Jumaat, 18 Mei 2012

PART 8: Perlukah Aku Menyerah?

Aku pasrah....

Berserabut kepala otak. Semuanya serba tidak kena pada matanya. Sarah, setiausahanya selalu menjadi mangsa kemarahannya. Naik kecut perut gadis itu apabila dia meradang. Habis semua kertas berterabur atas lantai. Semuanya gara-gara Nurul Balqish.  Nama itu tidak pernah lekang daripada ingatannya. Gadis itu tidak pernah padam daripada lubuk hatinya. Dia terlalu sayang. Keterlaluan. Amirul Shafiq tidak faham apa yang bermain dalam lubuk fikiran gadis itu. Apakah benar gadis itu akan berkahwin? Atau dia sengaja mengada-adakan cerita. Hatinya benar-benar panas membara. Tapi kenapa sukar untuk dipercaya segala kata-katanya.
Harapannya untuk menemui Dr Halim sebelum dia balik ke KK musnah apabila dia melihat Nurul Balqish bersama-sama dengan Dr Halim berjalan menuju ke kafetaria hospital. Begitu mesra sekali. Dahinya berkerut. Hatinya tertanya-tanya. Dia mahukan kepastian. Tiba-tiba sebuah kereta meluncur perlahan di perkarangan pancuran air tidak jauh dari kafetaria itu. Kelihatan si pemandu membuka pintu dan keluar seorang budak yang comel daripada kereta. Kanak-kanak itu berlari-larian mendapatkan Nurul Balqish dan Dr Halim tidak jauh dari situ. Nurul Balqish memeluk manja kanak-kanak itu. Dia mencium pipinya bertalu-talu. Dr Halim cuma memerhatikan mereka sambil tersenyum.
Retak menanti belah...
Amirul Shafiq memandang mereka tanpa berkedip. Dia mengetap giginya. Tangannya tergenggam kemas menandakan betapa dia berasa geram dan marah. Jiwanya memberontak. Ingin saja dia berlari ke situ sambil menarik tangan Nurul Balqish dan membawa dia lari. Dia tidak tergamak melihat gadis itu bersama orang lain. Cemburu. Memang dia cemburu. Dia cemburu kerana senyuman dan kemesraan itu bukan untuknya. Tapi untuk kanak-kanak yang dilihatnya pada malam itu. Kenapa aku mesti cemburu dengan kanak-kanak itu? Apa istimewanya kanak-kanak itu? Apa hubungannya dengan Nurul Balqish dan Dr Halim? Pelbagai persoalan muncul di dalam kepalanya. Dia tidak boleh bertindak terburu-buru. Naluri kemanusiaannya masih waras. Tidak lama selepas itu, pemandu dan juga kanak-kanak itu beredar dari situ. Amirul Shafiq melangkah laju mendapatkan mereka berdua.
Nurul Balqish benar-benar terperanjat dengan kehadirannya di situ. Dia tahu selagi Amirul Shafiq tidak tahu siapa lelaki yang dimaksudkannya selagi itu dia tidak akan berganjak daripada keputusannya. Dia faham benar sikap Amirul Shafiq. Bara yang digenggam biar sampai jadi abu. Nekad.
“Err… buat apa kat sini? Ada temujanji dengan doktor ke?” Nurul Balqish pura-pura bertanya. Dr Halim terpinga-pinga. Amirul Shafiq tersenyum tawar sambil memandang Nurul Balqish. Kemudian beralih memerhatikan Dr Halim. Semacam saja renungannya. Darahnya menggelegak. Apa istimewanya lelaki ini berbanding dirinya?
“Kenalkan ini Dr Halim. Bakal suami Balqish yang Qish katakan malam tu,” dia memberitahu Amirul Shafiq.
Pilih antara dua...
Dr Halim mengerut dahi mendengar kata-kata Nurul Balqish. Amirul Shafiq menatap tajam mata Nurul Balqish. Terpancar api kemarahan yang meluap-luap yang dizahirkan melalui renungan matanya itu. Kemana perginya hati gadis ini sehingga dia tergamak melukakan hatinya? Kemana hilangnya cinta yang mereka semai selama bertahun-tahun lamanya? Inikah pengorbanan yang dimaksudkan oleh Umar? Pengorbanan untuk melihat dia berkahwin dengan orang lain sedangkan selama ini untuk apa mereka bercinta. Apa maksudnya semua ini? Sandiwara apakah ini? Dengan kasar dia menarik tangan Nurul Balqish. Dr Halim cuba menegah tapi dihalang oleh Amirul Shafiq.
“Ini urusan saya dengan Balqish. Doktor jangan masuk campur,” nadanya keras. Nurul Balqish mengerang kesakitan akibat cengkaman tangannya yang kuat.
“Tapi dia pesakit saya. Awak tidak boleh sesuka hati buat kacau di sini. Ini kawasan hospital. Saya akan panggil sekuriti kalau awak tidak mahu lepaskan tangannya,” ugut Dr Halim padanya sambil memandang serius Amirul Shafiq. Perlahan-lahan dia melepaskannya. Dia memandang sayu wajah Nurul Balqish. Nurul Balqish menundukkan wajah. Dia tidak berani menatap wajah Amirul Shafiq.
Sampai hati....
“Sampai hati awak, Balqish,” ucapnya sambil menahan sebak. Dia mengundur diri dan berpatah menuju ke keretanya. Langkah ini adalah yang terakhir dan dia tidak akan kembali. Hatinya sungguh kecewa. Teramat kecewa. Apa lagi yang boleh dikatakan jika doktor itu sudah menjadi pilihan hatinya. Dia akan berhenti mengharap. Impiannya akan ternoktah di sini.
Terlalu asyik merenung jauh dipinggir jendela memandang ke awan biru. Mengelamun entah sampai ke mana. Hatinya telah retak seribu. Jika dicantum semula pun tidak akan sama seperti dahulu. Pintu biliknya diketuk berulang kali. Tiba-tiba hatinya meledak marah. Sudah dikatakan dia tidak mahu diganggu.
“Saya kata saya tidak mahu diganggu. Kenapa awak tak faham-faham lagi? Awak cakap bahasa apa yang awak faham,” jeritnya tanpa berpaling.
Pintu terkuak perlahan. Dia menoleh dan terkedu seketika. Datin Zainab berdiri di hujung meja sambil menatap wajah Amirul Shafiq. Sikap dan tingkahlakunya sekelip mata berubah sejak dia balik dari KL sebulan yang lalu. Panas baran dan suka menengking sedangkan dahulu dia seorang yang peramah dan bersopan-santun. Di rumah pula asyik menyendiri. Adakalanya keluar rumah sehingga tengah malam baru nampak bayang. Dia menghampiri anaknya.
“Kenapa? Terkejut tengok ummi datang ke pejabat. Kamu ni kenapa, Amir? Sejak balik dari KL ummi tengok kamu banyak berubah. Jadi pendiam, pemarah dan macam-macam perangai pelik. Ada apa-apa yang patut ummi tahu?” sergah Datin Zainab sambil memeluk tubuh. Wajahnya serius sahaja. Amirul Shafiq masih terkedu di tepi tingkap. Buntu untuk memberi jawaban. Dia sedikit kalut dan cuba mengalihkan tajuk perbualan mereka.
“Err… Biasalah ummi, kerja melambak. Stress sikit. Ada apa-apa yang boleh Amir bantu,” terangnya sambil tersengih-sengih. Datin Zainab menjeling.
“Kerja tu kerjalah juga. Tapi ada yang lebih penting daripada itu yang kamu lupa,” balas datin Zainab lagi. Amirul Shafiq pura-pura terkejut. Dia memicit keningnya.
“Apa dia ummi? Amir tak ingatlah,” dia terpinga-pinga. Datin Zainab membesarkan matanya.
“Minggu depan kita akan menghantar rombongan merisik dan bertunang. Semua persediaan ummi dah buat. Tinggal baju kamu saja yang belum ditempah. Sibuk memanjang dengan kerja. Sudah.. sekarang ikut ummi pergi tempah pakaian kamu di butik kawan ummi. No more excuses,” dia menarik tangan anaknya. Amirul Shafiq terpaksa akur kehendak ibunya.
Dia pasrah dengan keputusan keluarganya. Datuk Mansur sudah lama mengidamkan persahabatan dengan Tengku Iskandar berakhir dengan persaudaraan. Dengan kata lain, mereka ingin menyatukan dua keluarga ini menjadi satu. Mungkin ini adalah yang terbaik untuk dirinya. Dia sudah penat untuk memikirkan masalahnya dengan Nurul Balqish. Hatinya sungguh kecewa. Hanya dia sahaja yang ingin menyelamatkan kisah cinta mereka. Sedangkan Nurul Balqish sudah ada penggantinya terlebih dulu. Apa lagi yang mampu dia lakukan selain pasrah dengan kehendak takdir.
Keluarga pihak perempuan hanya menetapkan lima bulan sahaja masa pertunangan dan kemudian mereka akan dinikahkan. Terlalu cepat mereka menetapkan tarikh. Dia termangu memikirkan nasib dirinya. Kisah cinta yang tidak kesampaian.
tq for everything...
Datin Zainab sibuk menilik kain tenunan yang sungguh cantik dan halus coraknya. Kain tradisi melayu yang semakin jarang digunakan oleh masyarakatnya. Kain tenunan itu harus ditempah lebih awal. Mereka harus pergi ke tempat kain itu ditenun untuk menempah corak yang diinginkan.
Amirul Shafiq menurut saja kehendak ibunya. Dia terpaksa membawa ibunya ke tempat kain tenunan itu. Walaupun berat hatinya untuk pergi ke sana tapi dia terpaksa kerana ketiadaan pemandu. Datin Zainab membawa Tengku Sofiya sekali ke sana. Mereka berbual-bual mesra. Amirul Shafiq lebih banyak berdiam diri.
Akhirnya mereka sampai ke tempat yang dituju. Sungguh tenang suasananya kerana rumah tenun itu terletak bersebelahan dengan sungai besar. Tempatnya sungguh cantik. Dihiasi dengan pokok-pokok bunga dan bonsai. Landskap yang menarik. Mereka disambut mesra oleh pekerja di situ.
Amirul Shafiq membiarkan ibu dan Tengku Sofiya di dalam rumah tenunan itu. Manakala dia duduk bersantai di laman. Selalunya wajah bakal pengantin berseri-seri menjelang hari perkahwinan mereka. Tapi kosong baginya. Hanya jasadnya sahaja yang riang. Senyuman dibibirnya tidak pernah lekang. Apabila bersendirian dia akan mengelamun. Lama dia mengelamun. Tiba-tiba muncul seseorang yang lama tidak ditemuinya. Bagaimana orang tua ini berada di sini? Bisik hatinya.
“Makcik Murni??!!” dia terkejut. Sungguh dia tidak menyangka akan menemuinya di sini. Makcik Murni tersenyum lebar. Dia bersalaman sambil mengucup tangan Makcik Murni. Wajah tua itu menatap Amirul Shafiq sedalam-dalamnya. Hati tuanya merasakan sesuatu yang kosong dalam sinar matanya. Tiada cahaya di wajahnya.
“Shafiq yer… ini Shafiqkan… Ya, Allah. Tak sangka makcik dapat bertemu kamu di sini. Alhamdulillah…,” ujar Makcik Murni dengan gembira. Amirul Shafiq membalas senyumannya. Kecil sungguh dunia ini.
“Makcik apa khabar? Makcik sihat ke?” Tanya Amirul Shafiq bersungguh-sungguh. Makcik Murni menganggukkan kepala.
“Shafiq buat apa di sini?”Tanya Makcik Murni. Amirul Shafiq terdiam. Teragak-agak untuk menceritakan kehadirannya di situ.
“Shafiq temankan ummi beli kain tenun,” jelasnya pendek. Dia malas untuk bercerita tentang perkahwinan.
“Ohh… untuk majlis perkahwinan Shafiq?” Makcik Murni menyoal lagi. Dia mengangguk perlahan.
“Makcik ada dengar dari pekerja di sini. Katanya ada tempahan untuk majlis perkahwinan yang mesti disiapkan dalam masa sebulan. Jenuhlah makcik nak menenun nanti. Ada dua orang saja yang mahir menenun. Makcik dan anak makcik, Nurul. Yang lain tu boleh juga diharap tapi lambat sikit,” keluh makcik Murni sambil memandangnya. Dia diam. Adakah dia berada di sini? Lidahnya tersekat untuk bertanya lebih lanjut.
“Err… bila makcik nak sambut menantu baru?” soalnya sambil berjenaka. Makcik Murni menyorot matanya sambil ketawa sinis. Dia menepuk tangan Amirul Shafiq.
“Hish… bila pula anak makcik kahwin. Semuanya tak lepas lagi. Pandai-pandai saja kamu ni. Tunggu anak lelaki makcik yang sulung lepas dulu. Barulah adik-adiknya boleh lepas. Betul tak?” Makcik Murni ketawa. Terkedu lagi.
Cinta yang lepas jgn dikenang...
Tiba-tiba hatinya menjadi tidak keruan. Kenapa dia tidak perasan yang selama ini Nurul Balqish hanya berbohong? Siapa Dr Halim? Kenapa Nurul Balqish cuba mengaburi matanya? Bagaimana hatinya boleh terpedaya dengan tipu helahnya? Arghh...  Dia benar-benar menyesal kerana bertindak melulu tanpa usul periksa. Sepatutnya dia bertanya sendiri pada Dr Halim. Semuanya sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Dia memejamkan matanya. Wajahnya tunduk ke bumi. Matanya merah seperti saga. Makcik Murni menepuk bahunya.
"Makcik doakan kebahagian kamu. Jangan dikenang lagi barang yang lepas. Kalau dikenang merana badan," nasihatnya pada Amirul Shafiq.

bersambung lagi daaaa....

Terasing
Kegelisahan didalam kedinginan
Meniti sepi keseorangan
Sebuah kematian yang tiada bernisan
Sendu mengiringi perpisahan

Ruang nan luas diri bergerak bebas
Namun keupayaanku terbatas
Segala mimpi menjadi asing
Perit membakar diri

Sebuah cinta dan harapan
Menjadi mimpi berterbangan
Tersekat nafasku kabur pandangan mataku
Amat tersiksa diriku
Kerana kehilanganmu

Oh mengapakah terus mengharap menanti
Walau cukup kusedari
Kau tak kan kembali

Pemergianmu mengisi kekosongan
Biarpun dikau masih kuperlukan
Kita dikatakan pasangan bahagia
Kini terasing luka

0 ulasan: