Isnin, 17 Jun 2013

Part 22: Andai aku bermimpi....

       

      
Cuma mimpi...

   

Lenaku terganggu dengan panggilan suara yang garau dan lembut. Sayup-sayup kedengaran lagi namaku dipanggil berulang-kali. Mataku terbuka perlahan-lahan. Dahiku berkerut dan terpinga-pinga memikirkan di mana aku berada? Aku memandang sekeliling dan ternyata aku masih di dalam kereta yang tidak bergerak dan enjinnya pula telah dimatikan. Apa sebenarnya yang berlaku ni? Bukankah aku di dalam kamar dan berada dalam dakapannya? Oh, tidak!!! Mulutku hampir-hampir ternganga. Tiba-tiba aku terasa malu yang teramat sangat. Macam mana boleh jadi begini? Aku memejamkan mata sambil menekup wajahku dengan tapak tangan. Amirul Shafiq perasan dengan gelagatku lalu menyapaku lembut.
            “Kenapa Qish? Are you alright?” Dahinya berkerut.
Pelik dia melihat keadaanku yang tidak menentu. Aku termenung dan terasa pipiku menebal tiba-tiba. Merah dibuatnya. Teruk betul aku ni sampai termimpi-mimpi, bisik hatiku sambil membuka tali pinggang keledar. Dia masih merenungku lalu menyentuh lembut tanganku. Aku terkaku.
“Kenapa ni? Fiq tanya tak jawab,” soalnya lagi. Aku sekadar menggeleng-geleng kepala.
            “Qish mesti ingat janji Qish pada Fiq tadi? Fiq tak main-main tau. Fiq sungguh-sungguh,” tegasnya cuba mengingatkan aku. Keluhan kecil terbit daripada bibirku.
            “Tengoklah nanti,” balasku dengan selamba sambil memalingkan muka.
Aku menarik tanganku yang kehangatan dek bahang sentuhannya. Kata-katanya semakin menjerat hatiku yang kegelisahan. Bagaimana mungkin aku dapat lari lagi? Dia bengang dengan jawabanku lalu mengunci semula pintu keretanya. Aku meraba-raba di dalam kegelapan tercari-cari butang kunci pintu keretanya.
          


Bergenang...
“Bukalah pintu ni, Fiq!!!” bentakku sambil menjeling padanya. Dalam kesamaran aku terpandang wajahnya serius merenungku. Diam tidak berkata sepatah pun. Hatiku berdetik gelisah.
            “Fiq nak buat apa ni? Jangan cuba-cuba buat perkara bodoh. Cepat buka pintu ni!!!! Kalau tak Qish menjerit, ” rayuku.
Mataku hampir bergenang. Rasa takut tiba-tiba menyelubungi diriku kerana hanya aku dan dia sahaja di dalam kereta ketika ini dan kudratku tidak berdaya melawan kekuatannya. Aku mula berfikir yang bukan-bukan.
           “Qish fikir Fiq nak buat apa? Fiq masih waras lagilah!!,” serius nada suaranya. Aku mengerut dahi.
           “Habis tu, kenapa kunci pintu ni?? Bukalah cepat. Nanti orang nampaklah. Tak pasal-pasal kena tangkap khalwat,” hatiku panas dengan pertanyaannya.
           “Lagi bagus. Terus nikah. Tak payah Qish nak berdolak-dalih lagi,” balasnya. Aku semakin risau dengan kelakuannya. Dah tak betul agaknya, bisik hatiku.
         
Tolonglah...
“Qish, tolong serius boleh tak? Fiq dah tak sanggup tahu tak? Rasanya Fiq sahaja yang beria-ia tapi Qish buat endah tak endah saja. Apa Fiq tak penting dalam hidup Qishkah? Mulai saat ini Qish tidak boleh lari daripada Fiq lagi. Fiq akan ikat kuat-kuat supaya tidak terlepas,” nada suaranya sungguh keras.
             Dia mengakui bahawa hidupnya tidak bermakna tanpaku. Dia terhutang nyawa denganku dan mungkin ini caranya dia ingin membalas budi. Tapi aku pula merasakan sebaliknya. Tiada apa yang istimewa padaku. Bahkan menyusahkan. Aku meragui kesanggupannya menerima kelemahanku dan mungkin senjata utama bagi mereka yang tidak suka kepada perhubungan ini. Sukar aku terima segala penjelasannya. Masih wujud lagikah insan sebegini? Aku kurang yakin. Apa yang merunsingkan aku ialah penerimaan Pak Long dan Mak Long? Adakah mereka menerima aku sebagaimana Amirul Shafiq. Tengku Sofiya pula terang-terangan menyalahkan aku malah mengugut aku? Kalau diturutkan hati aku juga tidak mampu berjauhan dengannya. Semangatku akan pudar andai kehilangannya. Apatah lagi untuk menolak permintaannya, aku tidak berdaya. Aku hanya insan yang lemah. Luarannya tampak keras tapi dalamnya terlalu lembut. Aku tidak tahu kenapa aku selalu bertindak begitu. Keluhannya membuatkan aku berfikir sejenak.
            “Qish… “ suara itu membuatkan aku tersentak daripada lamunan. Lidahku kelu untuk memberi jawaban.   


“Jomlah kita masuk rumah. Kita bincang lain kali saja. Fiq penatlah melayan karenah Qish ni. Esok Fiq kena balik KK sebab ada meeting,” ujarnya hambar lalu membuka butang keretanya yang terkunci.
           Wajahnya hampa lalu menolak daun pintu sambil melangkah keluar. Dia menggeliat sambil melonggarkan sendi-sendi yang kekejangan. Aku masih tidak bergerak daripada tempat duduk. Cepatnya nak balik. Merajukkah? Fikirku.
            “Sayang, kenapa tercegat lagi tu? Tadi suruh buka pintu. Dah buka pintunya tak nak keluar pula. Nanti Fiq masuk balik dalam kereta ni, tidur sama-sama dalam kereta sampai besok pagi. Baru tahu?” ujarnya sambil membongkokkan badannya dari luar kereta memandangku.
              Cepat-cepat aku buka pintu dan keluar sebelum dia tukar fikiran. Kakiku melangkah longlai menuju ke halaman rumah. Letih yang teramat sangat. Amirul Shafiq sempat mengejarku sambil mencapai tanganku lalu menarikku  ke sisinya. Aku terkejut apabila mataku bertentangan dengannya. Jantungku berdegup kencang.
            “Lepas ni tak ada dolak-dalih lagi. Fiq tak mahu dengar apa jua alasan. Jangan cuba buat Fiq marah,” jelasnya sambil merenung tajam padaku lalu melangkah sambil melepaskan tanganku. Aku tercegat kaku di situ. Bagaikan luruh kurasakan jantungku. Adakah ini satu paksaan atau apa? Berserabut bila memikirkan perangainya. Biarlah dia nak cakap apa? Aku pun tengah bingung. Orang tengah marah usah dilayan. Tiba-tiba suara nenek memecah kesunyian malam.
          “Ooiii… anak dara!! Buat apa tercegat seorang diri kat situ. Dah malam ni cepat masuk rumah. Nanti demam selsema pula,” laung nenek dari pintu rumah. Cepat-cepat aku melangkah masuk ke rumah.
*****************************************************************
           
Subuh yang hening....
Azan subuh sayup-sayup berkumandang. Aku mencelikkan mata lalu bingkas bangun. Mujurlah tidak bermimpi yang bukan-bukan lagi. Tersenyum sendirian lalu aku keluar sambil mencapai tuala mandi. Langkahku terhenti apabila aku hampir-hampir terlanggar seseorang di luar pintu sambil mendongakkan kepala. Terkedu aku dibuatnya. Renungannya bagaikan penawar. Semakin hari hatiku semakin cair.
          “Err… awalnya Fiq nak balik? Tak sarapan dulu,” soalku tanpa menunggu penjelasannya. Aku cuba menyembunyikan wajahku yang mulus dengan tuala mandi.
           “Fiq kena bergerak sekarang. Sekurang-kurangnya tengahari boleh sampai. Fiq sarapan kat hentian rehat nanti. Fiq tak mahu menyusahkan Mak Ngah,” jelasnya sambil menatap wajahku. Aku gugup lalu mataku berpaling ke arah lain.
           “Masih marah lagi? Qish minta maaf pasal malam tadi,” pujukku. Aku perasan dia mengukir senyuman.
           “Taklah. Mana ada marah??!! Fiq tak mampu marah Qish lama-lama. Nanti Fiq juga yang merana. Semuanya serba tak kena. I’m going to miss you, Qish. Rasanya tak mahu terpisah walau sesaat pun,” renungannya membuatkan aku berasa malu.
            “Pagi-pagi dah merepek. Hati-hati bawa kereta. Ingat orang tersayang. Jangan asyik berangan saja. Dah sampai KK telefon Qish,” aku cuba mengalihkan cerita.
            “Orang tersayang? Siapa?” celahnya sambil ketawa kecil.
            “Siapa-siapa sajalah. Nenek ke… Mak Ngah ke?” balasku malu-malu kerana terlepas cakap.
            “Fiq selalu sayang orang tu. Tapi sebenarnya orang tu pun sayang Fiq juga. Mengaku sajalah,” usiknya nakal. Aku menjeling.
             “Hishh… tak malu. Siapa sayang dia?” ujarku menepis kata-katanya.
            
“Tak apalah. Tak sayang pun tak apa. Biar Fiq saja yang sayang. Hmm… Fiq bergerak dulu. Love you,” bisiknya sambil mendekatkan bibirnya dikepalaku yang berbalut dengan tuala mandi.
             Berani betul dia. Makin menjadi-jadi pula perangainya, bisik hatiku. Aku menelan air liur  apabila menyedari nenek memerhatikan kami. Entah bila dia tercegat tidak jauh di belakang tanpa aku sedari. Aku memberi isyarat tangan pada Amirul Shafiq lalu melangkah laju menuju ke dapur. Amirul Shafiq menoleh ke belakang dan terkejut dengan kehadiran nenek lalu mencapai tangannya untuk bersalaman. Dia mengorak langkah ke kereta. Nenek mendiamkan diri melihat cucunya beberapa kali cuba  menghidupkan enjin kereta. Tidak hidup pula. Dia keluar dari kereta sambil mengeluh geram.
             “Tahu bawa kereta tapi tak tahu nak servis. Bukan orang saja perlu rehat. Kereta pun perlu rehat,” bebel nenek dari laman depan rumah.
             Amirul Shafiq mengerut dahi sambil mengeluh. Dia berdiri sambil bercegak pinggang. Nenek menghampiri cucunya.
            “Orang baru servislah, nek. Hish… tiba-tiba pula meragam. Kita dahlah nak cepat, dia pula buat hal,” rungutnya sambil membuka enjin depan kereta.
             “Penting sangat ke meeting tu? Tak boleh tangguh?” Tanya nenek.
               “Tak boleh, nek. Dah tertangguh lama. Kena selesaikan cepat. Nanti client mengamuk pula,” jelasnya sambil berjalan ke kereta lalu cuba menghidupkan enjin. Tiba-tiba enjin keretanya hidup. Tersenyum lebar hingga ke telinga. Dia menutup pintu enjin kereta dan mencelah berbisik ke telinga nenek.
                 “Pasal tadi tu nenek jangan beritahu ayah lagi. Biar orang beritahu sendiri. Please…,” dia merayu sambil menyusun sepuluh jari. Nenek menggeleng-geleng kepala.
                “Kenapa pula? Takut? Tahu pula takut. Apa salahnya kalau nenek beritahu? Tak salahkan. Balqish pun cucu nenek juga. Kalau ayah kamu menolak pun, nenek tetap sokong cucu nenek,” jelas nenek sambil tersengih lalu mencium dahi Amirul Shafiq.
                 “Betulkah nek? Alhamdulillah. Tapi nenek jangan beritahu ayah dulu. Biar orang yang cakap sendiri,” pintanya sambil membuat memek muka menagih simpati. Nenek memandangnya dengan penuh kasih sayang.
                “Hish…. yalah. Nenek akan simpan rahsia kamu,” jeling nenek  sambil menepuk tangannya. “Dahlah tu. Hati-hati memandu. Bawa elok-elok. Kalau mengantuk berhenti dulu. Jangan terburu-buru,” nasihat nenek. Amirul Shafiq memeluk erat nenek kesayangannya lalu bergegas masuk  ke dalam kereta. Nenek berundur ke belakang sambil melambai-lambai cucunya sehingga hilang daripada pandangan.

bersambung lagi..... 



0 ulasan: