Rabu, 16 Mei 2012

Part 7: Kenangan Yang Indah

Dia adalah yang terbaik untukku... pasti.

Bunyi azan subuh sayup-sayup berkumandang di udara. Fajar menyinsing diiringi dengan kokokan ayam bersahut-sahutan. Mata tuanya terkapai-kapai mencapai bingkai kaca mata di bucu tilam. Dia meraba-raba bantal disebelahnya. Telah lama terbiar. Tiba-tiba teringat suaminya yang telah lama pergi. Dia mengucup bantal itu. Tanda rindunya yang tidak berbelah bagi. Dia bingkas bangun lalu mencapai tuala mandi. Kakinya melangkah perlahan-lahan menuju ke bilik air. Kedengaran bunyi wisel cerek berlagu nyaring dan tidak lama kemudian senyap. Ada orang lain yang telah bangun lebih awal darinya.
“Ibu nak mandi air panas?” sapa anaknya sambil mengangkat cerek. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Sudah biasa katanya. Anaknya hanya menurut kata. Diletakkan semula cerek panas di atas dapur.
Ibu tua itu mendekatinya sambil menyangkutkan tuala mandi di bahunya. Dia menatap wajah anak kesayangannya yang tiba-tiba terpacul malam tadi di halaman rumah dengan sebuah teksi.. Muram dan sayu. Tidak seceria selalu apabila balik ke kampung. Lirikan matanya beralih. Cuba menyembunyikan sembab di sekeliling kelopak matanya. Mungkin sebab menangis. Biarlah dulu. Kalau sudah reda sedihnya pasti dia akan buka mulut. Sebagai ibu yang lebih dulu makan garam, hatinya tahu ada sesuatu yang disembunyikan daripada pengetahuannya. Kakinya melangkah ke bilik air meneruskan hajatnya yang tergendala.
Tepung dibancuh dan dicampur dengan ikan bilis serta bawang yang dihiris. Kuali ditenggekkan di atas dapur dan dituangkan minyak masak. Api dapur dinyalakan. Dia leka dengan tugasnya memasak cekodok ikan bilis. Amat menyenangkan hingga terasa masalah itu lenyap seketika. Bau aromanya menyebabkan perutnya berkeroncong minta diisi. Setelah selesai dia menghidangkannya di atas meja. Air teh tarik kegemaran abangnya juga telah siap tersedia. Dia mengambil cawan dan piring dan disusun kemas. Bunyi dehem menyebabkan dia sedikit terkejut. Nasib baik piring tidak terlepas dari tangannya. Danial ketawa kecil. Geli hati melihat telatah adik kesayangannya. Dia menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya.
“Hujan tak ada, ribut pun tak ada. Tiba-tiba balik kampung. Ada masalah kat pejabat ke?” Tanya Danial sambil menghirup teh tarik yang dihidangkan. Bibirnya tersenyum hambar.
“Tak ada apa-apalah. Rindu pada ibu. Itu sebabnya kita balik,” bunyinya riang tapi hatinya Tuhan saja yang tahu. Danial merenung wajah sembab adiknya.
Mata tidak pandai berbohong..
“Kenapa mata tu sembab? Nurul sakitkah?” teringat akan sakit adiknya yang pernah tidak semena-mena membengkak pada muka dan kakinya. Hatinya tiba-tiba risau.
“Err… tak adalah, bang. Nurul kurang tidur agaknya. Tu sebabnya nampak sembab,” dia cuba berdalih. Tidak lama kemudian ibunya turun ke dapur bersarapan bersama-sama.
“Sembab sebab tak cukup tidur atau sembab sebab menangis?” sampuk ibunya sambil menjeling. Dia kelihatan resah apabila ibunya cuba mencungkil cerita. Danial terkejut mendengar gurauan itu. Dia memandang adiknya.
“Mana ada kita menangis? Ibu ni ada-ada saja,” dia memuncung sambil makan cekodok yang digorengnya tadi. Ibu tersengih-sengih sambil memandang anak bongsunya. Danial buat-buat tidak faham.
“Dah besar panjang. Pandai-pandailah nak selesaikan masalah. Err.. ibu, hari ini Danial pulang lewat sikit. Ada jemputan ceramah di bandar selepas kerja. Malam mungkin baru Danial pulang,” Danial memberitahu ibunya.
“Yalah. Hati-hati dalam perjalanan,” balas ibunya. Danial menoleh pada adiknya pula.
“Nurul tolong tengok-tengokkan ibu. Elok juga kamu balik kampung. Boleh temankan ibu kalau abang tak ada di rumah. Kak Jannah ada seminar guru selama seminggu. Minggu depan baru dia balik. Abang berangkat dulu,” ujar Danial sambil menghulurkan tangan. Dia mencium tangan ibunya dan kemudian bersalaman dengan adiknya.
Fajar menyinsing...
Pintu dapur dibuka perlahan. Suasana pagi yang nyaman diseliputi kabus dan kicauan burung-burung berterbangan mencari makanan. Pokok-pokok masih menghijau. Indah sungguh suasana kampung yang masih belum dicemari dengan pembangunan. Danial mengucapkan salam pada mereka sebelum beredar dengan kereta Pesona kelabunya. Mereka duduk semula untuk bersarapan pagi. Makanan dijamah perlahan. Makan sekadar untuk melapik perutnya yang kosong. Tiada selera. Dia termenung jauh. Tenungannya seolah-olah tembus sehingga ke dasar meja di hadapannya.  Ibunya asyik memerhati sahaja sejak tadi. Dia menggeleng-gelengkan kepala.
“Kamu ni kenapa, Nurul? Ibu tengok kau asyik termenung dari tadi. Tengah fikirkan siapa?” Tanya ibunya sambil terangkat keningnya ingin tahu. Dia tersentak sambil menoleh pada ibunya. Lama ditenung wajah tua itu. Pada siapa tempat dia ingin mengadu kalau tidak pada ibu. Bergenang sedikit air matanya. Dia mengalihkan pandangan sambil mengesat matanya.
“Tak apalah kalau kamu tak mahu ceritakan pada ibu sekarang. Ibu tak memaksa. Ibu nak pergi ke rumah tenun kejap lagi. Kamu nak ikut?” ibunya bertanya.
“Tak apalah ibu. Nurul rasa nak berehat. Penatlah,” jawabnya. Ibunya mengangguk faham.
“Ibu, sebenarnya Nurul berhenti kerja,” tiba-tiba mulutnya meluahkan kata-kata. Entah kenapa hatinya terasa tidak tertahan menanggung derita. Ibunya menoleh. Diam tidak berkata apa-apa.
I found him...
“Nurul terjumpa Shafiq,” air matanya mula bergenang. Dia menyandarkan kepala pada bahu ibunya. “Rupa-rupanya syarikat Nurul menjalankan usahasama dengan syarikat ayah Shafiq. Nurul tak sangka selama ini dia masih mencari Nurul. Kenapa Tuhan masih pertemukan Nurul dengan dia? Kenapa dia tak cari orang lain dan lupakan Nurul? Nurul tak sanggup, ibu. Nurul tak sanggup hadapi semua ini,” dia menangis tersedu-sedu. Sesekali menarik nafas panjang. Ibu memeluk erat seperti bayi kecil yang memerlukan perhatian. Dia faham kenapa anaknya benar-benar sedih. Sedih terpisah dengan orang yang disayangi. Pilu kerana berkorban untuk orang yang dikasihi. Jiwanya memberontak kerana bahagia itu bukan miliknya.  Kesedihan ibu yang berumur hampir separuh abad itu telah berlalu 30 tahun yang lalu. Cuma keadaannya berbeza. Tapi keperitannya tetap sama. Kebahagiaan memerlukan pengorbanan.
“Sabarlah, sayang. Semua ini ujian dari Allah. Jangan pertikaikan takdir Tuhan. Berdosa besar, nak. Istighfar banyak-banyak. Minta petunjuk dan hidayah daripadaNya. Banyak pahalanya kalau Nurul bersabar,” dia mengucup dahi anaknya berulang kali. Hati keibuannya tersentuh. Dia kembali mengimbau kenangan lalu. Kenangan indah bersama arwah suaminya. Sehidup semati. Seia dan sekata. Walaupun gelora melanda diawal pelayaran, namun berakhir dengan kebahagiaan dan kesyukuran yang tidak terhingga.
Bermula suatu pertemuan...
Keadaan hujan ribut ketika itu. Tiba-tiba pintu dapur diketuk bertalu-talu. Siapa pula yang mengetuk pintu pagi-pagi buta. Pintu diketuk lagi. Dia memberanikan diri membuka pintu. Kelihatan kelibat seorang pemuda yang berlumuran darah di kepala sedang berpaut pada pintu daun dan jatuh rebah di pinggir lantai.
“Astaghfirullahal azim. Mak… Ayah… ,” jeritnya terperanjat sambil berlari ke ruang tamu. Wajahnya cemas.
Akibat luka pada kepalanya, dia telah hilang ingatan. Dia tidak ingat apa-apa pun tentang kisah silamnya. Lantas ayahnya menjadikan dia sebagai anak angkat. Saban malam dia mendengar sayup-sayup bunyi orang mengaji al-Quran. Sungguh merdu alunan suaranya. Hatinya tenang apabila mendengarnya. Dia mencuri dengar daripada celah-celah dinding kayu ketika semua orang nyenyak beradu. Disebabkan kebolehannya itu, ayah meminta dia mengajar Al Quran dan juga agama kepada keluarganya.  Keluarganya terpaut pada keluhuran peribadinya yang sungguh mulia.
Di sinilah bermulanya cinta yang terlarang. Sayang selasih hamba lurutkan. Kerana kasih hamba turutkan. Begitulah dirinya. Apatah lagi dia tidak bertepuk sebelah tangan. Mereka sama-sama menyimpan perasaan. Hatinya tidak pernah meletakkan dirinya sebagai anak orang berada. Dia tidak memandang harta benda atau kekayaan sebagai kayu pengukur. Tapi cukuplah sekadar seorang yang beriman dan beramal soleh yang mampu membimbingnya ke jalan yang benar. Hidupnya pasti bahagia hingga ke akhir hayat.
Ampuni anakmu ini...
Cinta yang berputik telah dihidu oleh ayahnya. Lantas dia dibawa jauh dari situ dengan harapan dia dapat melupakan wajah itu. Terasa sakitnya jiwa dan raga. Batinnya menderita. Semakin hari wajahnya semakin suram. Pucat tidak bermaya. Saban hari dia menangisi perpisahan itu. Mujurlah ada yang bersimpati pada dirinya. Dia dibawa menemui kekasih hatinya dan dinikahkan. Dia amat berterima kasih pada abang kandungnya kerana memahami penderitaan yang dialaminya. Dalam tangisan dia terpaksa pergi jauh dari keluarga. Walaupun hatinya gembira kerana dapat bersama orang yang disayanginya tapi dia terpaksa korbankan keluarganya. Ayahnya tidak merestui perhubungan mereka apatah lagi kalau dia tahu mereka sudah bernikah, tentulah bencana yang datang melanda.
Cinta adalah pengorbanan...
Hari berganti hari. Tahun berganti tahun. Akhirnya dengan kuasa Tuhan yang Maha Esa ingatannya pulih semula. Dia dibawa ke kampung suaminya dan bermastautin di situ. Ternyata pilihannya tepat sekali. Suaminya adalah anak seorang tokoh guru agama terkenal di kampungnya. Mereka hidup harmoni dengan dikurniakan tiga cahaya mata. Danial anaknya yang sulung mewarisi ketokohan datuknya. Nurul Jannah anak keduanya seorang guru dan anak bongsunya Nurul Balqish. Umur suaminya tidak panjang. Tuhan menjemputnya terlebih dahulu sebelum dia. Ternyata semangat juang untuk terus hidup masih utuh berbekalkan kata-kata suaminya, setiap yang hidup pasti akan mati. Cinta pada Ilahi jua yang kekal abadi. Dia menanti di sana nanti. Hidupnya cukup bahagia tapi jauh disudut hatinya dia tidak terniat untuk menjadi anak derhaka. Ampuni dosa-dosaku ayah… ibu… rintihnya pilu.
Ya, Allah. Kau datangkanlah bahagia untuk anakku setelah sekian lama dia menderita. Kau kurniakanlah dia kekuatan untuk mengharungi segala dugaanMu dengan sabar dan tabah. Sesungguhnya Engkau tidak akan menduga hambaMu di luar batas dan kemampuan mereka. Ya Allah, Engkau Yang Maha Mengetahui apa pun yang tersirat dan tersurat. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Dengarkanlah permintaan hambaMu yang hina ini. Aku sebagai ibunya tidak sanggup melihat dia menderita. Tiada daya dan upayaku melainkan dengan kekuatanMu, Ya Allah. Bantulah hambaMu dalam mengharungi hidup yang penuh berliku ini.

......bersambung dengan lagu Sampai Syurga - FT
 
Ku membenarkan jiwaku
Untuk mencintaimu
Ku persembahkan hidupku
Untuk bersama kamu

Dan diriku untuk kamu
Belum pernah kumerasai begitu

Semua itu telah berlalu
Harapanku palsu
Dan mungkin hari yang satu
Terus ku tertunggu

Di hatiku masih kamu
Belum pernah ku ingin terus memburu

ohhh..
Aku lemah tanpa kamu
Ku inginmu dampingi ku
Aku fahami aku bukan terbaik
Untuk dirimu

Sampai syurga ku menunggu
Sampai syurga ku cintamu
Hanya satu
Hanya kamu

Ku membiarkan hatiku
Untuk merinduimu
Ku menghamparkan sakitku
Untuk tatapan kamu

Bersamamu harapanku
Hilang dalam terang yang membutakanku

Dan segala yang ku ada
Ku berikan semua
Untuk dirimu saja

Ku mahu dirimu
Bahagia untuk selamanya
Biar sampai syurga
Aku menunggu cinta darimu
Agar ku sempurna

Namun aku tetap aku
Yang terbaik untuk diriku
hanya satu

Aku lemah tanpa kamu
Ku inginmu dampingi ku
Aku fahami aku bukan terbaik
Untuk dirimu

Sampai syurga ku menunggu
Sampai syurga ku cintamu
Hanya kamu

0 ulasan: