Selasa, 17 April 2012

Part 1: Biarkan Aku Menangis



Kepulan awan kelihatan memutih di luar sana. Bak ketulan kapas-kapas yang berterbangan di udara. Sesekali terasa gegaran kecil. Aku sedikit kalut. Maklumlah aku baru pertama kali menaiki kapal terbang. Telingaku sejak tadi asyik berdengung. Baru teringat dalam poket seluarku ada gula-gula getah. Pesan Amy bila berada di atas pesawat kena kunyah gula-gula getah untuk mengurangkan dengung. “Kenapa aku yang kena pergi, Amy? Aku tak tahu. Kau ada pengalaman dan lebih pakar daripada aku. Kenapa Encik Irfan suruh aku yang present?” Rungutku. Amy tersenyum.
“Ini peluang kau, Qish. Encik Irfan beri kepercayaan pada kau kali ini. Engkau kena buktikan yang kau boleh buat. Aku tak boleh ikut sebab aku dah diberi tugasan lain. Jadi ini adalah peluang keemasan. Jangan sia-siakan.” Kata-kata yang penuh dengan semangat. Aku mahu buktikan pada mereka.
Aku memandang ke luar tingkap pesawat. Aku berada di atas langit. Di bawah sana kelihatan hutan rimba yang menghijau, aliran sungai yang sungguh halus berlenggang-lenggok menyusuri lembah, lurah dan akhirnya mudik ke kuala. Kuamati lagi rumah-rumah seolah-olah seperti kotak-kotak kecil, berserakan dan berderet-deret.  Pesawat mulai menyusuri pantai menghala ke lautan yang luas terbentang. Tiada daratan. Hanya air laut yang membiru. Betapa agungNya keindahan ciptaan Tuhan.
Fikiranku menerawang lagi mengingati wajah-wajah mereka yang aku sayangi. Wajah tua ibu yang sering memberi aku semangat untuk terus berjuang dalam hidup. Telapak tangannya yang kasar menunjukkan usaha kerasnya menyara anak-anak yang sedang membesar. Sejak pemergian arwah ayah, ibu tidak pernah berputus asa dan  hidupnya dipenuhi dengan kesabaran dan kasihnya tertumpah untuk anak-anaknya.            
Aku masih ingat pesan ayah supaya redha dan sentiasa berbaik sangka dengan dugaan Tuhan. Tuhan tidak akan menduga melebihi daripada tahap kemampuan hambaNya. Ayah seorang yang optimis dan sentiasa yakin pada setiap dugaan yang berlaku utu ada hikmah disebaliknya.
“Ayah tinggalkan kamu satu perkara iaitu ilmu pengetahuan dunia dan juga akhirat. Amalkan dan sebarkan pada anak-anak kamu dan juga masyarakat. Ayah tidak mampu memberikan kekayaan yang melimpah-ruah untuk anak-anak ayah. Cuma ayah mohon doa daripada kalian untuk bekalan ayah di sana kelak,” terngiang-ngiang dibenakku, perlahan sahaja suara ayah. Dahinya berkerut-kerut menahan kesakitan. Sel-sel barah semakin ganas menjalar ke dalam ususnya. Aku dapat rasakan keperitan yang ayah tanggung. Mulut tidak henti-henti berzikir. Katanya sakit itu penghapus dosa. Dosa-dosa kecil akan gugur jika kita sabar dan ikhlas. Aku rindukan ayah. Terasa hangat dimataku. Air mataku tergenang dikelopak. Cepat-cepat aku sapu. Aku tidak mahu bersedih lagi.
Kini aku bangkit. Aku tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Aku redha dan pasrah kerana aku percaya hanya insan tertentu sahaja dipilih untuk diuji sebegini. Disekelilingku ada mereka yang menjadi tunjang kekuatan dan semangatku.  Setelah bertahun-tahun aku dilanda tsunami kehidupan dan aku hampir-hampir rebah. Hidupku menjadi gelap dan hidupku menjadi haru biru. Bertambah haru dengan keputusan yang aku sendiri tidak pasti betul ataupun tidak. 
Aku tahu aku telah menyakiti hatinya dengan keputusan ini. Tapi aku terpaksa demi kebaikan dia. Aku tidak mahu menjadi beban padanya kelak. Tiba-tiba terpasang lagu Innuendo – Jangan diucap Selamat Tinggal. Amat sedih dan sayu. Melodi dan lirik lagu amat menyentuh kalbu. Aku rindu padanya. Sungguh aku tidak dapat melupakan dia. Kata-kata itu masih lagi segar diingatanku.
  “Kenapa Qish ambil keputusan terburu-buru? Fiq tak setuju!” bentaknya dengan nada kesal. Dia memandang sayu ke wajahku. Aku tidak mampu menentang sinaran matanya yang penuh dengan tanda tanya. Aku tidak mahu mengecewakan insan yang selama ini menjadi semangatku. Kekuatanku. Aku tidak sanggup membebankan dirinya dengan masalahku.
“Qish sudah buat keputusan dan ianya muktamad!” tegasku. Shafiq menggeleng-geleng kepala sambil menghela nafas yang panjang. Dia seolah-olah tidak mampu menyekat keputusanku. Renungannya umpama pungguk rindukan bulan. Rindu agar diakhiri kisah ini dengan sebuah ikatan dan bukannya perpisahan.
“Setelah sekian lama kita bercinta, baru sekarang Qish membuat keputusan. Apa maknanya semua ni? Fiq tak faham. Tolong jelaskan.. tolonglah,” jelasnya. Tangannya memegang erat jari-jemariku. Hatiku benar-benar sayu. Kurasakan kehangatan cintanya itu. Betapa luhur kasihnya padaku. Tanpa ku sedari air mataku membasahi pipi. Lidahku kelu untuk berkata-kata. Aku tidak mampu berkata-kata. Aku tidak mampu menentang matanya yang benar-benar mengharapkan suatu penjelasan.
“Qish tidak ada penjelasan untuk diberikan. Keputusan ini terlalu berat untuk Qish. Maafkan Qish… Maafkan Qish. Bukan niat Qish untuk melukakan hati Fiq. Tapi ini untuk kebaikan kita berdua. Tolong jangan minta penjelasan,” ujarku tersedu-sedu dalam tangisan. Shafiq terdiam sambil merenung ke awan yang kelam seolah-olah menahan sebak didadanya. Dia menghela nafas yang panjang. Tanganku dilepaskan dengan perlahan.
 “Hmm… Buatlah apa yang Qish suka. Jika itu keputusan yang terbaik. Fiq tiada hak untuk menghalang lagi. Selama ini Fiq setia dengan cinta kita, tidak pernah curang dan tidak pernah mengabaikan Qish. Qish tahu betapa dalamnya cinta Fiq,” keluhnya lagi sambil menahan sebak. Wajahnya penuh dengan kekecewaan. Titisan air mataku semakin deras. Dia sempat menyapu air mataku sebelum berlalu pergi. Aku ditinggalkan sendirian di situ. Langkahnya semakin jauh dan pudar dari penglihatan. Maafkan aku, Shafiq. Walaupun berat keputusan yang kubuat, tetapi aku yakin itu adalah yang terbaik.
Tiba-tiba kepalaku sakit yang teramat sangat. Pandanganku semakin kabur dan gelap-gelita. Ya, Allah berikan aku kekuatan. Aku tahu aku tidak boleh hidup tanpanya. Tapi aku terpaksa. 
bersambung.....

3 ulasan:

MizzTina berkata...

syabas!!!! next part..

Dee Z berkata...

cayalah... tungguuuu....

MizzTina berkata...

hekhekhek..

kak, gunakan ms n kesempatan yg ada.. update je pape entry.. =)