Rabu, 27 Jun 2012

Part 12: Terkenang Semasa Dulu.. Hatiku.. -V1

Cintai dia yang mencintaiku...

            CINTA… Cinta… Cinta… Cinta itu sememangnya indah bila dibayangkan. Terasa bahagia pabila dicurahkan. Bagai dunia ini ‘ana’ yang empunya. Sehari tidak bersua terasa bagai setahun. Sedetik tidak terdengar suara bagai mendung berarak kelabu. Benarlah kata pujangga kalau panahan cinta sudah melanda, makan pun tak kenyang, tidur pun tak lena dan mandi pula tak basah. Segala-galanya serba tidak kena dan serba kekurangan. Ibarat kata seniman P Ramlee irama dan lagu tidak dapat dipisah. Andai dipisah, rosaklah lagu pincanglah irama. Begitu puitis sekali kata-kata itu.
            Telah menjadi lumrah alam, Tuhan menjadi Adam dan Hawa supaya hidup saling cinta-mencintai dan berkasih-sayang selagi tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan. Ada yang sedang mencari. Ada yang sedang menunggu. Tidak kurang yang mengharap. Tidak lebih yang hampa. Begitulah dunia uda dan dara. Saling merindu dan saling cemburu. Tapi janganlah keterlaluan.
Sungguh orang akan jadi gila gara-gara ‘aku cinta padamu’.  Kenapa aku harus cemburu? Kenapa tiba-tiba hatiku terasa sakit? Aku tidak suka melihat dia bergaul mesra tertawa dan bergembira bersama teman-temannya yang lain. Kenapa dengan aku ni? 
Jangan cemburu buta...
Fikirannya Amirul Shafiq melayang memikirkan perkara yang dilihatnya semalam. Kerja-kerjanya habis terbengkalai. Serabut kepala otaknya. Masih terbayang-bayang di matanya pasangan dua sejoli itu duduk bersantaian di pusat membeli-belah sambil menikmati minuman. Eeeiiii… geramnya. Marah dan geram bercampur-baur. Habis kertas-kertas di atas meja diconteng-contengnya. Aku ajak keluar dia tak mahu. Tapi kalau orang lain boleh pula. Bertambah meluap-luap sakit hatinya. Terasa dirinya tidak dihargai. Diketepikan dan dipinggirkan. Aduhh… cinta apa kalau begini??!! Protesnya.
“Ni apa benda bersepah-sepah ni??!! Baik kau pergi selidik dulu. Jangan nak marah-marah tak tentu pasal. Nanti lain pula jadinya. Kau juga yang merana. Nurul Balqish tu boleh tahan juga rajuknya. Itupun tak boleh handle sendiri. Aku juga yang kena bagi jalan,” celah Umar tiba-tiba muncul dari balik pintu biliknya. Amirul Shafiq terpinga-pinga sendiri. Jumpa dia. Aku mesti jumpa dia. Dia bergegas bersiap-siap.
@@@@@@@@@@@@
Lama dia menunggu di luar dewan kuliah.  Bayang Nurul Balqish pun dia tidak nampak. Selalunya gadis itu akan lalu disitu. Dia duduk sambil memerhatikan orang lalu-lalang. Tangannya digenggam dan tersentuh pada dagu. Dia menghela nafas panjang. Matanya menoleh ke kiri dan ke kanan kemudian ke hadapan. Pandangannya tidak bergerak dan memandang tepat pada pasangan itu. Merah padam mukanya menahan marah. Cemburunya kembali menghantui diri. Nurul Balqish perasan kehadirannya di situ lalu berjalan mendekatinya. Dia menguntum senyuman tapi Amirul Shafiq memalingkan muka ke arah lain. Pelik pula perangai dia hari ini. Macam ada sesuatu tak kena saja. Detik hati Nurul Balqish.
         “Kita jumpa di kelas esok. Lagi satu, tentang majlis makan malam PBSM tu, saya akan fikirkan untuk datang atau tidak,” ujar Nurul Balqish pada Zafrul. Zafrul beredar dari situ tanpa menyapa Amirul Shafiq. Dia bagaikan tahu ada bibit-bibit cemburu pada riak wajah lelaki itu.
Setelah Zafrul pergi dari situ barulah dia menghampiri Amirul Shafiq. Dia memerhatikan matanya merah dan merasa ada baur kemarahan. Nurul Balqish melabuhkan punggungnya sambil memberi salam. Salamnya tidak bersahut malah dia berpaling ke tempat lain. Nurul Balqish menolak-nolak bucu failnya ke arah paha Amirul Shafiq. Selamba saja mukanya. Nurul Balqish masih bersabar. Dia mengambil pen lalu dicucuknya di atas seluar jean Amirul Shafiq. Amirul Shafiq menoleh padanya sambil mengerut dahi. Nurul Balqish tersentak dengan renungan marahnya itu. Dia terkedu. Jantungnya berdetak kuat. Entah kenapa air matanya bergenang sedikit. Dia menyembunyikan sedihnya dengan memalingkan wajah ke sudut lain. Hatinya begitu tersentuh. Apa salah aku? Amirul Shafiq menggelabah melihat Nurul Balqish sambil menggaru-garu kepala. Nurul Balqish menghela nafas panjang seolah-olah mencari kekuatan untuk bersuara.
Sabar itu separuh daripada IMAN..
“Saya tak tahu apa salah saya. Salam saya tidak dijawab dan saya rasa awak pun tak mahu bercakap dengan saya. Jadi saya rasa saya nak balik,” ujarnya ringkas. Dia bingkas bangun. Amirul Shafiq sempat menarik beg tangannya.
“Saya dah jawab salam awak dalam hati,” balasnya sambil berdiri menghadap Nurul Balqish. Marahnya semakin kendur apabila melihat air mata dikelopak mata Nurul Balqish. Perasaan bersalah menerjah ke dalam kotak fikirannya. Memang dia geram dan marah. Lantas menyuarakan apa yang terpendam di dalam dadanya.
“Semalam saya nampak awak berdua-duaan dengan Zafrul di komplek. Awak dengan Zafrul ada apa-apa ke? Bukan main mesra lagi,” Tanya Amirul Shafiq memandang tepat pada matanya. Nurul Balqish membalas renungan.
“Awak tak perlu cemburulah. Zafrul adalah teman sekelas saya dan rakan baik saya dalam unit beruniform. Itu saja. Semalam tu kami bertiga. Saya, Zafrul dan Sally. Mungkin masa tu Sally pergi cuci tangan. Jadi, tinggallah kami berdua. Kenapa tak tegur? Kan dah jadi fitnah. Saya tak suka awak tuduh-tuduh saya begini,” jelas Nurul Balqish. Amirul Shafiq mengangkat sebelah keningnya. Dia masih ragu-ragu.
“Macam mana saya tak cemburu… Saya ajak awak keluar, awak tak mahu. Tapi kalau orang lain, boleh pula. Saya rasa Zafrul tu ada hati pada awak. Cara dia pandang awak pun saya dah tahu. Saya ni lelaki. Saya lebih faham,” balas Amirul Shafiq enggan mengalah.
“Hmm… Sebab itu awak marah. Yang awak bertepuk tampar dan bergurau-senda dengan Farah tu. Awak ingat saya tak nampak? Awak ingat saya tak tahu?” tempelak Nurul Balqish. Umpama pulang paku buah keras. Mukanya masam mencuka. Amirul Shafiq menelan air liur mendengarnya. Bila masa dia mengintip aku ni? Matanya terkebil-kebil memandang Nurul Balqish.
“Saya tak ada apa-apa dengan dia. Dia tu yang gedik lebih-lebih,” luah Amirul Shafiq.
“Kucing kalau dah nampak ikan depan mata, takkan boleh diam,” balasnya sambil menjeling tajam. Amirul Shafiq bagaikan kehilangan kata-kata.
Sedapnyer...
“Okey… okey… kita berdamai, boleh? Saya minta maaf. Saya yang salah. Err... Saya belanja awak aiskrim conetto ‘uda dan dara’. Nak tak?,” rayu Amirul Shafiq sambil tersenyum. Nurul Balqish memandangnya pelik. Ada ke aiskrim uda & dara? Ohh… Cornetto Black & White rupanya. Apa-apa sajalah Mr Right. Rungut Nurul Balqish di dalam hati. 



phiweeetttt... sambung der.... dengarkan lagu GETARAN JIWA  

Getaran jiwa
Melanda hatiku
Tersusun nada
Irama dan lagu

Walau hanya sederhana
Tetapi tak mengapa
Moga dapat membangkitkan
Sedarlah kamu wahai insan

Tak mungkin hilang
Irama dan lagu
Bagaikan kembang
Sentiasa bermadu

Andai dipisah
Lagu dan irama
Lemah tiada berjiwa
Hampa

2 ulasan:

MizzTina berkata...

pempuan kena jual mahal..

Dee Z berkata...

@MizzTina adat le tu...