Jumaat, 27 April 2012

Part 4: Ya Allah Jangan Kau cuba aku melebihi batas & mampuku

Ya Allah, berikan hambaMu ini kekuatan...


Mengapa mataku enggan terpejam lena. Tidurku kerap terganggu sejak akhir-akhir ini. Malamku disulami dengan igauan yang mengerikan. Resah dan gelisah menghantui diri. Mimpi yang sering membuat hatiku gering. Orang kata mimpi itu mainan tidur. Tapi aku takut akan menjadi kenyataan. Ya, Allah. Kau berikan aku kekuatan untuk terus hidup. Sesungguhnya tiada daya dan upayaku melainkan dengan kekuatanMu. Aku pasrah dengan ujianMu.
Puas sudah untuk kuratapi kepincangan hidupku. Bagai nakhoda yang kehilangan kemudinya. Bahteraku belayar sendiri mengikut arus. Dikala angin bertiup kencang, aku hampir kehilangan arah dan tujuan. Terkapai-kapai meredah lautan. Sehari beban yang kutanggung, terasa bagai bertahun-tahun lamanya. Saban hari aku meratapi kepayahan yang kurasa tidak tertanggung dek badan. Diriku menjadi lemah dan tidak bermaya. Terkadang berlari difikiranku mengapa aku terpaksa melalui segala penyiksaan hidup yang sebegini.  Aku malu dengan keadaanku sebegini. Mengharapkan ihsan ibu untuk menyiapkan diri. Aku tidak mampu untuk melakukannya sendiri. Aku tidak mampu. Betapa luluhnya jiwaku. Betapa hancurnya impianku. Aku menangis semahu-mahunya. Kata-kata doktor menambahkan lara kedukaanku.
“Awak ada teman lelaki?” Tanya Dr Halim ketika aku disahkan menghidapi SLE tahap ke- 4 lupus nefritis. Tahap kedua tertinggi dalam kelasnya. Tahap yang boleh membawa maut dalam senyap. Tiada jawaban. Aku membatukan diri.
“Saya nasihatkan buat masa ini, awak tidak boleh berkahwin. Dan andaikata jodoh dah sampai, awak perlu mengelak daripada mengandung,” tambah Dr Halim. Begitu lembut dan lunak suaranya tapi tegas.
“Terus-terang saya katakan penyakit awak ini adalah kronik. Penyakit ini adalah autoimmune decease, ia akan menghentam mana-mana anggota badan awak termasuk jantung, otak, buah pinggang dan lain-lain. Kalau tiada pemantauan yang rapi, nyawa awak dalam bahaya. Lebih bahaya lagi jika pesakit itu mengandung. Lebih 80% kandungan terpaksa digugurkan atau jika diteruskan kandungan itu boleh membawa maut pada si ibu. Awak faham maksud saya?” tegas Dr Halim lagi. “Jadi buat masa ini, saya harap awak bersabar dan banyakkan doa. Kita hanya boleh berusaha memberi rawatan kepada pesakit tapi untuk menyembuhkan penyakit itu kita serahkan pada Ilahi.” Perit sungguh hati ini mendengar penjelasan Dr Halim. Termenung dan mengelamun lagi.
Tabahkan hatiku...
    Kering sudah air mataku. Semakin hari semakin hilang semangat dan pedomanku. Emosiku turut terganggu dan bertambah parah. Teramat sensitif dan mudah mengalirkan air mata. Aku tidak faham. Bingung. Runsing. Aku dibawa jauh dari hiruk-pikuk kota yang berserabut dengan pelbagai karenah manusia. Ibu membawa aku pulang ke kampung halaman. Terasa aman dan nyaman.
“Sudahlah Nurul. Jangan asyik menangis saja. Dah macam orang kematian suami pula. Emakkan masih hidup lagi. Abang dan Kak Jannah sentiasa ada di sisi Nurul. Cubalah banyakkan zikir mengingati Allah dan membaca ayat-ayat suci Al-quran. Kalau larat, bangun malam buat solat sunat,” pesan Danial, abang sulungku. Telingaku sudah lali dengan tegurannya. Tiap-tiap hari asyik membebel. Aku yang menanggung segala kesakitan. Apa yang mereka tahu? Mereka tidak rasa apa yang aku rasa. Cuma boleh pandang saja. Cuba duduk ditempat aku ni kalau mahu tahu betapa siksanya. Bentak hatiku.
“Kita harus ingat tujuan kita hidup di dunia. Allah berfirman “Katakanlah:Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang: Surah Az-Zumar ayat 53. Jangan berputus asa. Ini adalah ujian daripada Allah. Kamu harus banyak bersabar, “ sambung Danial yang berkelulusan Universiti Al-Azhar. Kearifannya dalam hal-hal agama tidak dapat disangkal.
Nurul tahu betapa besarnya kelebihan bersabar ini? Pahala bagi orang-orang yang bersabar ada tiga. Pertama: Sabar terhadap musibah, iaitu sabar dan tidak merasa marah terhadap musibah yang menimpanya sebaliknya dia menerima dengan baik musibah itu. Maka Allah S.W.T. mencatatkan di Luh Mahfuz 300 darjat. Darjat yang tertinggi di Syurga dan setiap satu darjat antara satu darjat itu seperti langit dan bumi. Kedua: Barang siapa yang bersabar dalam taat iaitu mengerjakan taat dan menanggung kesukaran taat itu maka Allah S.W.T. akan mencatatkan baginya 600 darjat yang mana satu darjat itu seperti permukaan bumi yang atas hingga ke penghabisan bumi yang terakhir. Ketiga: Barang siapa bersabar dari maksiat, iaitu meninggalkan kerja-kerja maksiat maka Allah S.W.T. akan mencatatkan baginya 900 darjat yang mana setiap satu darjat antara satu darjat itu seperti permukaan bumi hingga ke Arasy. Dan dia adalah makhluk darjatnya dua kali ganda. Sabar menjauhi segala yang diharamkan itu martabatnya paling tinggi.” Aku membisu tanpa sepatah kata.
Bersangka baiklah pada Penciptanya..
“Nurul adalah orang yang paling bertuah kerana telah dipilih oleh Allah. Itu bermakna Tuhan sayangkan Nurul. Dia suruh Nurul sentiasa mengingati Dia dalam susah dan senang. Maka berbaik sangkalah dengan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang tidak kita ketahui. Berdoalah padaNya kerana doa itu senjata umat Islam. Mengadulah pada Allah kerana Dia Maha Mendengar dan mohonlah supaya diringankan beban yang kita tanggung kerana Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Abang tak sanggup melihat keadaan adik begini.” Danial menatap wajahku sayu. 
        Jarinya mengusap air mata yang jatuh berlinangan dipipiku. Pesanan itu terlalu berharga buatku. Dia membimbing aku meniti hari-hari yang kurasakan telah pudar. Kenapa aku ini? Sesungguhnya ia membuatkan aku terjaga dari lena yang panjang. Aku tidak berhak menyalahkan takdir Tuhan kerana kita ini adalah hambaNya. Ampunilah segala dosa-dosaku Ya Allah. Selama ini aku asyik menyalahkan takdir. Aku tidak dapat menerima kenyataan ini. Kau yang berhak menentukan perjalanan hidupku. Aku insaf dengan kekhilafanku. Aku bertaubat padaMu atas segala kesalahanku. Terimalah taubat hambaMu ini. Pesan Danial lagi, ingatlah Allah dan Dia pasti mengingati hamba-bambaNya yang mengingati Dia. Andai kita dekatnya padaNya, Dia seribu kali dekat dengan hambaNya. Terima kasih, Allah. Terima kasih yang teramat sangat. Aku menemui ketenangan yang kucari selama ini. Sesungguhnya hati akan tenang apabila kita mengingati Allah. Senyumanku kembali mekar. Semekar bunga di halaman rumahku. Aku bangkit dengan semangat dan azam yang baru.
Setiap yang berlaku ada hikmah disebaliknya..
Aku tidak pernah terfikir aku akan bertarung dengan penyakit yang aku sendiri tidak tahu puncanya. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Masaku dipenuhi dengan kerja-kerja amal persatuan yang aku naungi. Di situ aku menemui mereka-mereka yang senasib denganku. Malah ada yang lebih teruk. Ada yang terlantar tidak boleh bangun. Ada yang kehilangan buah pinggang dan terpaksa menjalani hemodialisis sepanjang hayat. Sekurang-kurangnya aku boleh bertapak semula menggunakan kaki setelah sekian lama aku duduk dikerusi roda. Ya, sesungguh aku amat bertuah kerana diberi peluang untuk kali kedua. Aku menangis sambil bersujud syukur pada Ilahi. Sesungguhnya Allah itu Maha Besar.
Kali ini aku diuji pula dengan kehadiran Amirul Shafiq. Insan yang selama ini bersemadi di hatiku. Dia adalah tunggak kejayaanku semasa di menara gading. Bersaing untuk menjadi yang terbaik. Berjuang dalam menegakkan kebenaran. Aku dan dia sememangnya serasi. Umpama belangkas. Di mana ada Amirul Shafiq disitu ada Nurul Balqish. Bagaikan rotan dengan suasa. Bagai ombak dengan pantai. Bagai irama dengan lagu. Andai terpisah, pincanglah lagu. Rosaklah irama. Teringat aku kata-kata dalam filem Antara Dua Darjat. Aku akui ajal, maut, jodoh dan pertemuan adalah milik Tuhan. Aku yang menoktahkan perjalanan cintaku. Aku tidak sanggup membebankan dirinya dengan kekurangan yang aku ada. Tapi semakin aku menjauhkan diri, semakin dekat dia menghampiri. Semakin aku mengelak, semakin hari dia mencari. Apakah ini yang dinamakan jodoh? Hmm… entahlah. Aku pasrah.
Ada jambangan bunga baru sampai lagi. Cantiknya. Merah dan wangi,” cetus Amy tiba-tiba muncul dengan membawa jambangan dan diletakkan di atas mejaku.
 “Nak letak mana ni? Penuh dah meja ni dengan bunga-bunga.” Rungutnya. Aku mencemik mukaku.
“Ambillah kalau kau mahu. Aku malaslah nak layan,” balasku selamba. Amy terkejut.
“Betul ni? Kau tak suka bunga-bunga ni?” terperanjat dengan tindakanku.
“Ambil sajalah. Kalau tak aku buang dalam tong sampah,” ujarku lagi.
I love roses...
“Tak baik tau kalau tak terima. Orang dah bagi ambil sajalah. Yang kau jual mahal sangat ni kenapa? Peliklah kau ni,” Amy membebel. Amy menghampiriku dan berbisik ke telingaku. “Siapa mamat ni? Romantika sungguh. Teruja aku,” tanyanya sambil tersengih. Aku menjeling.
“Anak Datuk Mansur. Client kita yang di KK tu,” terangku.
“Ya ke? Tak sangka anak Datuk tu terpaut dengan kau. Rugi aku tak pergi ke sana hari tu. Kalau tak mesti dia terpaut dengan aku,” guraunya sambil berangan. Aku tersenyum dengan gelagatnya.
Dengan tidak semena-mena Encik Irfan keluar dari biliknya dan mengerutkan dahi melihat Amy duduk bersantai di mejaku. Aku menggelabah takut kalau-kalau Encik Irfan marah padaku. Dia berjalan ke mejaku.
“Awak dah tak ada kerja ke, Amy?” buntang matanya menegur Amy. Amy terkocoh-kocoh turun dari mejaku. Dengan perlahan-lahan melangkah ke mejanya. Encik Irfan cuma memandang sahaja kemudian menoleh kepadaku. Dia berasa pelik melihat bunga-bunga memenuhi ruang mejaku.
“Ni tempat kerja ke tempat jual bunga?” Tanya Encik Irfan padaku. Aku tersengih-sengih macam kerang busuk. Ada ke kerang busuk tersengih-sengih? Lantaklah. Itu cuma simpulan bahasa saja.
“Err… Nurul tolong settlekan documention untuk client kita di KK tu. Esok Encik Amirul Shafiq akan datang ke sini untuk melihat perkembangan selanjutnya. Dia mahu kamu yang uruskan,” arah Encik Irfan padaku. Aku menggaru kepala.
“Tapi esok saya cuti, Encik Irfan. Saya ada appointment dengan hospital. Saya suruh Amy gantikan tempat saya, boleh?” jelasku pada Encik Irfan. Dia menepuk dahi sambil memikirkan sesuatu.
“Yelah. Saya lupa kamu cuti esok. Masalah besar ni. Dia kata dia tak mahu orang lain. Dia mahu awak juga. Agaknya dia suka kamu, tak? Susahlah macam ni kalau kamu tak suka dia. Nantilah saya fikirkan macam mana nak buat.” Encik Irfan berlalu pergi. Alamak… matilah aku macam ni, rintih hatiku. Dia sengaja turun KL semata-mata mahu berjumpa dengan aku. Bunga-bunga ni sudah 5 hari berturut-turut dihantar padaku. Aku masih ingat kata-kata terakhir sebelum penerbanganku.
hope to see u soon...
I will come to you. I promise you.” Langkahku tetap sama. Tidak menerima mahupun menolak. Aku hanya berserah pada Tuhan. Jalan yang mana yang diberikan petunjuk, maka jalan itu yang akan aku susuri. Aku memohon dariMu Ya Allah, aku mohon jangan Kau uji aku melebihi batas mampu dan sanggupku. Sesungguhnya tiada daya dan upayaku melainkan dengan KekuatanMu. 

bersambung.... dengarkan bait lagu Wali ini....

Ya Allah jangan Kau coba aku
Melebihi batas mampu dan sanggupku
Ya Allah bila memang Kau coba
Aku percaya Kau sayang padaku
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah
Ya Allah lindungilah diriku
Dari yang menjahati menzhalimiku
Ya Allah Kaulah Maha Segala
Engkaulah pelindung hidup dan matiku
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah
Ya Allah jangan Kau coba aku
Melebihi batas mampu dan sanggupku

3 ulasan:

Afasz berkata...

pjg nye entry ni >_<

Afasz berkata...

salam singgah n follow sini

dr

afasz.com

Dee Z berkata...

salam to Cik Farizam... tq for follow.. anyway, salam perkenalan..;))