Selasa, 29 Mei 2012

Part 11: Duhai Hati... Janganlah bersedih


Jangan bersedih duhai hati...
Duhai hati… Alangkah susahnya mendidik hati. Hati itu memang mudah untuk dibolak-balikkan. Terkadang diri menjadi alpa dan hanyut dalam arus dunia. Hati tiada siapa yang tahu apa mahunya. Adakah ia sedang takbur? Adakah ia sedang riya’? Adakah ia sedang ‘ujub? Sungguh mulia jika hati itu bersih kerana ia adalah pandangan daripada Tuhan. Hidup tidak akan bermakna jika hati itu mati. Jika hati sudah mati hidup akan menjadi kucar-kacir. Hati tercipta agar ia dapat mengawal kehendak lahiriah dan batiniah yang diredhai Allah. Bukannya mengikut kehendak nafsu semata-mata.
            Tapi itulah hakikatnya, hati itu sukar untuk dididik. Apabila hati dibiar tanpa penjagaan, ia akan menjadi keras dan terbentuk benteng yang teguh di mana sukar untuk ditembusi hidayah daripada Allah. Tatkala ujian datang menduga, hati akan berasa gundah dan keluh kesah. Kebahagiaan itu satu nikmat. Sakit itu adalah nikmat dan perit itu juga satu nikmat daripada yang Maha Berkuasa. Duhai hati… Sesungguhnya Allah berhak ke atas kamu lalu mengapa kamu persoalkan Dia? Diri ini tidak berhak mempersoalkan segala-galanya. Siapalah diri ini? Kita adalah hambaNya.
Di keheningan malam kupanjatkan doa..
Aku menangisi diriku sendiri di keheningan malam yang senyap dan sunyi. Di kala keluargaku nyenyak beradu. Aku gagal untuk melelapkan mata. Saban hari dukaku semakin parah. Hatiku kian gundah. Apa yang perlu aku lakukan untuk mencari ketenangan diri ini? Apa yang harus aku buat untuk meringan segala-gala yang terbeban dibahuku ini? Kenapa hati ini merintih? Sedarkah Allah sedang menguji hatimu? Kepayahan itu sesungguhnya satu bentuk tarbiyahNya kepada hati. Pernahkah hati itu bersyukur pada Tuhannya kerana mendapat perhatian yang sebegitu? “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 216).
Allah merencana setiap perjalanan hidupku. Mengapa aku harus merungut dengan jalan yang aku tempuhi? Duri-duri dan halangan itu adalah rahmat. Aku harus redha dan pasrah. Aku tidak harus berputus asa. "...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf ayat 87).
Aku tahu bahawa ujian yang Allah datang itu adalah untuk menguji tahap keimanan hambaNya. Aku tidak boleh mempersoalkan takdir Tuhan. Sesungguhnya ada hikmah yang amat besar disebalik sesuatu ujian itu. Cuma terletak pada hati ini untuk menerima qada dan qadar Tuhan atau sebaliknya. Sesungguhnya ganjarannya amat besar jika kita mengetahuinya.
“Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang soleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa dihisab." (Surah Al Mu'min ; ayat 39-40).
Duhai hati...
Terlalu besar dugaanMu ini, Ya Allah. Terdayakah aku untuk menghadapinya? Air mata menitis deras. Lalu Kau mengatakan, “Janganlah kamu bersikap lemah, & jangan pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman. (Surah Al-Imran ayat 139 ).
Tuhan itu Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Dia tahu sejauh mana kekuatan hambaNya. Maka “ALLAH tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (Surah Al-Baqarah ayat 286). Dan lagi, Sesungguhnya apabila ALLAH menyukai akan seseorang hambaNya itu, nescaya ditimpakan ke atasnya ujian.( Maksud Hadis ).
Sesungguhnya padaMu jua tempat aku mengadu dan memohon perlindungan dan “Cukuplah ALLAH bagiku, tidak ada Tuhan selain daripadaNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal (Surah At-Taubah ayat 129).
Aku pasrah dengan dugaan ini. Aku tidak akan mengungkit kembali perkara yang berlalu. Aku akan terus jalani hidupku selagi hayat dikandung badan. Kita tidak boleh meletakkan rasa cinta yang keterlaluan terhadap manusia kerana ia adalah milik Tuhan. Dia berhak untuk mengambilnya semula pada bila-bila masa. Dan apabila cinta itu pergi hati ini tidak akan terasa sakit yang amat sangat kerana cinta terhadap Allah melebihi daripada segala-galanya. Maka dengan itu, berpada-padalah wahai hati. Agar kamu tidak terlalu kecewa kelak.
Pagi itu aku dikejutkan dengan kehadiran sahabatku, Amy.  Tatkala itu, aku sedang sibuk menyiapkan tenunan yang ditempah oleh Datin Zainab. Tenunan yang penuh dengan keikhlasan. Malangnya bukan untukku. Duhai hati… bukankah kau telah berjanji. Aku tersenyum sendiri.
“Halus sungguh coraknya. Sungguh cantik hasil tenunannya. Aku tak tahu pula kau pandai menenun,” Amy mencelah sambil memerhatikan tanganku ligat mengadunkan benang tenunan pada mesin tenun.
“Aku dibesarkan di sini. Ibu telah mengajarku sejak kecil lagi. Lagipun aku  berminat untuk mempelajarinya,” ulasku lebih lanjut lagi. Amy sungguh kagum dengan kebolehanku.
“Dah lama kita tak jumpa. Kau apa khabar? Kau tak terkejut ke kenapa tiba-tiba aku datang ke sini?” Tanya Amy sambil menyimpul senyuman. Aku menjeling padanya.
aku perlukan ketenangan hati..
“Alhamdulillah. Aku baik-baik saja. Memanglah aku terkejut. Tiba-tiba saja muncul. Aku tak kisah. Lagipun dah lama kita tak jumpakan? Apa khabar Encik Irfan? Dah lama tak dengar khabar dia?” jawabku selamba. Amy mendekatiku.
“Haa… ni yang aku nak khabar. Bercakap tentang Encik Irfan, dia yang suruh aku datang ke mari cari kau,” Amy mengangkat keningnya. Aku merenungnya. Tidak faham apa yang dimaksudkan.
“Encik Irfan mahu kau bekerja semula. Dia kata jangan balik selagi kau tak setuju. Boleh tak dia ugut begitu kat aku?” Amy memuncung. Aku tersengih mendengar.
“Aku serius ni. Kau boleh sengih-sengih pula,” leter Amy lagi. Aku diam sahaja. Lalu menjawab, ”Nantilah aku fikirkan dulu. Aku mahu tenang-tenangkan fikiran dahulu.”
“Kau fikirlah masak-masak. Jangan sampai aku terpaksa tinggal kat sini sampai berhari-hari. Nanti bosan pula kau tengok muka aku ni,” balas Amy sambil memandang ke luar tingkap. Lama dia pandang ke luar.
Handsomenya mamat ni. Jalan kaki ke sini. Mesti kerja kat sini. Tak pun nak tempah kain tenun,” bebel Amy seorang diri. Aku terdengar sidikit bebelannya. Lalu menghampirinya.
“Kau tengok siapa tu?” tanyaku sambil menjenguk ke luar tingkap. Amy tersenyum sambil menunjukkan jarinya ke arah pemuda yang sedang menuju ke sini. Aku mengintai sejenak.
Alamak.... kacaknya.
“Itu abang akulah. Apalah kau ni?” rungutku sambil menyambung semula kerja. Amy ternganga. Malu sendiri.
“Assalamualaikum?” Danial memberi salam setibanya di pintu.
“Waalaikumussalam.” Aku menjawab tanpa memandang ke arahnya. Amy malu-malu kucing. Danial menjengah ke ruang tenun melihat aku sedang tekun menenun. Dia terkejut apabila Amy menyapanya.
“Hai… saya Amy, kawan Nurul. Tak sangka pula kau ada abang sekacak ini, Nurul?” gedik Amy sambil menghulurkan tangan. Aku tersenyum sinis melihat gelagat Amy sambil menepuk tangannya. Danial termangu seketika.
“Hish… kau jaga sikit perangai tu. Abang aku ni ustaz. Nanti dia bagi ceramah kat kau sampai menangis baru kau tahu!!” aku cuba menegur Amy yang tidak semena-mena miang. Amy menarik semula tangannya ke belakang. Umpama cacing yang kepanasan. Danial mengukir senyuman.
“Abang tak perasan ada tetamu rupanya. Ibu suruh balik makan tengahari. Jemput kawannya sekali. Siapa namanya tadi? Amy ya… Abang menyusul kemudian. Ada kerja sikit,” Danial bersuara sambil berlalu ke belakang rumah tenun. Amy menepuk bahuku.
Malunya....
“Kenapa kau tak cakap yang abang kau tu ustaz? Malunya aku,” Amy menerkup mukanya ke bahuku. Aku tersengih lagi.
“Padan dengan muka kau. Mari kita makan dulu,” balasku sambil memberhentikan tenunan.
  
MADAHTIDAKBERHELAH: Ujian itu datang dalam pelbagai bentuk. Kesakitan, kesusahan, kesenangan,kekayaan,anak2 dsb. Persoalannya bilakah hati itu terdetik untuk menjadi yg lebih baik? Waullahu a'lam (hanya Allah yg Mengetahui)...
 
bersambung lain kali....  
 dengan lagu TAKKAN BERPALING DARIMU

Kala malam bersihkan wajahnya dari bintang-bintang
Dan mulai turun setetes air langit dari tubuhnya
Tanpa sadar nikmatnya alam karena kuasa Mu
Yang tak kan habis sampai di akhir waktu perjalanan ini

Terima kasih ku padamu Tuhanku
Tak mungkin dapat terlukis oleh kata-kata
Hanya Dirimu yang tahu besar rasa cintaku pada Mu
Oh Tuhan anugerah Mu tak pernah berhenti
Selalu datang kepadaku Tuhan semesta alam
Dan satu janjiku tak kan berpaling dari Mu

Ya...Allah...

Anugerah Mu....

Kau sisihkan semua aroma bintang dihadapanku
Dan buat terang seluruh jalan hidupku
Melangkah......

Terima kasih ku padamu Tuhanku
Tak mungkin dapat terlukis oleh kata-kata
Hanya Dirimu yang tahu besar rasa cintaku pada Mu...oh...
Anugerah Mu tak pernah berhenti
Selalu datang kepadaku Tuhan semesta alam
Dan satu janjiku tak kan berpaling dari Mu

2 ulasan: