Rabu, 15 Ogos 2012

Part 13: Ikhlaskah hati?


         Padahlah jika hati itu tidak ikhlas. Sia-sia sahaja segala kebaikan jika diungkit berkali-kali. Tatkala hati sedang amarah atau dikecewakan maka terbentuklah perasaan yang boleh menghancurkan keikhlasan.  Lalu bagaimana untuk ditempuhi apabila dugaan ini jika ia datang menyapa? Mulut boleh dikunci daripada berkata-kata tapi tidak pada hati. Hati masih boleh berbicara tapi Cuma diri sahaja yang tahu. Istighfar. Beristighfar memohon keampunan daripada Allah.
Ikhlas itu datang jauh daripada lubuk hati. IKHLAS merupakan darjat yang paling tinggi kedudukannya selepas IMAN. Sesungguhnya diri sendiri tidak dapat menentukan sejauh mana keikhlasan dalam hati masing-masing. Ianya menjadi rahsia Tuhan. Betapa susahnya untuk mengikhlaskan diri kerana pada zahirnya keikhlasan itu tidak boleh disebut atau diungkap dengan kata-kata. Hanya Allah yang berhak menentukan keikhlasan hambaNya. Bukan manusia. Juga bukan malaikat. Ikhlas adalah suatu yang murni dan bersih. Tidak boleh dicampur dengan perkara yang lain-lain. Setiap kata-kata dan perbuatan perlulah ikhlas kerana Ilahi. Tiada yang lain.
            Tanya pada diri sendiri atas dasar apakah cinta itu dibina? Adakah kerana nafsu? Adakah kerana lumrah alam? Setiap insan dijadikan Tuhan berpasang-pasangan. Malah pernikahan itu digalakkan dimana akan sempurna separuh imannya. Sabda Nabi s.a.w. dari Anas bin Malik, "Jika seorang hamba Allah itu menikah (kahwin), maka telah sempurnalah setengah (separuh) agamanya. Maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada setengah yang lain." (Riwayat al-Hakim dan at-Thabrani).
            Tidak pernah hatinya sekalut ini. Gelisah. Resah. Sedetik demi sedetik masa berlalu. Semakin lama dipendam perasaan ini, semakin sakit perasaan dan jiwanya. Dia merasakan kehilangan yang amat sangat. Bagaimana harus diluah mati emak, ditelan mati bapa. Dia tidak tahu untuk berbuat apa lagi. Biarlah takdir yang menentukannya.
            “Ya, Allah. Kupohon padaMu Ya Allah, Kau bukakanlah jalan untuk aku, permudahkah segala urusanku dan Kau bukakan pintu hatinya untuk menerima aku. Sesungguhnya aku ikhlas mengasihi dirinya. Aku ingin menjaga dirinya sepanjang hayatku. Dan itu yang telah kujanjikan padanya. Ya Allah, Kau berikan kami peluang untuk menikmati hidup ini seperti pasangan-pasangan yang lain. Sesungguhnya kepadaMu hambaMu bermohon dan mengharap Ya Allah. Tuhan yang Maha Pengasih Lagi Maha Menyayangi. Amin Ya Rabbal Alamin.“ Sesungguhnya Allah jua tempat yang terbaik untuk memohon dan mengadu.
Sejak akhir-akhir ini dia lebih suka menyendiri. Hujung minggunya banyak dihabiskan dengan mentelaah buku-buku ilmiah dan majalah tentang bisnes di rumah kediaman keluarganya. Pintu kamarnya diketuk perlahan ketika dia sedang asyik mentelaah buku. Kelihatan wanita yang berusia lebih separuh abad ini masih mampu berjalan lagi dengan menggunakan tongkat. Amirul Shafiq melebarkan senyuman menyambut mesra nenek kesayangannya.
“Nenek patutnya berehat. Demam dan batuk nenek baru saja baik,” rungutnya sambil memimpin neneknya duduk.
“Nenek bosanlah asyik terperuk kat dalam bilik. Biarlah nenek keluar sekejap ambil angin,” jelas neneknya. Garis-garis kedut diwajahnya jelas kelihatan menampakkan dirinya yang sudah semakin tua dan uzur. Renungan tajamnya pada Amirul Shafiq penuh dengan tanda tanya. Dia tahu Amirul Shafiq sedang menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya.
“Kenapa dengan cucu nenek ni? Ada masalah ke?” soal nenek sambil mengusap-usap rambutnya. Amirul Shafiq hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.
“Tak ada apa-apalah nek. Masalah kecil jer,” jawabnya cuba mententeramkan perasaan neneknya. Nenek merenung anak mata Amirul Shafiq sedalam-dalamnya. Sinarnya semakin pudar. Tiada cahaya. Tiada bahagia. Sinar matanya lebih menceritakan kehampaan. Kedukaan. Jiwa yang lara.
Cuba khabarkan pada nenek siapakah gerangan yang telah mencuri seri diwajah cucu nenek ni. Nenek teringin nak tahu,” neneknya cuba mencungkil rahsia. Amirul Shafiq terdiam. Matanya tertunduk kemudian memandang wajah tua itu dengan senyuman yang hambar. Dia mendakap erat tubuh kecil neneknya. Betapa bahagianya andai masalah itu dapat diselesaikan dan penyudahnya happy ending story. Tiada apa-apa yang perlu dibicarakan. Akhirnya dia tertidur diriba neneknya. Masalahnya hilang seketika.

&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

Masa berlalu tanpa disedari. Saban hari wajah tua itu mengharapkan kepulangan seseorang yang telah lama terpisah. Rindunya seorang ibu pada anaknya tidak pernah luput daripada hatinya. Sekeras mana pun hati orang tua, akhirnya lembut jua walau dimamah usia. Dia mengharapkan sinar Ramadhan kali ini mampu membawa kebahagiaan dan keceriaan dalam rumah yang gah ini. Betapa dia mengharapkan kepulangan insan yang dikasihinya.
“Yong, abah mengharapkan berita baik daripada kamu sebelum abah menutup mata. Abah terlalu rindu pada adik kamu. Abah telah maafkan dia dan abah halalkan segala makan minumnya. Carilah dia sampai dapat,” itulah pesan terakhir yang ditinggalkan oleh arwah suaminya pada anak sulungnya. Satu-satu wasiatnya yang belum tertunai sehingga kini. Air matanya menitis deras. Usahanya masih menemui jalan buntu.
Terpegun mendengar alunan suaranya...
Alunan suara dari masjid berdekatan menggamit hati tuanya untuk bersolat terawih berjemaah di sana. Suara itu sungguh merdu dan sayu. Suara yang pernah didengari pada suatu ketika dulu. Ya, suara itu. Suara itu sama seperti suara yang mengajar keluarganya mengaji dua puluh tahun dahulu. Kesungguhannya untuk melihat wajah pemilik suara itu semakin kuat sehingga anak menantunya merasa pelik. Pelik dengan permintaannya.
“Mak tak sihat. Tak payahlah ke masjid. Nanti saya pesan pada Amirul bawakan ustaz tu ke rumah kita,” pujuk anaknya. Wajah tua itu berubah marah.
“Aku tak peduli. Aku nak pergi juga. Amirul boleh bawa aku ke sana,” bentaknya sambil memaut tangan Amirul Shafiq ke pintu besar.
“Yalah… yalah… Bawa bibik sekali. Nanti bibik tolong tengok-tengokkan mak,” balasnya sambil memanggil orang gajinya untuk menemani emaknya. Amirul Shafiq melangkah perlahan memimpin neneknya ke dalam kereta. Mereka meluncur perlahan ke masjid berhampiran setelah azan isyak berkumandang sayup-sayup memanggil para jemaah untuk bersolat.
“Amirul, lepas solat terawih bawa nenek jumpa ustaz tu yer. Nenek teringin sangat nak lihat wajahnya,” pesan neneknya sebelum masuk ke dalam masjid. Amirul Shafiq mengiyakan. Matanya menyorot sehingga neneknya hilang daripada pandangan. Tidak pernah neneknya berkelakuan begini. Pelik sungguh. Apa yang membuatkannya begitu beria-ia untuk menemui ustaz itu. Dia tidak faham kenapa. Kakinya melangkah menuju ke barisan saf pertama setelah iqamat berkumandang.
Sungguh merdu suaranya membaca surah Al-Fatihah. Lembut dan lunak. Penuh dengan lenggok tarannum dan tajwidnya cukup mantap. Jarang dia mendengar suara ini. Siapakah gerangan empunya suara ini sehingga menyebabkan neneknya bersemangat untuk menjalani solat terawih di masjid? Dirinya terus hanyut dalam kekusyukan solat. Hatinya berasa aman dan tenteram.
Setelah selesai solat terawih dan witir para jemaah dijemput untuk makan ringan atau sikenali juga sebagai morey. Amirul Shafiq berdiri sambil menjingkit sedikit kakinya mencari kelibat ustaz yang bersuara lunak itu. Para jemaah sibuk bersalaman antara satu sama lain. Tiba-tiba bahunya ditepuk daripada belakang.
“Ohhh… Amirul rupanya. Dah lama tak nampak. Cari siapa tu? Terjenguk-jenguk daripada tadi,” ujar Pak Mail jiran sebelah rumahnya menyapa. Amirul Shafiq menoleh dan tersengih.
“Siapa yang jadi imam tadi pakcik? Saya tak pernah dengar pun suaranya sebelum ini. Ustaz baru ke?” Tanya Amirul Shafiq.
“Ustaz jemputan untuk bulan Ramadhan ni. Ustaz Muhammad Danial kalau tak silap namanya. Hmm… pakcik pun nak jumpa dia ni. Nak jemput makan morey. Marilah ikut pakcik kalau kamu nak jumpa ustaz tu,” pelawa pakcik Mail. Amirul Shafiq mengukir senyuman. Bagai pucuk dicita ulam mendatang. Tanpa berlengah dia mengekorinya daripada belakang.
“Assalamualaikum ustaz,” ucap pakcik Mail sambil menghulurkan tangan untuk berjabat salam. Salamnya disambut mesra. Amirul Shafiq juga tidak ketinggalan bersalaman.
“Saya nak jemput ustaz untuk makan morey bersama-sama di luar sana. Yang ini saya perkenalkan Amirul Shafiq. Dia teringin nak jumpa ustaz,” ulas pakcik Mail sambil memandang Amirul Shafiq.
“Err… sebenarnya nenek saya teringin sangat nak jumpa ustaz. Harap ustaz sudi menunaikan permintaannya,” jelas Amirul Shafiq sambil menganggukkan kepala.
“Boleh. Tak ada masalah,” kata ustaz itu sambil membalas senyumannya. Amirul Shafiq terpegun melihat wajahnya. Lembut dan bercahaya. Sejuk perut ibu yang mengandungkannya. Dari kejauhan Amirul Shafiq terdengar namanya dipanggil. Dia menoleh mencari suara itu. Kelihatan neneknya telah berada di pintu ruang solat lelaki. Amirul Shafiq pergi mendapatkan neneknya sambil diikuti oleh pakcik Mail dan juga ustaz itu.
Nenek memandang wajah itu tanpa berkedip seolah-olah dia kenal. Tangannya mengusap perlahan pipi ustaz muda itu. Air matanya menitis perlahan. Wajah itu saling tidak tumpah pada wajah menantunya. Hatinya meruntum sayu. Masing-masing kelihatan bingung melihat senario itu.
“Nenek… kenapa nenek menangis? Kalau saya bersalah saya mohon maaf banyak-banyak kerana saya menyebabkan nenek sedih,” ujar Ustaz Muhammad Danial sambil mengampuh badan nenek yang hampir rebah. Nenek menggeleng-gelengkan kepala.
Kenapa menangis?
“Tidak. Tidak. Kamu tidak bersalah apa-apa, cu. Nenek yang bersalah,” tangisnya bertambah kuat. Ustaz itu bertambah bingung. Dia tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh nenek lalu memandang Amirul Shafiq.
“Lebih baik kita hantar nenek kamu balik rumah dulu. Agaknya dia terlalu penat,” cadang pakcik Mail pada Amirul Shafiq. Amirul Shafiq menganggukkan kepala.
“Ustaz jemput sekali ke rumah saya. Tak jauh dari sini,” jemput Amirul Shafiq pada Ustaz Muhammad Danial. Mereka beriringan memapah nenek masuk ke dalam kereta. Sepanjang perjalanan ke rumah nenek tidak henti-henti bercakap bahawa dia yang bersalah. Bersalah kerana apa? Amirul Shafiq mengerutkan dahi sambil orang gajinya cuba mententeramkan keadaan nenek.
Setelah sampai dipintu, nenek rebah tidak sedarkan diri. Masing-masing menjadi kalut. Amirul Shafiq menjerit memanggil ayahnya. Sekonyong-konyong pintu rumahnya terbuka luas. Habis hiruk-pikuk dengan jeritan emak dan kakaknya. Ayahnya pula terpaku di depan pintu melihat kelibat Ustaz Muhammad Danial. Dia terpegun melihat wajah itu. Memang wajah itu dia kenal benar. Malah dia yang mewalikan adiknya untuk bernikah. Tapi itu mustahil. Mustahil kerana orang ini terlalu muda. Sepatutnya umurnya sebaya atau lebih kurang umurnya. Dia bingung. Setelah selesai mengangkat neneknya ke bilik peraduan, ayahnya menjemput tetamu-tetamu yang ada untuk menjamu selera.
Ustaz Muhammad Danial memohon untuk mengundurkan diri mamandangkan hari telah larut malam. Tapi ayahnya meminta ustaz muda itu bermalam sahaja di rumahnya. Dengan berat hati ustaz Muhammad Danial mengiyakan pelawaan itu.

bersambung la pulak.... SALAM AIDILFITRI & MAAF ZAHIR BATIN.
Meriah Suasana Hari Raya - Siti Nurhaliza

Riuh rendah sungguh kampung laman
Sapa salam sahut-sahutan
Manis wajar senyum pun terukir
Budak-budak ke hulu hilir

Ziarahi jiran sanak saudara
Lupakan luka sengketa
Luhur jiwa raga jujur bicara
Di hari raya

Anak rantau pulang keriangan
Lembu kerbau menjadi korban
Ayah bonda turut bergembira
Meriahnya hari bahagia

Berpakaian baru aneka gaya
Bertudung manis si dara
Tertawanlah hati muda teruna
Mula bertanya

(Pak Lang Yang Itu Anak Siapa Tu)

c/o
Mana jauh kita dekat-dekatkan
Bertandang mesra bersembang tawa
Terkenang kisah yang lama

Mana dekat kita erat-eratkan
Terlanjur kata terlampau cara
Bermohon..Ampun dipinta..

Bersyukur pada tuhan
bersenda teman taulan
Hulurlah keinsafan
Salinglah bermaafan

Indah Minalaidil Walfaizin
Menyuci lahir dan batin
Bahagia rasa sama rasa
Meriahnya Di Hari Raya

Indah Minalaidil Walfaizin
Menyuci lahir dan batin
Bahagia rasa sama rasa
Meriahnya Di Hari Raya

0 ulasan: