke hotel. Dan jangan lupa untuk hadir makan malam di hotel bersebelahan sahaja dengan hotel penginapan Cik Nurul. Saya akan suruh pembantu saya, Cik Nadia datang menjemput,”jemput Datok Mansur.
“Tak mengapa, ayah. Biar saya yang hantar Cik Nurul ke hotel penginapannya. Lagipun saya yang menyebabkan Cik Nurul pengsan tadi. Jadi biarlah saya yang hantar. Boleh Cik Nurul??!!!” Amirul Shafiq mencelah. Nurul Balqish tidak dapat terkata apa-apa. Dia berasa sedikit gelisah. Hati tidak keruan.
“Err… terima kasih, Datuk. InsyaAllah saya akan cuba menghadirkan diri. Itupun kalau saya sihat tapi saya tak janji yer Datuk,” sahut Nurul Balqish sambil tersenyum manis. Dia bangun dan cuba berdiri. Pening lalatnya sudah pun hilang. Dia melangkah berjalan ke pintu. Pulang ke hotel dengan ditemani oleh Amirul Shafiq. Biarkanlah. Aku tidak mampu untuk mengelak lagi. Macam mana aku boleh tak perasan yang dia adalah anak Datuk Mansur. Selama ini pun dia tidak memberitahu latar belakang keluarganya secara terperinci. Hish… menyesal aku terima tawaran Encik Irfan ni. Kalau aku tahu jadi begini aku tidak akan datang ke sini. Fikirannya berputar ligat.
Amirul Shafiq memandu laju menuju ke destinasi. Terkadang dia memperlahankan keretanya dan akhirnya berhenti di persisiran pantai. Nurul Balqish tetap ditempatnya membatukan diri dan membisu seribu bahasa. Fikirannya menerawang entah ke mana. Amirul Shafiq menyentuh jari kanannya dengan perlahan. Sepantas kilat dia menarik tangannya dan tersentak daripada lamunan. Nurul Balqish merenungnya dengan tajam kemudian berpaling melihat laut yang luas terbentang. Dia tidak mampu bertentang mata. Mata itu menuntut penjelasan yang selama ini sukar untuk diungkapkan.
“Kenapa perlu berpura-pura tidak kenal masa di airport tempoh hari? Walaupun kita terputus hubungan bertahun-tahun lamanya tapi wajah itu masih sama. Lembut dan ayu,” luahnya memecahkan kebuntuan. Deruan ombak semakin menghangatkan suasana. Badai menghempas pantai. Ganas dan bergelora seperti gelora di hatinya.

"Tolonglah jangan berdiam diri. Fiq rimas dan penat. Tahu tak hampir setahun Fiq mencari. Macam orang gila tahu tak? Tanya sana. Tanya sini. Handphone pula telah ditamatkan perkhidmatannya. Rumah pula dah bertukar owner. Cari kat tempat kerja pula. Dah berhenti. Apa salah Fiq, Balqish?" bentak Amirul Shafiq.
masih berharap...
“Fiq masih sayangkan hubungan ini. Hati dan perasaan Fiq masih seperti dulu. Tidak berubah. Fiq tidak pernah menoktahkan perhubungan kita. Kenapa Qish sengaja menjauhkan diri? Adakah sebab penyakit yang Qish alami menyebabkan Qish melarikan diri daripada semua orang termasuk Fiq? Fiq minta maaf sebab Fiq tidak berada di sisi ketika Qish memerlukan. Tapi tolonglah jangan buang Fiq dalam hidup Qish. Itu saja yang Fiq mohon,” rayunya dengan penuh harapan. Nurul Balqish menghela nafas yang panjang.
“Dah habis cakap. Sekali lagi Qish ingin beritahu kita telah ditakdirkan untuk bertemu, berkasih dan berpisah. Tuhan telah menentukan segala-galanya, Fiq. Anggaplah impian dan harapan kita suatu ketika dulu sebagai kenangan yang terindah. Cinta itu bukan milik kita, Fiq. Ia milik Allah. Andai Tuhan tidak merestui pasti kita tidak akan bersatu. Qish tidak mahu menyusahkan sesiapa. Fiq lihat sendirikan, Qish hampir pulih sepenuhnya. Boleh berdikari. Tentu ramai pilihan lain di luar sana. Maka tak perlulah mengharapkan kasih yang lalu. Biarkanlah ia berlalu,” tegas Nurul Balqish. Ternoktah lagi impian.
&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

Malam yang penuh gilang-gemilang disambut hanya setahun sekali. Kakitangan Syarikat Mansyur Co. berkumpul beramai-ramai dalam jamuan makan malam tahunan. Nurul Balqish juga tidak ketinggalan dalam keterpaksaan dia menghadirkan diri bagi mewakili syarikatnya. Perpakaian simple mengenakan jubah chiffon berwarna pink berbunga kuning paras lutut dan mengenakan seluar panjang. Tudung satin emas ala Hana Tajima terikat kemas di kepala. Sopan dan anggun. Amirul Shafiq menghampirinya dan menjemput ke ruang meja tetamu.
“Awak sungguh ayu malam ini.” Pujinya sambil tersenyum simpul. Nurul Balqish mengukir senyuman sambil menuju ke arah meja makan. Para tetamu telah ramai yang hadir termasuk Datuk Mansur.
“Ummi, kenalkan Nurul Balqish yang pernah Amir ceritakan dulu.” Nurul Balqish menyambut salaman Datin Zainab. Ada rasa gementar di hatinya apabila Datin Zainab memandangnya dengan penuh rasa sayang.
Yang indah itu milik Tuhan...
“Amir banyak bercerita tentang Nurul Balqish pada ummi. Cantik orangnya secantik namanya.” Datin Zainab memujinya. Nurul Balqish tersenyum sambil mengucapkan terima kasih. Dia tersipu-sipu apabila Datin Zainab mempelawanya duduk bersebelahan dengannya. Amirul Shafiq sempat menjeling padanya. Alangkah bahagianya. Sekonyong-konyong Tengku Sofiya muncul entah dari mana dan terus duduk bersebelahan Amirul Shafiq. Nurul Balqish hanya memerhati gelagatnya.
Hi, how are you? Nice to meet you. I’m Tengku Sofiya. Amir’s special girlfriend. Today we have surprise announcement. Right, Ummi?” Tengku Sofiya berseloroh sambil memandang Datin Zainab. Datin Zainab mengiyakan sahaja. Amirul Shafiq terpinga-pinga. 
Masing-masing menjamu selera sambil diselangi alunan muzik yang romantik. Terkadang kedengaran bunyi halus sudu dan garfu berlaga dengan pinggan makan. Kedengaran suara hilai tawa mungkin ada cerita-cerita lucu yang mereka bicarakan.
      Sejak tadi Nurul Balqish hanya mendiamkan diri. Makanannya disuap dengan hati-hati. Dia mengambil makanan yang paling dekat di hadapannya. Amirul Shafiq cuba merapatkan kerusinya dengan Nurul Balqish. Nurul Balqish yang berada disebelah kanannya hanya memandang sepi tingkahlakunya. Datuk Mansur kelihatan rancak berbual-bual dengan Tengku Iskandar. Sesekali Datin Zainab turut menyampuk perbualan mereka. 
       Nurul Balqish meletakkkan tuala tangan dipehanya. Lalu dia mencapai air oren yang berada disebelah kanannya dan meneguk perlahan. Amirul Shafiq mencuri peluang untuk memegang tangan kiri Nurul Balqish tetapi matanya memandang Tengku Sofiya yang berada disebelah kirinya. Nurul Balqish tersentak dengan perbuatannya dan cuba melepaskan genggaman itu. Semakin dia mencuba untuk melepaskan, semakin kuat genggaman tangan Amirul Shafiq. Geramnya. Kalau tak kerana Datuk dan Datin mahu saja aku jerit sekuat hati, jerit hatinya. Datin Zainab perasan kegelisahan diwajah Nurul Balqish. Matanya terpandang genggaman erat tangan Amirul Shafiq yang sedang berbual-bual dengan Tengku Sofiya. Datin Zainab tersenyum. Dia menyambung semula perbualannya dengan Tengku Iskandar. Tiba-tiba Amirul Shafiq menjerit spontan. "Adoi!!!!" Dia memandang Nurul Balqish. "Sakitlah.." rengusnya sambil mengusap tangannya.
           "What's wrong, Amir?" tanya Tengku Sofiya.
      "Nothing, Sofiya. Tangan I tercucuk garfu..." jawabnya sambil melepas genggaman tangan kanannya. Terdapat empat bintik halus di bahagian atas tangannya. Nurul Balqish menjeling sambil menyembunyikan garfu yang digunakan untuk mencucuk tangan Amir Shafiq. Padan muka, senyumnya didalam hati. Dia mengerut dahinya sambil merenung Nurul Balqish mohon simpati. Nurul Balqish buat tidak kisah sahaja. Dia memerhati ke pentas. Datuk Mansur ingin menyampaikan satu pengumuman. Pengumuman tergempar.
“Minta perhatian semua. Saya ingin membuat satu pengumuman tergempar. Kami sepakat ingin mengeratkan perhubungan antara keluarga Mansur dan Tengku Iskandar. Dengan ini kami berbesar hati mengumumkan bahawa pertunangan di antara Amirul Shafiq dengan Tengku Sofiya dalam masa terdekat. Kami berharap semua pihak dapat mendoakan kebahagiaan mereka berdua. Sekian. Terima kasih.”
Luruh jantung Amirul Shafiq apabila mendengar pengumuman itu. Mulutnya ternganga tidak dapat berkata apa-apa. Matanya terpaku pada Nurul Balqish. Dia ingin menyatakan yang dia tidak tahu apa-apa tentang pertunangan ini.
Nurul Balqish juga termangu dengan pengumuman itu. Dia kelihatan sugul dan sebak. Kenapa hatiku teramat sedih? Sepatutnya aku gembira. Gembira demi kebaikannya. Ternyata aku bukan untukmu. Jangan kau salahkan takdir seandainya jodoh itu tiada. Aku sentiasa mendoakan kebahagiaanmu. Teringat bibit-bibit lirik lagu Rossa - Aku bukan Untukmu. Ternyata gugur juga air matanya ke pipi. Dia meminta izin Datin Zainab untuk pulang ke hotel penginapannya. Datin Zainab melihat kelopak matanya yang merah. Nurul Balqish melangkah segera beredar dari situ sebelum air matanya mengalir lebih deras lagi. Amirul Shafiq berlari mendapatkannya. Dia mencapai tangan Nurul Balqish.
"I'm sorry, Qish. Fiq tak tahu apa-apa tentang pertunangan ini. Fiq dengan Sofiya tidak ada apa-apa. Percayalah. I love you, Qish and I need you," rintih Amirul Shafiq. Nurul Balqish mengusap air mata di pipinya. Lantas merenung jauh ke dalam matanya. 
      "Anggaplah ini sebagai takdir. Qish sentiasa mendoakan yang terbaik. Sesungguhnya aku bukan untukmu, Amirul Shafiq." Nurul Balqish berlalu pergi meninggalkannya. Dari jauh Tengku Sofiya memerhatikan pasangan dua sejoli itu. Dia telah dengar segala-galanya. Kini dia tahu Amirul Shafiq tidak pernah mencintainya.
Tabahkan hatiku Ya Allah...

Aku Bukan Untukmu - Rossa 

Dahulu kau mencintaiku
Dahulu kau menginginkanku
Meskipun tak pernah ada celaku
Tak berniat kau meninggalkan aku

sekarang kau pergi menjauh
sekarang kau tinggalkan aku
di saat ku mulai mengharapkanmu
dan ku mohon maafkan aku

Reff: aku menyesal tlah membuatmu menangis
dan biarkan memilih yang lain
tapi jangan pernah kau dustai takdirmu
pasti itu terbaik untukmu

janganlah lagi kau mengingatku kembali
aku bukanlah untukmu
meski ku memohon dan meminta hatimu
jangan pernah tinggalkan dirinya
untuk diriku

bersambung lagi.....

Khamis, 19 April 2012

Part 2: Cinta Tak Harus Memiliki

Ku lepaskan ia pergi...
            Suasana dewan tiba-tiba menjadi kelam-kabut. Kakitangan yang terlibat dengan agenda syarikat dikehendaki segera ke bilik gerakan. Masing-masing bergegas ke sana kecuali dia. Ruang meja dipenuhi dengan kertas-kertas kerja yang perlu disiapkan untuk pembentangan lusa. Rambutnya selalu tersisir rapi dan pakaiannya sentiasa kemas tetapi tidak untuk hari ini. Penampilannya selekeh dan rambutnya kusut masai. Mana tidaknya semalaman dia berada di pejabat untuk menyiapkan kertas kerja projeknya.  
Dia seorang plan-maker  yang paling sibuk di syarikat gergasi milik ayahnya. Dia memiliki karisma dan gaya tokoh korporat yang berjaya yang bakal menggantikan empayar Datuk Mansur.  Dia seorang yang kuat bekerja sehingga sanggup mengenepikan kepentingan dirinya sendiri. Tiada masa untuk berhibur seperti kawan-kawannya yang lain sanggup pergi bercuti ke Hawaii, Maldives atau Paris semata-mata untuk berhibur bersama gadis-gadis yang cantik jelita, berseronok membeli-belah menghabiskan duit dan juga ber’clubbing’ sambil meneguk air haram itu. Lumrah kehidupan anak-anak orang kaya zaman sekarang. Dia lain daripada anak orang kaya yang lain. Jarang meninggi diri, selalu hormat orang tua, tidak kedekut ilmu dan sering meminta pandangan orang bawahan walaupun kekadang dirasakan tidak perlu.
Setiap kepingan portfolio yang berada di atas mejanya diselak satu demi satu. Ada satu yang hilang. Hish… ke mana pulak perginya. Rungut hatinya.
“Mana portfolio ni??!! Pagi tadi aku letak di sini. Siapa pula yang ambil?” bentaknya sambil menekan butang telefon. “Sarah, you ada ambil portfolio syarikat daripada KL tu? Puas saya cari tapi tak ada atas meja saya ni.” Rungutnya sambil menyelak setiap helaian kertas.
“Ohh… portfolio tu Datok Mansur ambil ketika Encik Amir pergi ke bilik air tadi. Saya lupa beritahu. Maafkan saya.” Ujar Sarah, setiausahanya yang baru berkhidmat tidak sampai dua bulan.
“Hmm… kalau begitu berikan saya butir-butir peribadi penceramahnya sekarang,” tegasnya lalu meletakkkan gelanggang telefon.
Tidak lama kemudian, Sarah mengetuk pintu biliknya dan masuk ke dalam sambil meletakkan fail itu di atas mejanya. Matanya yang bundar dan bibirnya yang mongel menguntum senyuman padanya. Dia hanya memandang sepi.
“Terima kasih. Awak boleh keluar,” nadanya spontan sambil membelek-belek profile yang yang diminta. Matanya terus tertumpu pada sekeping gambar. Dia mengerut dahi. Macam aku kenal saja wajah ini, fikirnya. Lantas dia membaca butiran peribadinya. Dengan tidak semena-mena jantungnya berdegup kencang. Berulang kali dia membaca nama yang tertera. Tidak salah lagi. Masih single lagi. Dia tersenyum riang. Masih teringat kisah empat tahun yang lalu.
Masih mencari apa itu cinta....
“Ummi bukan tak bagi Uda bertunang. Masalahnya Uda akan sambung belajar di Jerman selama tiga tahun. Tak elok bertunang lama-lama. Kalau mahu nikah terus dan bawa isteri sekali sambung belajar. Tapi ummi tak mahulah terburu-buru macam ni. Lagi dua minggu Uda nak berangkat ke sana. Mana sempat ummi dan abi nak aturkan segala-galanya. Lagipun  kamu anak lelaki ummi seorang. Mestilah ummi mahu yang terbaik untuk anak Ummi. Nanti apa pula kata jiran tetangga dan kawan-kawan abi.” Leter ummi berjela-jela sehingga dia tidak mampu berkata apa-apa. Wajahnya tampak suram. Ada betulnya juga kata-kata ummi tu, bisik hatinya. Dia mengeluh panjang. Serabut kepala otaknya. Tiba-tiba handphonenya berbunyi. Dahinya berkerut.
“Uda nak pergi hospital, Ummi. Kawan Uda masuk ICU. Pergi dulu yer,” dia terus bergegas berlari ke kereta. Laju meluncur keluar. Belum sempat Umminya bertanyakan siapa kawannya itu. Risau betul dengan perangai anak bujangnya. Sejak kebelakangan ini banyak sangat karenah yang tidak masuk akal yang diminta padanya.
Dia berlarian anak mendapat Makcik Murni yang berada tidak jauh daripada bilik ICU Nefrologi. Makcik Murni kelihatan sugul. Air matanya sudah kering. Tiada apa lagi yang diharapkan kecuali kesihatan anaknya dapat dipulihkan.
“Bagaimana keadaannya, makcik?!!” dia bertanya perlahan. Makcik Murni hanya menggelengkan kepala dan membisu seribu bahasa. Kasihan dia melihat wajah ibu tua itu. Dia bergerak sambil berdiri disebalik cermin kaca dengan harapan wajah kesayangannya itu dapat melihat dirinya. Sekelumit rasa kesal dalam dirinya. Dialah penyebabnya. Maafkan aku. Aku tidak sepatutnya meninggalkan kau seorangan. Bisik hati kecilnya.
 “Makcik risau Nurul tak balik-balik sampai sekarang. Selalunya dia dah sampai ke rumah. Ada dia jumpa kamu?” Ujar Makcik Murni dengan nada risau.
“Err.. saya ada jumpa dia petang tadi, makcik. Makcik jangan risau. Nanti saya cuba cari dia,” balasnya sambil memutuskan talian telefon.
Dia bergegas ke sana mencari kalau-kalau masih di situ. Sesekali dia cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi tiada jawapan. Mendung semakin rapat. Hujan akan turun bila-bila masa. Suasana kelam menyukarkan pencariannya. Dia melalui tempat pertemuan tadi. Firasatnya benar belaka. Ternyata sekujur tubuh terbujur kaku di atas tanah. Tidak bermaya tapi masih bernafas. Wajahnya kelihatan pucat. Dia berlari mendapatkannya. Hatinya tidak keruan. Risau kalau terjadi apa-apa yang tidak diingini.
“Ya, Allah. Kenapa boleh jadi begini?? Maafkan aku, sayang. Aku tidak bermaksud tinggalkan dirimu sendirian. Bangun sayang… bangunlah…,”jeritnya sekuat hati. Hujan mulai turun dengan lebatnya bersama deraian air mata.
Disebalik dinding kaca itu kelihatan doktor dan jururawat sedang berusaha merawatnya. Wayar-wayar berseliratan di badannya. Keadaannya sungguh membimbangkan. Tidak lama selepas melakukan pemeriksaan, Dr. Halim keluar mendapatkan Makcik Murni.
“Makcik kena banyakkan bersabar dan berdoa pada Ilahi agar anak makcik cepat sembuh. Daripada pemerhatian saya, dia masih memerlukan rawatan rapi memandangkan ginjalnya mengalami keradangan yang serius. Kami harus melakukan beberapa pemeriksaan terhadap ginjalnya dan organ-organ yang lain. Buat masa ini keadaannya kurang stabil dan sesiapa saja boleh masuk melawat tapi cuma seorang saja dibenarkan masuk. Saya minta diri dulu,” jelas Dr Halim panjang lebar. Dia dan Makcik Murni hanya menganggukkan kepala. Makcik Murni menyuruhnya masuk memandangkan dia masih belum berkesempatan melihat keadaannya sejak dimasukkan ke hospital.
Langkahnya terhenti apabila melihat wajah kesayangannya masih melelapkan mata. Kelihatan lemah. Tidak bermaya. Bibirnya kekeringan. Wajahnya pucat. Sudah berbotol-botol air dimasukkan dalam badannya. Mulutnya tersumbat dengan alat bantuan pernafasan. Apa sebenarnya yang kau sembunyikan daripada aku sehingga aku tidak perasan yang kau sakit, rintih hatinya. Dia merenung sayu wajah itu. Fikirannya semakin tidak menentu. Banyak perkara yang difikirkan sejak akhir-akhir ini. Makin bertimpa-timpa pula masalah yang datang.
Kedatangannya ke rumah Makcik Murni disambut riang. Makcik Murni memang peramah orangnya lantas menjemputnya masuk ke rumah. Matanya tercari-cari wajah yang sudah lama tidak ditemui sejak dua minggu yang lalu. Makcik Murni ke kamar belakang tidak jauh daripada ruang tamu.
“Jumpalah dia walaupun sekejap. Dia teringin benar melihat keadaan Nurul. Sejak keluar dari hospital kamu asyik berkurung saja dalam bilik. Ibu risau sangat,” keluh Makcik Murni.
Ibu tua itu menghampirinya lantas mengusap lembut rambutnya. Rambut yang dulunya lebat kini menipis hampir menampakkan kulit kepalanya. Nurul membisu. Sorotan matanya yang layu enggan membenarkan sesiapa melawatnya. Dia menggelengkan kepala. Wajahnya sudah membulat bak bulan mengambang penuh. Kakinya tidak mampu berdiri seperti dulu lagi. Terlalu lemah untuk melangkah dan membengkak. Bisanya terasa seperti dicucuk-cucuk sembilu. Dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Nurul tidak mahu kelihatan hodoh dimatanya. Dia malu.
Kedengaran pintu biliknya diketuk bertalu-talu dan daun pintu terkuak perlahan. Nurul terkejut sambil mengambil selendang menutup wajahnya. Makcik Murni menoleh sambil tersenyum lebar.
“Masuklah. Kamu berbual-buallah dulu. Makcik nak ke dapur sekejap,” pelawa Makcik Murni sambil berlalu ke dapur.
Masing-masing sepi tanpa bicara. Masih terkunci lidah untuk meluahkan kata-kata. Walhal mereka adalah pasangan yang paling bahagia sebelum ini. Seperti belangkas. Satu kampus tahu keakraban mereka sejak menjadi juara pidato antara universiti. Nurul sesekali mencuri pandang. Riak wajahnya membayangkan dirinya dalam keadaan serba salah. Matanya melilau memandang ke sana-sini. Ada sesuatu yang ingin diluahkan. Dia seolah-olah kehilangan kata-kata.
“Semoga berjaya dan kembali sebagai seorang jurutera terkemuka di tanah air,” bicara Nurul memecahkan kebuntuan. Pandangannya terkaku disebalik selendang yang menutupi kepalanya. Dia hanya memendam kedukaan sejak jatuh sakit. Semangatnya semakin pudar.
 “Rasanya anggaplah ini pertemuan terakhir kita. Keadaan ini tidak memungkinkan kita untuk meneruskan perhubungan lagi. Biarlah kita mengikut haluan masing-masing. Cinta itu boleh datang dan pergi. Cinta juga tidak semesti kita memiliki.” Itu kata-kata terakhirnya. Hati mana yang tidak sakit bila cinta tidak seharusnya memiliki seperti lagu Anuar Zain.

 Cinta Harus Memiliki - Anuar Zain
Sejauh ku berlari
Meninggalkan dirimu
Masih bayangmu yang menawan

Sekuat ku mencoba
Melupakanmu kasih
Lalu Mengapa ku tak sanggup

Pre Chorus:
Adakah waktu tak berpihak
Atau memang sudah jalannya
Untuk kita terpisah
Selamanya

Chorus:
Ku tak percaya kita
Cinta tak harus memiliki
Lalu mengapa?
Hati terasa sakit

Sekeras ku berfikir
Mencari alasannya
Semakin jauh ku terluka

Adakah waktu tak berpihak
Atau memang sudah jalannya
Untuk kita terpisah
Oh…
bersambung.....

Selasa, 17 April 2012

Part 1: Biarkan Aku Menangis



Kepulan awan kelihatan memutih di luar sana. Bak ketulan kapas-kapas yang berterbangan di udara. Sesekali terasa gegaran kecil. Aku sedikit kalut. Maklumlah aku baru pertama kali menaiki kapal terbang. Telingaku sejak tadi asyik berdengung. Baru teringat dalam poket seluarku ada gula-gula getah. Pesan Amy bila berada di atas pesawat kena kunyah gula-gula getah untuk mengurangkan dengung. “Kenapa aku yang kena pergi, Amy? Aku tak tahu. Kau ada pengalaman dan lebih pakar daripada aku. Kenapa Encik Irfan suruh aku yang present?” Rungutku. Amy tersenyum.
“Ini peluang kau, Qish. Encik Irfan beri kepercayaan pada kau kali ini. Engkau kena buktikan yang kau boleh buat. Aku tak boleh ikut sebab aku dah diberi tugasan lain. Jadi ini adalah peluang keemasan. Jangan sia-siakan.” Kata-kata yang penuh dengan semangat. Aku mahu buktikan pada mereka.
Aku memandang ke luar tingkap pesawat. Aku berada di atas langit. Di bawah sana kelihatan hutan rimba yang menghijau, aliran sungai yang sungguh halus berlenggang-lenggok menyusuri lembah, lurah dan akhirnya mudik ke kuala. Kuamati lagi rumah-rumah seolah-olah seperti kotak-kotak kecil, berserakan dan berderet-deret.  Pesawat mulai menyusuri pantai menghala ke lautan yang luas terbentang. Tiada daratan. Hanya air laut yang membiru. Betapa agungNya keindahan ciptaan Tuhan.
Fikiranku menerawang lagi mengingati wajah-wajah mereka yang aku sayangi. Wajah tua ibu yang sering memberi aku semangat untuk terus berjuang dalam hidup. Telapak tangannya yang kasar menunjukkan usaha kerasnya menyara anak-anak yang sedang membesar. Sejak pemergian arwah ayah, ibu tidak pernah berputus asa dan  hidupnya dipenuhi dengan kesabaran dan kasihnya tertumpah untuk anak-anaknya.            
Aku masih ingat pesan ayah supaya redha dan sentiasa berbaik sangka dengan dugaan Tuhan. Tuhan tidak akan menduga melebihi daripada tahap kemampuan hambaNya. Ayah seorang yang optimis dan sentiasa yakin pada setiap dugaan yang berlaku utu ada hikmah disebaliknya.
“Ayah tinggalkan kamu satu perkara iaitu ilmu pengetahuan dunia dan juga akhirat. Amalkan dan sebarkan pada anak-anak kamu dan juga masyarakat. Ayah tidak mampu memberikan kekayaan yang melimpah-ruah untuk anak-anak ayah. Cuma ayah mohon doa daripada kalian untuk bekalan ayah di sana kelak,” terngiang-ngiang dibenakku, perlahan sahaja suara ayah. Dahinya berkerut-kerut menahan kesakitan. Sel-sel barah semakin ganas menjalar ke dalam ususnya. Aku dapat rasakan keperitan yang ayah tanggung. Mulut tidak henti-henti berzikir. Katanya sakit itu penghapus dosa. Dosa-dosa kecil akan gugur jika kita sabar dan ikhlas. Aku rindukan ayah. Terasa hangat dimataku. Air mataku tergenang dikelopak. Cepat-cepat aku sapu. Aku tidak mahu bersedih lagi.
Kini aku bangkit. Aku tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Aku redha dan pasrah kerana aku percaya hanya insan tertentu sahaja dipilih untuk diuji sebegini. Disekelilingku ada mereka yang menjadi tunjang kekuatan dan semangatku.  Setelah bertahun-tahun aku dilanda tsunami kehidupan dan aku hampir-hampir rebah. Hidupku menjadi gelap dan hidupku menjadi haru biru. Bertambah haru dengan keputusan yang aku sendiri tidak pasti betul ataupun tidak. 
Aku tahu aku telah menyakiti hatinya dengan keputusan ini. Tapi aku terpaksa demi kebaikan dia. Aku tidak mahu menjadi beban padanya kelak. Tiba-tiba terpasang lagu Innuendo – Jangan diucap Selamat Tinggal. Amat sedih dan sayu. Melodi dan lirik lagu amat menyentuh kalbu. Aku rindu padanya. Sungguh aku tidak dapat melupakan dia. Kata-kata itu masih lagi segar diingatanku.
  “Kenapa Qish ambil keputusan terburu-buru? Fiq tak setuju!” bentaknya dengan nada kesal. Dia memandang sayu ke wajahku. Aku tidak mampu menentang sinaran matanya yang penuh dengan tanda tanya. Aku tidak mahu mengecewakan insan yang selama ini menjadi semangatku. Kekuatanku. Aku tidak sanggup membebankan dirinya dengan masalahku.
“Qish sudah buat keputusan dan ianya muktamad!” tegasku. Shafiq menggeleng-geleng kepala sambil menghela nafas yang panjang. Dia seolah-olah tidak mampu menyekat keputusanku. Renungannya umpama pungguk rindukan bulan. Rindu agar diakhiri kisah ini dengan sebuah ikatan dan bukannya perpisahan.
“Setelah sekian lama kita bercinta, baru sekarang Qish membuat keputusan. Apa maknanya semua ni? Fiq tak faham. Tolong jelaskan.. tolonglah,” jelasnya. Tangannya memegang erat jari-jemariku. Hatiku benar-benar sayu. Kurasakan kehangatan cintanya itu. Betapa luhur kasihnya padaku. Tanpa ku sedari air mataku membasahi pipi. Lidahku kelu untuk berkata-kata. Aku tidak mampu berkata-kata. Aku tidak mampu menentang matanya yang benar-benar mengharapkan suatu penjelasan.
“Qish tidak ada penjelasan untuk diberikan. Keputusan ini terlalu berat untuk Qish. Maafkan Qish… Maafkan Qish. Bukan niat Qish untuk melukakan hati Fiq. Tapi ini untuk kebaikan kita berdua. Tolong jangan minta penjelasan,” ujarku tersedu-sedu dalam tangisan. Shafiq terdiam sambil merenung ke awan yang kelam seolah-olah menahan sebak didadanya. Dia menghela nafas yang panjang. Tanganku dilepaskan dengan perlahan.
 “Hmm… Buatlah apa yang Qish suka. Jika itu keputusan yang terbaik. Fiq tiada hak untuk menghalang lagi. Selama ini Fiq setia dengan cinta kita, tidak pernah curang dan tidak pernah mengabaikan Qish. Qish tahu betapa dalamnya cinta Fiq,” keluhnya lagi sambil menahan sebak. Wajahnya penuh dengan kekecewaan. Titisan air mataku semakin deras. Dia sempat menyapu air mataku sebelum berlalu pergi. Aku ditinggalkan sendirian di situ. Langkahnya semakin jauh dan pudar dari penglihatan. Maafkan aku, Shafiq. Walaupun berat keputusan yang kubuat, tetapi aku yakin itu adalah yang terbaik.
Tiba-tiba kepalaku sakit yang teramat sangat. Pandanganku semakin kabur dan gelap-gelita. Ya, Allah berikan aku kekuatan. Aku tahu aku tidak boleh hidup tanpanya. Tapi aku terpaksa. 
bersambung.....

Jumaat, 13 April 2012

~Man Jadda Wa Jada~




Man Jadda Wa Jada bermaksud tiada siapa yang boleh mengubah diri kita kecuali diri kita sendiri. Ungkapan Man Jadda Wa Jada membuka suatu lembaran baru untuk hari ini, esok dan seterusnya.  Pembukaan yang bagus untuk memulakan cabaran baru dalam dunia siber.

Mengambil petikan Dr Fadzilah Kamsah, "prinsip hidup yg Allah gariskan: Man Jadda Wa Jada bermaksud Tiada siapa yg boleh ubah diri kita kecuali kita sendiri. So, jangan buat atau cari sebarang sebab atau alasan untuk tidak berubah ke arah yang lebih cemerlang, untuk tidak bahagia, berdendam, merajuk, bersangka buruk, masam muka, menyesali nasib, rasa tertipu, dan sebagainya. Ingatlah: Bila kita berubah dalaman & luaran, Allah akan ubah semua orang & semua makhluk di sekitar kita. Nasib & segala aspek diri kita juga akan berubah ke arah yg lebih positif. Moga Allah jadikan kita orang-orang yang di rahmati."

Bertitik tolak daripada rentetan ini, maka wujudnya blog yang tidak seberapa rupanya ini...